Seekor Lembu Dagingnya Boleh Dikongsi Untuk Tujuan Korban, Aqiqah Dan Lain-lain
Soalan: Saya ada kemusykilan tentang korban dan aqiqah. Ada yang mengatakan dibolehkan 1 ekor (korban dan aqiqah). Tetapi apa yang kami ketahui daripada seorang ustaz melalui ceramah di tv Brunei bahawa ia tidak boleh disatukan. Jadi bagaimana kedudukan sebenarnya dan saya berharap Pehin Mufti dapat menjelaskannya.
Jawapan: Seekor unta, lembu atau kerbau dagingnya boleh dikongsikan sama ada kesemua dagingnya itu khusus untuk aqiqah atau sebahagiannya untuk daging biasa sahaja ataupun untuk daging korban, asalkan pembahagian setiap seekor unta, lembu atau kerbau itu tidak melebih daripada tujuh bahagian.
Berkata al-Iman an-Nawawi dalam al-Majmû‘:
Ertinya: Memadai seekor unta, demikian juga lembu untuk tujuh orang, sama ada untuk sebuah ahli keluarga ataupun untuk beberapa ahli keluarga. Sama ada mereka itu melakukan korban dengan maksud yang sama ataupun berbeza, sama ada korban wajib atau sunat, atau sebahagian mereka hanya mahukan daging. Harus juga kalau sebahagian mereka bermaksud melakukan korban dan sebahagiannya lagi bermaksud al-hadyu (binatang yang disembelih di Tanah Haram sebagai dam haji atau umrah). (Al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab: 8/291)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9762
