Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Fardhu Dikerjakan Dengan Duduk Untuk Menyempati Waktu Sembahyang Dan Disebabkan Tidak Ada Tempat Lain Untuk Sembahyang

Soalan: Saya ketika ini sedang belajar di United Kingdom. Sepanjang pembelajaran saya di sini, saya telah berusaha sedaya upaya saya untuk menunaikan rukun Islam yang diwajibkan kepada kita, seperti sembahyang lima waktu. Akan tetapi, jika saya ada kelas sepanjang hari di universiti, selalunya saya tidak dapat menunaikan sembahyang fardu Zuhur dan ‘Ashar dan terpaksa mengqadha waktu-waktu tersebut. Ini memandangkan universiti tempat saya belajar ini tidak menyediakan tempat untuk bersembahyang, serta masa pembelajaran saya amatlah singkat (saya mengambil bidang pergigian di mana saya terpaksa membuat rawatan kepada pesakit antara jam 9.00 pagi - 12.00 tengahari dan jam 1.00 – 5.00 petang), dan masuk waktu Zuhur pula selalunya selepas jam 1.00 petang serta habis ‘Ashar pula jam 5.00 petang. Saya amat kesal dengan keadaan ini dan merasa berdosa kerana selalu meninggalkan sembahyang Zuhur dan ‘Ashar. Apakah yang patut saya lakukan selain daripada mengqadha sembahyang-sembahyang tersebut di malam hari? Bolehkah saya melakukan sembahyang tersebut secara tunai dengan cara duduk sahaja, walaupun saya masih mampu berdiri untuk mengerjakannya? (Ini untuk menyempati masa dan menyelesaikan masalah tidak ada tempat untuk bersembahyang).

Jawapan: Sembahyang fardhu lima waktu sehari semalam wajib dikerjakan. Ganjaran dan fadhilatnya adalah amat besar sekali. Demikian juga sebaliknya, meninggalkan sembahyang itu akan dibalas dan dihukum dengan hukuman yang sangat berat.

Sembahyang itu adalah tiang agama. Sembahyang juga merupakan kepala bagi segala pendekatan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan awal permulaan bagi ketaatan hamba terhadap Tuhannya. Awal perkiraan ibadat seseorang pada Hari Kiamat nantipun adalah ibadat sembahyang.

Sembahyang fardhu lima waktu itu haram ditinggalkan walaupun hanya satu waktu, tidak kira dia seorang yang sakit, musafir, orang yang sibuk dengan tugas, menuntut ilmu atau sebagainya, melainkan orang-orang yang dikecualikan oleh syara‘ seperti perempuan haidh, nifas, orang gila dan kanak-kanak yang belum bâligh.

Dalam sembahyang mempunyai rukun-rukun yang wajib dilaksanakan. Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:

1. Rukun qalbi: Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaitu niat.

2. Rukun qauli: Rukun yang bersangkut-paut dengan perkataan, seperti takbîratulihrâm, membaca surah al-Fâtihah, tasyahhud (tahiyyat akhir), salawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan salam.

3. Rukun fi‘li: Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, ruku‘ dan sujud.

Berdiri adalah salah satu daripada rukun-rukun fi‘li yang wajib dilakukan dalam sembahyang fardhu bagi mereka yang mampu berdiri. Adapun mereka yang tidak mampu berdiri bolehlah mengerjakan sembahyang tersebut dengan duduk.

Contoh bagi mereka yang tidak mampu berdiri itu seperti orang yang sangat tua, orang sakit, takut terjatuh apabila berada di atas kapal atau ada kepayahan yang bersangatan sehingga menghilangkan khusyû‘ sembahyang.

Dalam situasi atau keadaan yang dijelaskan di atas, bagi penyoal tidak ada halangan untuk menunaikan sembahyang pada waktunya walaupun ketika belajar. Cuma penyoal menunaikan sembahyang tersebut dengan duduk walaupun mampu berdiri, dengan alasan untuk menyempati waktu sembahyang Zuhur dan ‘Ashar.

Apabila dilihat keharusan mengerjakan sembahyang fardhu dengan duduk, maka tidaklah termasuk alasan yang diberikan “untuk menyempati masa” di dalam kategori orang yang tidak mampu berdiri.

Oleh yang demikian, kenalah juga penyoal menunaikan sembahyang fardhu itu dengan berdiri dan tidak ada kelonggaran untuk menunaikannya dengan duduk.

Bertolak daripada masalah penyoal iaitu “untuk menyempati masa”, sedang penyoal hanya mempunyai waktu yang singkat disebabkan belajar, maka sebagai irsyâd lakukanlah sahaja rukun-rukun sembahyang fardhu tanpa membuat yang sunat.

Sebagai contoh membaca surah al-Fâtihah sahaja tanpa membaca surah lain selepasnya, kerana membaca surah al-Fâtihah itu adalah daripada rukun-rukun sembahyang, manakala membaca surah lain selepas surah al-Fâtihah adalah daripada sunat-sunat sembahyang.

Dalam situasi yang dijelaskan juga, penyoal menunaikan sembahyang fardhu dengan duduk, bertujuan bagi mengatasi masalah tidak ada tempat untuk bersembahyang. Sebenarnya sembahyang itu boleh ditunaikan di mana-mana sahaja seperti di padang, tanah lapang, di lorong, di dalam bilik atau sebagainya asalkan tempat itu suci daripada najis yang tidak dimaafkan.

Jika alasan yang diberikan itu hanya kerana ruang tempat sembahyang itu sempit sehingga tidak dapat melakukan sujud, ruku‘ atau duduk, dan tidak ada lagi tempat lain untuk mengerjakan sembahyang itu secara boleh ruku‘ dan sujud, maka bolehlah ditunaikan sembahyang itu dengan berdiri sahaja. Namun jika sebaliknya, iaitu ruang tempat sembahyang itu sempit sehingga tidak dapat berdiri (seperti tempat itu rendah dan hanya ada ruang untuk duduk sahaja) dan tidak ada tempat lain lagi untuk mengerjakan sembahyang, maka bolehlah ianya dikerjakan dengan duduk.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9769