Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Wali Nikah

Soalan: Dengan hormatnya sukacita dihadapkan persoalan-persoalan mengenai wali nikah seperti berikut:

1. Seorang anak bukan Islam dilahirkan sebelum kedua ibu bapanya berkahwin mengikut adat. Setelah anak tersebut dewasa, dia telah memeluk agama Islam sedangkan kedua ibu bapanya tidak memeluk agama Islam. Anak tersebut mempunyai seorang adik perempuan yang juga memeluk agama Islam, yang mana adik perempuannya itu dilahirkan setelah kedua ibu bapa mereka berkahwin mengikut adat Dusun.

Adakah si abang (seorang Muallaf) layak menjadi wali kepada adik perempuannya, sedangkan orang yang beragama Islam yang lahir sebelum kedua ibu bapanya berkahwin adalah dianggap anak yang tidak sah taraf dan tidak boleh menjadi wali.

2. Seorang anak bukan Islam dilahirkan setelah kedua ibu bapanya berkahwin mengikut adat. Akan tetapi kelahirannya kurang daripada 180 hari dari tarikh perkahwinan kedua ibu bapanya. Setelah anak tersebut dewasa, dia telah memeluk agama Islam, sedangkan kedua ibu bapanya tidak memeluk agama Islam. Anak tersebut mempunyai seorang adik perempuan yang juga memeluk agama Islam, yang mana adik perempuannya itu merupakan anak kedua hasil daripada perkahwinan ibu bapa mereka.

Adakah layak si abang (seorang Muallaf) menjadi wali kepada adik perempuannya, sedangkan seorang yang beragama Islam yang lahir kurang daripada 180 hari dari tarikh perkahwinan kedua ibu bapanya adalah dianggap anak yang tidak sah taraf dan tidak boleh menjadi wali.

Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa berkenaan dengan seberapa segera bagi mengatasi masalah-masalah yang berbangkit dalam permohonan perkahwinan.

Jawapan: Antara orang yang layak menjadi wali dalam suatu pernikahan itu ialah saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa. Saudara lelaki seibu sebapa itu berhak menjadi wali sekiranya bapa dan datuk perempuan telahpun meninggal dunia atau tidak layak menjadi wali kerana bukan beragama Islam.

Melihat kepada permasalahan di atas, kedua-dua keadaan itu tidak menggambarkan hubungan nasab seibu sebapa atau sebapa kepada perempuan yang hendak bernikah kerana dalam permasalahan pertama lelaki yang akan menjadi wali kepada adiknya itu lahir sebelum ibu bapa mereka berkahwin. Oleh itu, maka lelaki tersebut tidak sabit nasabnya kepada bapa perempuan yang akan bernikah. Maka tidaklah ada pertalian nasab seibu sebapa atau sebapa antara lelaki dan perempuan berkenaan.

Begitu juga dengan permasalahan kedua di mana lelaki yang akan menjadi wali itu telah lahir kurang daripada 180 hari dari sejak boleh bersatu ibu bapanya selepas perkahwinan mereka. Hal ini menyebabkan lelaki tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapa perempuan yang akan bernikah sebagaimana pendapat majoriti para ulama. (Sila lihat Hâsyiah al-Baijuri, at-Tuhfah dan Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh).

Maka dalam kedua-dua keadaan tersebut, lelaki yang akan menjadi wali itu tidak boleh menjadi wali nikah kepada perempuan berkenaan kerana tidak sabit nasabnya kepada bapa perempuan yang akan bernikah. Maka nasabnya juga tidak sabit sebagai abang seibu sebapa atau sebapa kepada perempuan yang akan bernikah menurut syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9846