Waqaf Tanah Untuk Sekolah Ugama Bangunannya Dijadikan Sekolah Arab
Soalan: Dengan hormat dan sukacita kaola memaklumkan bahawa bangunan Sekolah Ugama Jerudong yang didirikan di atas tapak tanah waqaf telah kosong berikutan pelaksanaan Skim Sekolah Rintis Sehari Suntuk dan Sistem Persekolahan Kurikulum Bersepadu di mana murid-murid daripada sekolah tersebut belajar agama di mana mereka bersekolah pada sesi pagi.
Sehubungan dengan itu pada memanfaatkan kekosongan bangunan tersebut Jabatan Pengajian Islam bercadang untuk menjadikannya sebagai sekolah Arab bagi menempatkan pelajar-pelajar yang pada masa ini belajar di Sekolah Persediaan Arab Beribi yang menghadapi masalah tidak cukup tempat untuk menampung jumlah pelajar.
Oleh sebab tapak bangunan tersebut adalah tanah waqaf dengan tujuan untuk dijadikan tapak Sekolah Ugama Jerudong, maka sukacita Jabatan ini memohon fatwa daripada Pehin sama ada bangunan tersebut boleh dijadikan sebagai sekolah Arab dengan tidak mengubah tujuan asal tanah tersebut diwaqafkan kerana sepertimana yang dimaklumi mata-mata pelajaran yang diajarkan di sekolah Arab itu nanti bukan hanya mata-mata pelajaran Arab/agama tetapi juga meliputi pelajaran umum seperti English, Bahasa Melayu, Chemistry, Biology, Physics, History dan lain-lain.
Di atas ketetapan Pehin mengenai perkara ini dalam kadar yang segera adalah amat dihargai kerana cadangan untuk menjadikan bangunan sekolah agama tersebut sebagai sekolah Arab akan bermula pada 1 April, 2004.
Jawapan: Apabila seorang berwaqaf sesuatu tanah untuk dijadikan tapak sekolah agama di atas tanah itu, maka kehendak pewaqaf itu hendaklah dipatuhi. Begitu juga, jika dia meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap waqafnya itu, maka segala syarat-syaratnya itu mestilah dipatuhi selama mana syarat-syaratnya itu memenuhi kehendak syara‘ atau tidak bercanggah dengan syara‘. Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:
Ertinya: Menurut qaul al-ashah, sesungguhnya jika seseorang itu berwaqaf dengan mensyaratkan supaya (waqafnya itu) tidak disewakan, (maka hendaklah) dipatuhi syaratnya itu. Dan sesungguhnya jika seseorang itu berwaqaf masjid (dengan) mensyaratkan (penggunaannya) khusus kepada satu golongan seperti pengikut mazhab Syafi‘e, (maka penggunaan masjid itu hendaklah) khusus kepada mereka (sahaja sebagaimana halnya juga) seperti sekolah dan asrama (jika dikhususkan penggunaannya kepada satu golongan yang tertentu). (Mughni al-Muhtâj: 2/385)
Perkara ini ditegaskan juga oleh pengarang kitab Fath al-Mu‘în dengan berkata:
Ertinya: Jika orang yang berwaqaf mensyaratkan sesuatu yang dia kehendaki seperti pensyaratan supaya tidak disewakan (waqafnya) itu sama sekali atau kecuali (dengan tempoh) sebegini seperti setahun atau (disyaratkan) supaya diutamakan (dilebihkan) sebahagian mereka yang mendapat manfaat waqaf daripada sebahagian (yang lain) sekalipun yang diutamakan itu perempuan ke atas lelaki atau (disyaratkan) supaya disamaratakan di antara mereka atau (disyaratkan penggunaan waqaf itu) seumpama masjid seperti juga sekolah dan tanah perkuburan khusus kepada satu golongan (tertentu) seperti pengikut mazhab Syafi‘e, (maka) hendaklah dipatuhi syarat orang yang berwaqaf itu di dalam keadaan bukan dharûrah, sebagaimana (dipatuhi) segala syarat-syaratnya yang tidak bersalahan dengan syara‘. Sedemikian itu kerana wujud di dalamnya kepentingan (kepada orang yang berwaqaf). (Fath al-Mu‘în bi Syarh Qurrah al-‘Âin bi Muhimmât ad-Dîn: 91)
Oleh kerana itu, pada dasarnya, jika seseorang itu berwaqaf untuk sekolah agama, maka tidaklah boleh dijadikan waqaf itu untuk sekolah Arab, kerana sekolah agama yang dimaksudkan pada waktu itu adalah jelas dapat difahami bukan untuk sekolah Arab. Jika pada ketika itu ia dijadikan sekolah Arab, adalah ini bertentangan dengan niat orang yang berwaqaf untuk sekolah agama itu.
Walau bagaimanapun oleh kerana sekolah agama yang didirikan di atas tapak waqaf tersebut telah kosong berikutan pelaksanaan Skim Sekolah Rintis Sehari Suntuk dan Sistem Persekolahan Kurikulum Bersepadu, maka adalah harus bangunan sekolah agama itu digunakan untuk dijadikan sekolah Arab atas dasar dharûrah di mana pelaksanaannya masih menghampiri matlamat pewaqaf. Sekolah Arab, sekalipun pada dasarnya bukan sekolah agama yang dikehendaki oleh pewaqaf, namun pada hakikatnya sekolah Arab dari segi fungsi dan tujuannya adalah berlebih kurang sahaja, di mana kerana itu ia boleh dianggap sebagai menghampiri matlamat pewaqaf. Inilah yang lebih baik daripada membiarkannya kosong atau terbiar begitu sahaja. Lagipun di sekolah Arab itu nanti masih akan diajar juga perkara-perkara atau mata-mata pelajaran agama yang menjadi maksud orang yang berwaqaf sewaktu mewaqafkan tanahnya itu. Turut juga menjadi hujjah ianya diharuskan ialah kerana si pewaqaf tentu sahaja tidak mahu waqafnya (tapak dan bangunan sekolah) itu terbengkalai dengan melarangnya menjadi sekolah Arab. Adalah bagi nazir atau pentadbir waqaf berkewajipan memelihara kepentingan pewaqaf, lebih daripada orang yang berhak kepada waqaf itu.
Pengarang kitab Fath al-Mu‘în ada menyebutkan:
Ertinya: (Peringatan) ketika mana orang yang berwaqaf itu melafazkan secara ringkas (tidak mendetilkan) syaratnya, (maka) dipatuhi syaratnya itu berdasarkan ‘urf yang berjalan di zamannya kerana (‘urf yang berjalan di zamannya itu) menempati taraf syarat orang yang berwaqaf. Kemudian (jika tidak ada ‘urf yang berjalan pada zaman itu untuk dibuatkan sandaran maka ia hendaklah berdasarkan) apa yang menghampiri kepada matlamat orang-orang yang berwaqaf. (Fath al-Mu‘în bi Syarh Qurrah al-‘Âin bi Muhimmât ad-Dîn: 92)
Al-Qalyubi Rahimahullah pula berkata:
Ertinya: Dan situasi di mana dipatuhi syarat orang yang berwaqaf itu juga ialah selama mana bukan di dalam keadaan dharûrah sekalipun mengambil masa yang panjang. Jika tidak, (jika di dalam situasi dharûrah) seumpama bangunan waqaf yang roboh, maka tidak dipatuhi syarat orang yang berwaqaf itu, seperti juga jika sekiranya dia mensyaratkan supaya tidak disewakan (bangunan) itu melebihi tiga tahun umpamanya, (tetapi) dharûrah menghendaki untuk membangunnya (semula) sekalipun mengambil masa yang panjang, dan tidak ada orang yang hendak menyewanya kecuali dengan sewaan yang melebihi syarat tiga tahun, maka adalah harus (jangka masa sewaan yang) lebih itu sekira-kira cukup untuk pembangunan semula kerana disebabkan oleh dharûrah. (Hasyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 3/104)
Imam Syihab ad-Din ar-Ramli Rahimahullah pula berkata:
Ertinya: Dan perkataan “bukan di dalam keadaan dharûrah” mengeluarkan (tidak memasukkan keadaan di mana) jika sekiranya tidak didapati sesiapa pun yang berminat pada waqaf itu kecuali dengan cara yang berlainan dengan demikian (apa yang telah disyaratkan oleh orang yang berwaqaf), maka adalah harus (ditinggalkan syarat orang yang berwaqaf itu), kerana pada zahirnya bahawa orang yang berwaqaf tidak ingin waqafnya itu terbengkalai. Dan jika sekiranya rumah yang disyaratkan agar tidak disewakan kecuali dengan kadar sebegini (tertentu) itu roboh dan rumah itu tidak mungkin dapat dibangunkan (semula) kecuali dengan sewaan yang melebihi kadar yang sedemikian (yang telah ditentukan), (maka harus waqaf itu) disewakan dengan kadar sekira-kira mencukupi untuk pembangunannya sahaja sebagai memelihara kepentingan orang yang berwaqaf bukannya kepentingan orang yang berhak (kepada waqaf itu). (Nihâyah al- Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 5/376)
Oleh yang demikian, walaupun pada dasarnya waqaf tanah (tapak) sekolah agama itu tidak boleh dijadikan sebagai waqaf untuk sekolah Arab, akan tetapi disebabkan oleh dasar dharûrah dan menjaga kepentingan orang yang berwaqaf agar waqafnya tidak terbengkalai atau waqafnya itu tidak menjadi sia-sia, maka adalah harus dijadikan sebagai sekolah Arab di bangunan sekolah agama itu (yang mana tanah yang diwaqafkan itu ialah untuk dijadikan tapak sekolah agama) kerana itulah sahaja yang menghampiri kepada matlamat atau maksud orang yang berwaqaf itu daripada membiarkannya terus terbiar kosong sahaja.
Di samping itu, bagi menjaga kepentingan orang yang berwaqaf, makluman mengenai perkara tersebut ada baiknya disampaikan kepadanya dengan tujuan tidak mengetepikan matlamat asal orang yang berwaqaf dan untuk mengelakkan perkara yang berbangkit di kemudian hari.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-9854
