Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Adat Perkahwinan: Mengenai Kain Jongsarat

Soalan: Apakah adat resam orang-orang di negara ini yang menjadikan kain Jongsarat sebagai di antara barang-barang permintaan pihak perempuan untuk majlis perkahwinan bertentangan dengan ajaran Islam?

Jawapan: Dalam akad pernikahan yang wajib dibayar oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan adalah mahr atau mas kahwin sahaja, sama ada ianya dalam bentuk wang ringgit atau setiap benda yang bernilai yang sah diperjualbelikan.

Kita ingin menghuraikan perkara mahr atau mas kahwin ini dengan ringkas untuk tujuan irsyâd jua supaya dapat dibezakan antara mahr dengan berbagai-bagai permintaan oleh pihak pengantin perempuan.

Mas Kahwin Yang Ringan

Mas kahwin adalah sejumlah harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri semasa akad nikah. Dalil wajib bagi mas kahwin itu telah disebut dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan sesuka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya, maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai ni‘mat yang lazat lagi baik kesudahannya. ( Surah an-Nisâ’: 4 )

Antara keindahan Islam itu terlihat pada dasar memberikan keringanan atau kemudahan di dalam perkahwinan. Ia menggalakkan (sunat hukumnya) supaya mas kahwin itu diringankan, jangan sampai ia memberatkan atau menyusahkan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya di antara tanda keberkatan seseorang wanita itu ialah mudah urusan meminangnya, mudah mas kahwinnya dan mudah rahimnya (cepat mengandung melahirkan ramai keturunan). (Hadits riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

Maksudnya: Sebaik-baik pernikahan adalah yang sedikit (mahrnya). (Hadits riwayat Abu Daud)

Dalam hadits ada menyebutkan bahawa cincin yang diperbuat daripada besi pun boleh dijadikan mahr, sebagaimana riwayat daripada Sahal bin Sa‘ad, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada seorang lelaki:

Maksudnya: Kahwinlah, walaupun dengan sebentuk cincin daripada besi. (Hadits riwayat Bukhari)

Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: 78)

Keringanan dan kemudahan itu adalah merupakan kehendak Allah sebagai rahmatNya. FirmanNya:

Tafsirnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Alhamdulillah, permintaan mas kahwin di Negara Brunei Darussalam sekitar $300 hingga $500 ringgit itu, rasanya adalah di tahap sederhana dan tidak membebankan bagi pihak pengantin lelaki. Namun yang membebankan itu mungkin seperti “Tanda Bertunang” termasuk iringannya, “Membuka Mulut”, “Belanja Hangus atau Serba Guna” berjumlah sekian ribu, “Kelangkahan Dulang” (jika berkenaan) dan lain-lain. Ini belum termasuk lain-lain hadiah yang akan dibawa oleh pihak pengantin lelaki dan lain-lain belanja untuk majlis-majlis yang berkaitan dengan perkahwinan itu.

Semua permohonan atau permintaan oleh pihak pengantin perempuan kepada pihak pengantin lelaki, selain daripada mas kahwin di atas bukanlah ia tuntutan Islam, namun oleh kerana ia telah menjadi adat dan malu bagi pihak pengantin lelaki menolaknya atau meminta “kurangi” seperti yang dipohonkan pandangan iaitu mengenai Kain Jongsarat di atas, maka akhirnya segala permohonan pihak perempuan diterima juga, walaupun kadang-kadang dalam keadaan terpaksa. Soalnya sampai bila keadaan seperti ini boleh berubah, adalah memerlukan komitmen dan kesedaran masyarakat jua. Dalam perkara yang ditanyakan, tanpa Kain Jongsarat, tidaklah mencacatkan perkahwinan itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10169