Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأخلاق والآداب

Beberapa Isu Berkaitan Pembelajaran Al-Qur’an

Soalan: Dipohonkan penjelasan dan ketetapan Pehin Mufti mengenai hukum perkara-perkara berikut:

1. Kanak-kanak bukan Islam yang mumayyiz dan sudah bâligh belajar dan seterusnya membaca al-Qur’an di sekolah.

2. Kanak-kanak bukan Islam yang mumayyiz tetapi belum bâligh diajarkan membaca al- Qur’an tanpa pengetahuan atau kerelaan ibu bapa mereka, sedangkan pada pandangan pihak yang mengajarkan, kanak-kanak berkenaan ada harapan atau kecenderungan untuk memeluk agama Islam.

3. Kedudukan murid-murid dan guru yang membaca al-Qur’an dengan memakai kasut yang berkemungkinan di tapak kasut tersebut terdapat kotoran seperti najis dan seumpamanya.

4. Kedudukan pelajar perempuan yang uzur syar‘i (datang haidh) menjawab soalan peperiksaan al-Qur’an secara bertulis.

Jawapan: Al-Qur’an adalah kalâmullâh dan sifatnya adalah mulia sesuai dengan namanya al-Qur’an al- Karim. Di antara tanda kemuliaan al-Qur’an itu ialah al-Qur’an tidak boleh disentuh kecuali oleh orang yang suci (tidak berhadas). Para ulama juga menegaskan bahawa apa jua perkara atau tindakan yang membawa kepada penghinaan al-Qur’an atau sebahagian daripadanya seumpama satu ayat daripadanya adalah dihukumkan haram dan boleh membawa kepada rosak aqidah.

Mengajar Al-Qur’an Kepada Orang Bukan Islam

Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab al-Majmû‘:

Ertinya: Sahabat-sahabat kami berkata: “Tidak ditegah orang kafir mendengar al-Qur’an dan ditegah (orang kafir) menyentuh Mushhaf (al-Qur’an). Adakah harus (boleh) diajarkan kepadanya (orang kafir) al-Qur’an? Dilihat (terlebih dahulu), jika tidak diharapkan dia akan masuk Islam (maka) tidak harus (tidak boleh), jika diharapkan dia akan masuk Islam (maka) adalah harus (boleh diajarkan kepadanya) menurut wajh (pendapat) yang lebih ashah daripada dua wajh.” (Al-Majmû‘: 1/85)

Oleh yang demikian, jika kanak-kanak bukan Islam yang mumayyiz itu sama ada yang sudah atau belum bâligh ada harapan akan memeluk agama Islam, maka adalah harus diajarkan kepadanya al-Qur’an tanpa diserahkan Mushhaf al-Qur’an atau muqaddam atau bahagian-bahagian Mushhaf al-Qur’an kepadanya. Dia hanya belajar melalui pembacaan di papan hitam, mendengar dari kaset, video atau lain-lain alat pandang-dengar, kerana orang bukan Islam ditegah menyentuh Mushhaf dan ayat al-Qur’an serta haram diserahkan Mushhaf al- Qur’an, muqaddam atau bahagian-bahagian Mushhaf al-Qur’an kepada mereka. Jika pada zahirnya mereka itu ada harapan akan memeluk agama Islam, maka bolehlah diajarkan kepada mereka al-Qur’an dengan mengambil kira hukum-hakam berhubung menyentuh dan membaca al-Qur’an khasnya bagi perempuan. Tetapi jika tidak ada harapan mereka itu akan memeluk agama Islam, maka tidak boleh diajarkan kepada mereka al-Qur’an.

Mengajar Al-Qur’an Kepada Kanak-Kanak Bukan Islam Tanpa Kerelaan Ibu Bapanya

Tiada paksaan di dalam Islam. Ini membawa maksud bahawa orang-orang bukan beragama Islam tidak dipaksa mereka itu untuk memeluk agama Islam. Firman Allah:

Tafsirnya: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). (Surah al-Baqarah: 256)

Oleh itu, kanak-kanak bukan Islam yang mumayyiz yang belum bâligh tidak boleh diajarkan membaca al-Qur’an tanpa pengetahuan atau kerelaan ibu bapa mereka, sekalipun kanak-kanak itu ada harapan atau kecenderungan untuk memeluk agama Islam. Ini kerana mereka belum bâligh dan penjagaan ke atas diri mereka merupakan hak dan tanggungjawab ibu bapa mereka selama mana mereka belum bâligh. Dalam sistem pendidikan Negara Brunei Darussalam ada yang disebut sebagai ‘Sekolah Ugama’ di mana murid-murid yang beragama Islam belajar mata pelajaran agama di sebelah petang, sementara di sebelah pagi pula mereka mempelajari mata pelajaran umum. Demikianlah juga jika sebaliknya.

Kini apabila sistem pendidikan bersepadu sudah dilaksanakan, maka murid-murid diajarkan mata pelajaran umum di samping mata pelajaran agama di dalam satu sekolah tanpa memerlukan lagi mereka pergi ke ‘Sekolah Ugama’.

Dalam sistem ‘Sekolah Ugama’ sama ada pagi atau petang, murid-muridnya akan diajarkan membaca al-Qur’an, ilmu fiqh, ilmu tauhid, ilmu tashawwuf dan lain-lain. Apabila murid-murid yang tidak beragama Islam berkeinginan untuk belajar masuk ke ‘Sekolah Ugama’

dengan kerelaan hati ibu bapa mereka, sudah tentu mereka itu akan mempelajari sebagaimana mata pelajaran yang diajarkan kepada murid-murid yang beragama Islam termasuk pelajaran membaca al-Qur’an. Dalam hal ini, tidak timbul atau tidak berbangkit bahawa pelajaran membaca al-Qur’an itu diajarkan kepada mereka (yang tidak beragama Islam) tanpa pengetahuan atau kerelaan ibu bapa murid-murid berkenaan.

Ini adalah berlainan keadaannya dengan sistem pendidikan bersepadu, sama ada mata pelajaran yang diajarkan kepada murid-murid yang bukan beragama Islam itu khususnya mata pelajaran al-Qur’an memerlukan keizinan ibu bapa mereka terlebih dahulu ataupun mereka boleh memilih atau menolak mana-mana mata pelajaran agama yang ditawarkan kepada mereka.

Pada hemat kita, jika mempelajari atau belajar membaca al-Qur’an itu menjadi isu yang sensitif kepada ibu bapa murid-murid yang tidak beragama Islam, mengapa pendekatan mempelajari bahasa Arab bagi murid-murid yang tidak beragama Islam tidak dijadikan alternatif dengan matlamat supaya murid-murid yang tidak beragama Islam itu pada akhirnya jua boleh pandai membaca al-Qur’an? Mempelajari bahasa, walau apa jua jenis bahasa sekalipun termasuk bahasa Arab tidaklah menimbulkan sentimen keagamaan berbanding dengan belajar membaca al-Qur’an, walaupun keduanya mempunyai kaitan yang kuat kerana bahasa al-Qur’an itu adalah bahasa Arab. Bahkan dengan mempelajari bahasa Arab, sudah tentu perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum menyentuh al-Qur’an dapat dielakkan bagi murid-murid yang tidak beragama Islam. Namun bagi murid-murid yang beragama Islam belajar membaca al-Qur’an itu hendaklah diteruskan, kerana belajar membaca al-Qur’an itu adalah fardhu ‘ain sekaligus menjadi ibadat.

Walauُُ bagaimanapun, ini tidaklah bererti segala pembelajaran yang berkaitan dengan agama Islam tidak boleh diajarkan kepada kanak-kanak yang tidak beragama Islam jika tidak mendapat kerelaan daripada ibu bapa mereka. Sebagai sebuah negara Islam di mana majoriti penduduknya beragama Islam, penduduk yang bukan beragama Islam adalah wajar diberi kefahaman dan pengetahuan tentang agama Islam bagi tujuan menjaga keharmonian hidup bermasyarakat di dalam kelompok orang-orang Islam. Bahkan ianya boleh dijadikan sebagai salah satu dasar pendidikan negara dengan maksud ianya dijadikan sebagai sebuah mata pelajaran yang wajib bagi pelajar-pelajar yang bukan beragama Islam.

Bahkan ia sepatutnya juga menjadi sebuah mata pelajaran yang wajib di samping mata pelajaran al-Qur’an kepada pelajar-pelajar yang beragama Islam di dalam semua peringkat sekolah, maktab dan pengajian tinggi, kerana mempelajari agama Islam dan membaca al-Qur’an itu sendiri adalah fardhu ‘ain kepada setiap orang Islam. Perkara ini penting, kerana terdapat masih ramai pelajar-pelajar kita yang beragama Islam tidak mempunyai pengetahuan dan kefahaman yang cukup dalam agama Islam dan tidak berkebolehan membaca al-Qur’an di tahap yang memuaskan. Dengan cara ini, maka ia sedikit sebanyak dapat mendorong para ibu bapa, penjaga dan pelajar-pelajar memberi perhatian yang lebih kepada mata pelajaran tersebut sebagaimana perhatian yang diberikan kepada mata pelajaran-mata pelajaran wajib yang lain.

Membaca Al-Qur’an Dengan Memakai Kasut Yang Bernajis Adalah harus dan tidak dihukumkan makruh membaca al-Qur’an tanpa berwudhu (suci daripada hadas kecil). Tetapi adalah lebih afdhal seseorang itu berwudhu (suci daripada hadas kecil), kerana disunatkan berwudhu membaca al-Qur’an. Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Adalah disunatkan orang yang membaca al-Qur’an itu berada di dalam keadaan suci. Jika dia membaca (al-Qur’an) dalam keadaan berhadas, adalah harus (sedemikian itu) dengan ijmâ‘ orang-orang Islam dan hadits-hadits mengenainya juga banyak dan sudah diketahui. Imam al-Haramain pula berkata: “Dan tidak dikatakan (orang yang membaca al- Qur’an dalam keadaan berhadas) melakukan perkara makruh, cuma dia meninggalkan perkara yang afdhal.” (At-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân: 58)

Adapun membaca al-Qur’an dengan memakai kasut yang bernajis, hukumnya adalah makruh berdasarkan hukum membaca al-Qur’an dengan keadaan mulut yang bernajis yang disebut oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah:

Ertinya: Adapun jika mulutnya bernajis dengan darah atau yang selain darah, maka dihukumkan makruh baginya membaca al-Qur’an sebelum membasuhnya. (At-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân: 58)

Ini juga bermaksud bahawa jika seseorang itu mempunyai wudhu (suci daripada hadas kecil), tetapi di bahagian badannya terdapat najis umpamanya di kasut, di baju atau sebagainya, maka tidak haram baginya menyentuh al-Qur’an asalkan sahaja dia tidak menyentuhkan atau mengenakan al-Qur’an dengan tempat bernajis yang terdapat di bahagian badannya. Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Jika terdapat najis yang tidak dimaafkan di satu bahagian badan orang yang suci (mempunyai wudhu), (maka) adalah haram ke atasnya menyentuh Mushhaf (al-Qur’an) dengan tempat yang bernajis itu tanpa perselisihan pendapat, (tetapi) tidak haram (dia menyentuhnya) dengan yang lain (yang tidak bernajis) menurut pendapat al-madzhab ash-shahîh lagi al-masyhûr yang dikatakan oleh majoriti sahabat-sahabat kami dan para ulama selain mereka. (At-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân: 153-154)

Adapun kedudukan murid-murid dan guru-guru yang membaca al-Qur’an dengan memakai kasut yang berkemungkinan terdapat najis di tapak kasut mereka, hukumnya adalah tertakluk kepada keyakinan si pemakainya. Jika dia yakin terdapat najis di tapak kasutnya, maka adalah makruh hukumnya dia membaca al-Qur’an. Manakala jika dia yakin bahawa tidak terdapat najis di tapak kasutnya maka adalah harus dia membaca al-Qur’an. Ini adalah berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

Ertinya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.

Menjawab Soalan Peperiksaan Al-Qur’an Secara Bertulis Dalam Keadaan Haidh

Adalah harus menurut pendapat yang shahîh bagi orang yang berhadas kecil dan juga yang datang haidh menulis al-Qur’an dengan syarat dia tidak memegang dan menyentuh kertas yang ditulis ayat al-Qur’an itu ketika menulisnya. Jika dia memegang atau menyentuh kertas yang ditulis ayat al-Qur’an itu ketika menulisnya, maka ia dihukumkan haram. Imam an- Nawawi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Apabila orang yang berjunub atau yang berhadas menulis al-Qur’an, jika dia memegang kertas atau menyentuhnya ketika menulisnya maka hukumnya adalah haram. Jika dia tidak memegangnya dan tidak juga menyentuhnya, maka terdapat tiga pendapat: Pendapat ash-shahîh ialah harus. Pendapat kedua ialah haram. Pendapat ketiga ialah harus kepada orang yang berhadas dan haram kepada orang yang berjunub. (At-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân: 152)

Sebagai irsyâd juga, jika perkara tersebut susah untuk dilaksanakan, maka adalah lebih baik peperiksaan al-Qur’an itu ditunda ke suatu tarikh yang bersesuaian sehingga pelajar perempuan yang haidh itu bersih daripada haidhnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10182