Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Bekerja Di Sebuah Syarikat Di Mana Salah Satu Anak Syarikatnya Mengusahakan Perjudian

Soalan: Saya mendapat tawaran pekerjaan di sebuah syarikat telekomunikasi. Syarikat ini dimiliki bersama oleh syarikat dari luar negara (61%) dan syarikat tempatan (20%). Syarikat tempatan ini mempunyai banyak anak syarikat, salah satunya mengusahakan perjudian yang memberi keuntungan besar kepada syarikat tersebut. Ada kemungkinan modal yang disalurkan itu juga datang daripada keuntungan yang disumbangkan oleh syarikat judi berkenaan lalu dilaburkan sebanyak 20% bagi menubuhkan syarikat telekomunikasi bersama syarikat dari luar negara.

Adakah dibolehkan bekerja di syarikat telekomunikasi tersebut dan adakah pendapatannya dikira halal atau haram?

Jawapan: Mencari Pendapatan Yang Halal

Sesungguhnya Islam mengiktiraf tanggungjawab setiap individu dalam memenuhi keperluan dirinya dan keperluan orang yang di bawah tanggungannya. Malah pada dasarnya Islam menuntut umatnya untuk membebaskan dirinya daripada kefakiran dan kemiskinan serta tidak bergantung kepada runtunan nasib semata-mata, bahkan tidak bergantung hidup dengan meminta-minta walaupun kadang-kadang disebabkan desakan hidup memaksanya berbuat begitu. Oleh itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menghendaki kita supaya berusaha mencari sumber pendapatan dengan cara yang halal.

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Surah al-Jumu‘ah: 10)

Jauhi Pendapatan Yang Syubhah Setiap pendapatan yang diperolehi itu selain ianya mesti daripada sumber yang halal, hendaklah juga bebas daripada elemen-elemen syubhah iaitu yang tidak diketahui status halal ataupun haramnya. Allah Subhananhu wa Ta‘ala memerintahkan agar kita memakan daripada yang baik-baik serta mengingatkan bahawa sesiapa menjaga dirinya daripada perkara-perkara syubhah, sesungguhnya dia telah menjaga agamanya dan kemuliaan dirinya. Peringatan ini jelas ditunjukkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits Baginda sepertimana yang diriwayatkan oleh Nu‘man bin Bashir Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Antara keduanya terdapat hal-hal yang musyabbahât (tidak jelas status halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Sesiapa yang menjaga hal-hal musyabbahât itu, maka dia telah menjaga kesucian kehormatannya dan agamanya. Sesiapa yang terjerumus dalam syubhah adalah seperti pengembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja mempunyai kawasan larangannya. Maka sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Judi

Judi merupakan perbuatan yang terang dan jelas diharamkan dalam Islam melalui al-Qur’an dan hadits. Oleh itu, segala pendapatan yang diperolehi daripada perusahaan yang berhubung langsung dengan apa jua bentuk perjudian itu adalah haram.

Oleh yang demikian, jika institusi perniagaan itu mengusahakan produk judi, maka wang yang diambil atau diperolehi untuk dimanfaatkan oleh pekerjanya adalah wang haram. Oleh itu, tidak harus orang Islam bekerja di tempat yang menjalankan perniagaan judi.

Bagi model perniagaan yang berleluasa pada masa ini seperti syarikat kerjasama, subsidiari, joint-venture, konglomerat (organisasi perniagaan pelbagai bahagian) atau bermacam bentuk perbadanan komersial yang dijalankan secara usahasama, ia boleh mendatangkan isu lebih kompleks. Hasil gabungan pendapatan setiap cawangan dalam organisasi itu berpotensi menyumbang kepada percampuran antara perolehan wang halal dengan yang sebaliknya. Ini kerana sebagaimana yang berlaku dalam dunia perniagaan zaman ini, ada sebahagian syarikat menjalankan perusahaan halal sedang sebahagian lagi mengadakan unsur perdagangan tidak halal. Pengumpulan hasil kedua-dua pendapatan di mana wang halal bercampur-baur dengan wang haram akan menghasilkan sumber yang syubhah.

Apabila wang tersebut disalurkan semula seperti ke cawangan-cawangannya bagi memenuhi kegunaan masing-masing seperti membayar gaji pekerja atau digunakan bagi tujuan lain, misalnya dilaburkan ke institusi yang berasingan, dana yang digunakan adalah dari sumber yang mengandungi elemen syubhah tersebut. Secara zahirnya, orang yang akan mengambil manfaat darinya adalah mengambil daripada sumber yang tidak dapat diketahui bahagian mana yang halal dan bahagian mana pula yang haram.

Bersikap Wara‘

Dalam hal mengambil manfaat daripada sumber yang syubhah, al-Imam al-Ghazali seorang ulama dari mazhab Imam asy-syafi‘e telah mengusulkan cara bagi menangani keadaan ini iaitu melalui pemahaman sifat wara‘ yang dimiliki seseorang.

Secara istilah, wara‘ seperti dalam Mu‘jam Lughah al-Fuqahâ’ membawa maksud sebagai:

Ertinya: Menjauhi segala yang syubhah kerana takut terjatuh kepada yang haram.

Makna lain:

Ertinya: Melazimkan membuat pekerjaan-pekerjaan yang terpuji dan meninggalkan pekerjaan-pekerjaan yang buruk dan keji.

Imam al-Ghazali menyebutkan ada empat tingkatan wara‘:

1. Wara‘ orang-orang ‘âdil iaitu golongan yang cuma menjauhi perkara yang jelas haramnya sahaja seperti arak, khinzîr, barangan yang dicuri atau dimiliki melalui cara yang haram dan sebagainya.

2. Wara‘ orang-orang shâlihîn iaitu golongan yang meninggalkan perkara yang haram dan perkara syubhah kerana takut perkara syubhah tersebut akan menjerumuskannya kepada yang haram.

3. Wara‘ orang-orang muttaqîn iaitu golongan yang bukan setakat menjauhi perkara yang haram dan syubhah, malahan juga meninggalkan semua yang dikhuatiri boleh memberi kesan atau mendorong kepada yang haram.

4. Wara‘ orang-orang shiddîqîn iaitu golongan yang menjauhi semua perkara yang dibuat bukan kerana Allah atau tidak atas dasar taqwa kepada Allah, sekalipun perkara yang dilakukan itu jelas kehalalannya.

Dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, al-Ghazali berkata: “Jika bercampur benda-benda halal yang tidak terbatas dengan benda-benda haram yang tidak terbatas, seperti harta-harta yang ada pada masa kini (di zaman al-Imam al-Ghazali), maka tidak haram mengambil sesuatu daripadanya, walaupun ia mengandungi benda-benda halal dan haram itu, melainkan ada bukti yang jelas menunjukkan benda-benda itu haram. Kalau tidak ada pada benda itu sesuatu tanda yang menunjukkan ianya haram, meninggalkannya adalah wara‘ dan mengambilnya adalah halal yang tidak akan menjadi fâsiq memakannya.

Telah dimaklumi di zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para khulafâ’ ar-râsyidîn dan sesudahnya bahawa terdapat harga-harga arak dan dirham-dirham riba daripada tangan kafir dzimmi (kafir yang dijamin keselamatannya oleh pemerintah Islam) bercampur-baur dengan harta-harta lain. Begitu juga harta-harta yang diambil daripada harta rampasan perang.

Juga dari waktu di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mengharamkan riba di musim haji Wada‘, tidaklah semua manusia meninggalkan riba seluruhnya, sebagaimana mereka tidak meninggalkan minuman arak dan maksiat-maksiat yang lain, sehingga diriwayatkan bahawa setengah sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjual arak, lalu berkata ‘Umar Radhiallahu ‘anhu: “Dikutuk Allah kiranya si polan yang menjadi orang pertama yang menjalankan penjualan arak kerana dia tidak memahami bahawa pengharaman arak itu adalah termasuk juga pengharaman harganya.”

Di samping itu pula beberapa orang sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah diperintah oleh amir-amir yang zalim dan tidak seorang pun daripada para sahabat itu melarang berjual beli di pasar disebabkan adanya perompakan di Kota Madinah, sedang Kota Madinah itu telah dirompak oleh kawan-kawan Yazid selama tiga hari lamanya.

Adapun orang-orang yang enggan berjual beli daripada harta-harta yang bercampur itu hanyalah menunjukkan sifat wara‘, sedangkan banyak ulama tidakpun menegah berjual beli dengan harta-harta yang bercampur-campur itu padahal banyak harta-harta dirompak pada masa pemerintahan orang-orang yang zalim.”

Dengan merujuk kepada pandangan Imam al-Ghazali, dapatlah diqiyâskan bahawa memperolehi pendapatan daripada sumber yang tidak jelas halal atau haramnya itu adalah mirip dengan bentuk pengambilan manfaat seperti yang digambarkan di atas. Kerana itu, pada dasarnya, bekerja dalam syarikat yang memiliki sumber yang syubhah dan memperolehi pendapatan daripadanya adalah harus. Pengharusan itu berjalan sehingga terdapat tanda yang dapat menunjukkan perkara itu haram dengan pasti.

Bagaimanapun, bagi seorang Muslim yang salih, adalah lebih utama baginya meninggalkan perkara syubhah, walaupun jika melalui kaca mata undang-undang dilihat sebagai sesuatu yang dibolehkan. Bukankah syubhah itu dilihat sebagai menjerumuskan kepada haram? Wara‘ adalah pendinding antara yang halal dengan yang dilarang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10185