Betulkah Tahun 2005 Tahun Gempar?
Soalan: Dipohonkan pandangan dan penjelasan Pehin Mufti mengenai ringkasan e-mail di bawah ini:
“TAHUN GEMPAR 2005”
Petikan kitab bertajuk “Huru Hara Akhir Zaman – Penjelasan Terakhir untuk Umat Islam” karangan Amin Muhammad Jamaludin, Universiti al-Azhar, al-Qaherah.
Bab Tanda-Tanda Di Bulan Ramadan
Ketika manusia dalam kekelam-kabutan akibat berbagai konflik akibat kematian Khalifah Raja Saudi, di mana malapetaka mulai menyala, manusia akan dikejutkan dengan peritiwa-peristiwa langit yang menakjubkan pada bulan Ramadhan. Saya menyebutkan tanpa urutan. Tetapi apa yang akan dilihat dan dialami secara berturut-turut dengan cepatnya. Ketika itu tidak terjadi Ramadhan kecuali manusia dalam keadaan menanti-nanti terjadinya berbagai perkara besar dan peristiwa dahsyat. Adapun peristiwa tersebut ialah:
1. Bulan mengalami gerhana dalam bulan Ramadhan.
2. Muncul bintang berekor yang mendekati bumi dan membawa bencana alam.
3. Terdengar suara dahsyat yang menakutkan. Semua orang akan mendengarnya. Diiringi bencana besar dari langit yang menimpa manusia. Ini terjadi pada pertengahan Ramadhan pada malam Jumaat. (Kalau ikut kalendar 20 Oktober, 2005).
4. Matahari akan gerhana pada bulan Ramadhan.
Nampaknya dua peristiwa terakhir di atas akan berlaku dalam satu hari, atau peristiwa pertama iaitu suara dahsyat akan terjadi di malam hari sedangkan gerhana matahari akan terjadi di siang hari. Saya tidak tahu manakah di antara keduanya yang terjadi lebih dahulu. (muka surat 119)
Merujuk kepada peristiwa di atas sesuailah ianya dengan hadits yang diriwayat oleh Imam Ja‘far Sadiq:
“Kehadiran Imam Mahdi di kalangan umat manusia dibuktikan dengan berlakunya gerhana bulan dan matahari dalam satu bulan yang suci, yang tidak pernah terjadi sebelumnya sejak kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.” (Ikmâl al- Dîn: 361)
Maka saya telah membuat rujukan pada laman web NASA akan jangkaan gerhana yang tersebut. Berikut adalah sebahagian daripada maklumat yang diperolehi daripada laman web tersebut:
1. Annular Solar Eclipse of 2005 October 03 (Monday 29 Sya‘ban 1426H).
2. 2005 October 17: Partial Lunar Eclipse (Monday 13 Ramadhan 1426H).
Oleh yang demikian jelaslah hadits di atas akan terbukti kebenarannya pada bulan Ramadhan pada tahun 2005 (tercatat pada kalendar akan jatuh pada 5hb. Oktober, 2005). Terdapat seperti perselisihan 1 atau 2 hari dari tarikh yang dijangka oleh NASA. Perselisihan ini diterima sebagai kebarangkalian. Yang pastinya disahkan oleh NASA bahawa kejadian gerhana yang bakal berlaku pada tahun 2005 ialah seperti berikut:
- 31.10.2005 bersamaan 29 Sya‘ban, 1426H atau 1 Ramadhan, 1426H akan berlaku gerhana matahari.
- 17.10.2005 bersamaan 13 Ramadhan, 1426H atau 14 Ramadhan, 1426H akan berlaku gerhana bulan.
Nu‘aim bin Hammad telah meriwayatkan dengan sanad daripada Katsir bin Murrah, ia berkata: “Petanda kejadian-kejadian besar di bulan Ramadhan adalah suatu tanda di langit, sesudahnya terjadi perselisihan antara manusia, maka jika engkau menjumpainya, maka perbanyakkanlah persediaan makanan semahumu.”
Dan dengan sanad daripada Khalid bin Mi‘dan: “Barang siapa yang telah menjumpai hal itu, hendaklah menyiapkan makanan satu tahun untuk keluarganya.”
Saudara kaum Muslimin, segala yang tertulis di atas hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui akan kejadiannya. Namun sewajarnyalah ianya menjadi skrip panduan peristiwa tahun 2005 yang patut diperhatikan dengan teliti. Jadi tidaklah kita hairan jika peristiwa tersebut benar-benar terjadi. Kemudian jika ianya terjadi, dengan selesa kita boleh mempersiapkan mental dan material menghadapi situasi cemas tersebut. Antara persediaan yang perlu kita buat ialah:
1. Menghafal 10 ayat pertama dan 10 ayat akhir surah al-Kahfi untuk menghindari diri dari fitnah Dajjal. 2. Membaca doa perlindungan fitnah Dajjal selepas tahiyyat akhir dalam sembahyang sebelum salam. 3. Menyiapkan bekalan makanan, bahan api, gas untuk setahun apabila ada terjadi sesuatu dipertengahan Ramadan 2005. 4. Sampaikan peringatan ini kepada sahabat handai agar bersedia menghadapi situasi di atas. 5. Tambahkan taqwa dan amal menjelang saat yang rumit dan genting itu.
Jawapan: Mempercayai perkara-perkara ghaib yang berpunca daripada kuasa Allah adalah salah satu daripada yang wajib diimani oleh setiap orang Islam sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: ُُ. Kitab al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datang dari
Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (Surah al-Baqarah: 1-3)
Persoalan mengenai perkara yang ghaib hanya diketahui Allah sahaja ada disentuh oleh beberapa ayat al-Qur’an. Di antaranya ialah firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak (gugur) sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak (gugur) yang basah dan tidak yang kering, melainkan (semuanya) ada (tertulis) di dalam kitab (lawh mahfûzh) yang terang nyata. (Surah al-An‘âm: 59)
Manusia hatta para nabi dan rasul tidak diberi ilmu pengetahuan tentang perkara ghaib kecuali yang dikehendaki oleh Allah sahaja. Firman Allah:
Tafsirnya: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuinya itu kepada sesiapa pun, melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka sesungguhnya Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (Surah al-Jinn: 26-27)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya:ُُ Katakanlah (wahai Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui (perkara-perkara) yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman. (Surah al-A‘râf: 188)
Selain manusia, makhluk seperti jin juga sebenarnya tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Oleh itu apa-apa berita atau perkhabaran daripada mereka tidak boleh dipegang dan dipercayai tanpa usul periksa dan menilainya dengan kebenaran kuasa Allah sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina. (Surah Saba’: 14)
Mengetahui perkara ghaib itu hanya khusus bagi Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang Hari Kiamat. Dan Dialah juga yang menurunkan hujan dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. (Surah Luqman: 34)
Perkara ini juga ditegaskan dalam sebuah hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib itu ada lima. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahuinya melainkan Allah. Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) kecuali Allah; dan tidak ada sesiapa pun yang mengetahui apa yang akan berlaku pada esok hari kecuali Allah; dan tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bilakah hujan akan datang (dengan tepat) kecuali Allah; dan tidak ada satu jiwa pun yang mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati (dengan tepat) kecuali Allah dan tidak ada sesiapa pun yang mengetahui bilakah kiamat akan berlaku kecuali Allah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
Mempercayai atau mengimani bahawa perbendaharaan segala yang ghaib tersebut hanya khusus diketahui oleh Allah adalah hukumnya wajib berdasarkan firman Allah:
Tafsirnya: Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja. (Surah al-An‘âm: 59)
Sesiapa yang mendakwa bahawa perbendaharaan segala yang ghaib tersebut tidak hanya khusus diketahui oleh Allah, dengan maksud bahawa perkara tersebut boleh diketahui selain daripada Allah, maka dia boleh dihukumkan kufur kerana dia dianggap mendustakan ayat al- Qur’an yang jelas menunjukkan bahawa segala yang ghaib itu tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Allah sahaja. Begitu juga sesiapa yang cuba mengetahui perbendaharaan segala yang ghaib tersebut dengan tujuan untuk menandingi kekuasaan Allah, maka dia juga boleh dihukumkan kufur.
Manakala orang yang cuba mengetahui perkara-perkara yang berkaitan di sekitarnya dengan kepercayaan atau keimanan bahawa pengetahuannya itu tidak akan sampai ke tahap pengetahuan yang tepat lagi yakin maka dia tidak dihukumkan kufur. Ini bermakna bahawa pengetahuan yang diketahuinya itu hanyalah di tahap sangkaan (zhanniyyah) sahaja bukan di tahap yang pasti lagi yakin (yaqîniyyah). Dua perbezaan yang asasi di antara ilmu Allah dan pengetahuan manusia ialah:
1. Ilmu Allah mengenai sesuatu perkara itu adalah meliputi atau merangkumi apa sahaja yang berkaitan dengannya.
2. Ilmu Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu adalah yaqîni (pasti dan yakin) bukannya zhanni (sangkaan).
Manakala ilmu atau pengetahuan selain Allah seperti manusia tidak akan dapat mengumpulkan dua perkara tersebut sama ada dari sudut jumlah mahupun cara. (Ahsan al- Kalâm: 2/100-101) Firman Allah:
Tafsirnya: Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. (Surah al-Isrâ’: 85)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (i‘tiqâd). (Surah an-Najm: 28)
Oleh yang demikian, apa yang didakwa di dalam e-mail tersebut adalah tidak lebih daripada ramalan semata-mata.
Yang menjadi persoalan, apakah ramalan itu semata-mata ramalan atau ramalan yang berdasarkan kajian ilmu pengetahuan seperti ilmu astronomi atau ramalan yang berdasarkan daripada hadits-hadits atau âtsâr-âtsâr daripada sahabat dan tâbi‘în Radhiallahu ‘anhum?
Jika ramalan itu adalah semata-mata ramalan yang tidak berdasarkan kajian ilmu pengetahuan seperti ilmu astronomi dan seumpamannya atau tanpa berdasarkan daripada hadits-hadits atau âtsâr-âtsâr daripada sahabat dan tâbi‘în, maka yang demikian itu adalah tidak ada bezanya dengan ramalan golongan ‘arrâf (tukang tilik atau tukang tenung yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib yang telah berlaku) atau kâhin (tukang tilik atau tukang tenung yang mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib yang telah dan akan berlaku) yang diharamkan oleh syara‘.
Jika ramalan itu berdasarkan kajian ilmu pengetahuan seperti ilmu astronomi dan seumpamanya seperti ramalan bahawa akan berlaku gerhana bulan dan matahari dalam sekian bulan atau akan muncul bintang berekor yang mendekati bumi dan membawa bencana alam, maka yang sedemikian itu adalah ilmu yang bermanfaat bagi kehidupan manusia asalkan sahaja tahu meletakkannya dan kesemuanya tertakluk juga kepada kehendak Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Jika ramalan itu berdasarkan hadits-hadits atau âtsâr-âtsâr daripada sahabat dan tâbi‘în, maka perlu dipastikan adakah hadits-hadits atau âtsâr-âtsâr tersebut shahîh diterima daripada kalangan ulama hadits.
Ramalan Bahawa Manusia Dalam Kelam-Kabut Akibat Kematian Khalifah Raja Saudi
Ramalan bahawa manusia dalam kelam-kabut akibat berbagai konflik dan akibat kematian khalifah Raja Saudi, adalah ramalan ini mungkin didasarkan daripada sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan ath-Thabarani daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Akan terjadi suatu perselisihan ketika meninggal seorang khalifah. Maka keluarlah seorang lelaki daripada penduduk Madinah dan dia lari ke Makkah. Lalu datanglah kepadanya orang-orang yang berasal daripada penduduk Makkah dan mereka membawa lelaki tersebut dengan paksa. Kemudian mereka membai‘ahnya di antara sudut Ka‘bah dan Maqam (Nabi Ibrahim ‘alaihissalam)…. (Hadits riwayat Abu Daud dan ath-Thabarani)
Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah periwayat-periwayat hadits tersebut adalah periwayat-periwayat yang shahîh (periwayat-periwayat yang meriwayatkan hadits-hadits di dalam riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim atau salah satu daripadanya). (Majma‘ az-Zawâ’id: 4/613)
Menurut Ibnu al-Qayyim Rahimahullah pula, hadits tersebut adalah hasan (boleh dianggap juga sebagai hadits shahîh).
Walau bagaimanapun menurut al-Albani Rahimahullah dan al-Bastawi Hafizhahullah, sanad hadits tersebut adalah dha‘îf (periwayat-periwayat hadits tersebut atau salah seorang daripada mereka tidak memenuhi salah satu syarat untuk diterima riwayatnya). (al-Mawsû‘ah fî Ahâdîts al-Mahdi adh-Dha‘îfah wa al-Mawdhû‘ah: 335)
Menentukan khalifah yang disebut oleh hadits tersebut sebagai Raja Saudi adalah suatu perkara yang boleh dipertikaikan, kerana tidak ada dalil yang boleh diyakini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan hadits tersebut adalah merujuk kepada Raja Saudi. Setakat ini, raja-raja yang memerintah Saudi tidak dinamakan ‘khalifah’, tetapi ‘malik’ (raja).
Riwayat Kehadiran Imam Mahdi Dibuktikan Dengan Berlaku Gerhana Bulan Dan Matahari Di Bulan Ramadan
Manakala riwayat yang dibawakan oleh e-mail tersebut mengenai satu riwayat daripada Imam Ja‘far Shadiq: “Kehadiran Imam Mahdi di kalangan umat manusia dibuktikan dengan berlakunya gerhana bulan dan matahari dalam satu bulan yang suci yang tidak pernah terjadi sebelumnya sejak kelahiran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.”
Riwayat tersebut memang ada disebut dalam kitab Sunan ad-Daraquthni susunan al-Imam al- Kabir ‘Ali bin ‘Umar ad-Daraquthni Rahimahullah, tetapi melalui jalan riwayat yang berlainan iaitu:
Maksudnya: Abu Sa‘id al-Ashthakhri menceritakan kepada kami, (bahawa) Muhammad bin Abdullah bin Naufal menceritakan kepada kami, (bahawa) ‘Ubaid bin Ya‘isy menceritakan kepada kami, bahawa Yunus bin Bukair menceritakan kepada kami, daripada Amr bin Syamir, daripada Jabir, daripada Muhammad bin ‘Ali berkata: “Sesungguhnya (kemunculan) Imam Mahdi kita mempunyai dua tanda yang belum pernah terjadi semenjak kejadian langit dan bumi; gerhana bulan di malam hari pada awal bulan Ramadhan dan gerhana matahari di pertengahan bulan Ramadhan; dan keduanya belum pernah terjadi semenjak Allah mencipta langit dan bumi.”
Riwayat ini juga ada disebut oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah di dalam kitabnya berjudul al-Qaul al-Mukhtashar fî ‘Alâmât al-Mahdi al-Muntazhar (Perkataan Ringkas Mengenai Tanda-tanda al-Mahdi al-Muntazhar). Beliau mengkategorikan riwayat tersebut sebagai riwayat yang bersumberkan daripada tâbi‘în dan tâbi‘ at-tâbi‘în tanpa memberikan sebarang komen terhadap riwayat tersebut.
Tetapi apa yang jelas, menurut Dr. Abdul ‘Alim ‘Abdul ‘Azhim al-Bastawi Hafizhahullah pengarang kitab al-Mausû‘ah fî Ahâdîts al-Mahdi adh-Dha‘îfah wa al-Mawdhû‘ah (Ensiklopedia Hadits-hadits Lemah dan Palsu Mengenai al-Mahdi) mengatakan bahawa riwayat tersebut adalah palsu, kerana salah seorang periwayatnya terdapat ‘Amr bin Syamir al-Ja‘fi al-Kufi asy-Syi‘e.
‘Amr bin Syamir al-Ja‘fi al-Kufi asy-Syi‘e menurut al-Jauzajani Rahimahullah adalah pereka hadits palsu dan pembohong. Ibnu Hibban Rahimahullah berkata: “Dia adalah seorang râfidhah (puak dari mazhab Syi‘ah) yang mencaci para sahabat dan meriwayatkan hadits-hadits palsu melalui jalan periwayat-periwayat yang tsiqah (yang boleh dipercayai). Imam al- Bukhari Rahimahullah pula berkata: “Dia adalah munkir al-hadîts (orang yang tidak boleh diambil riwayat daripadanya)” Begitu juga dia dilemahkan oleh ulama-ulama hadits yang lain seperti an-Nasa‘i, ad-Daraquthni, Ibnu al-Ja‘d, Ibnu Abi Hatim, al-Hakim Rahimahumullah. (Lisân al-Mîzân: 4/422-423 dan Mîzân al-I‘tidâl: 5/324)
Ramalan Akan Terdengar Suara Dahsyat Di Pertengahan Bulan Ramadhan Di Malam Jumaat
Kemudian ramalan di dalam e-mail tersebut yang mengatakan bahawa terdengar suara dahsyat yang menakutkan. Semua orang akan mendengarnya. Diiringi bencana besar dari langit yang menimpa manusia. Ini terjadi pada pertengahan Ramadhan pada malam Jumaat.
Ramalan tersebut adalah berdasarkan daripada satu riwayat di dalam kitab al-Fitan, susunan Abu Abdullah Nu‘aim bin Hammad al-Marwazi Rahimahullah, iaitu:
Maksudnya: Abu ‘Umar menceritakan kepada kami daripada Ibnu Lahi‘ah berkata: “Abdul Wahhab bin Husain menceritakan kepadaku daripada Muhammad bin Tsabit al-Banani daripada bapanya daripada al-Harits al-Hamdani daripada Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila ada pekikan yang dahsyat di bulan Ramadhan, maka sesungguhnya akan berlaku huru-hara di bulan Syawwal, pertelingkahan kabilah di bulan Zulqa‘dah, pertumpahan darah di bulan Zulhijjah; dan di bulan Muharram! Apa akan terjadi di bulan Muharram (Baginda mengulanginya tiga kali), semoga dijauhkan, semoga dijauhkan, manusia akan berbunuh-bunuhan di bulan itu dalam keadaan kacau-bilau”. (Ibnu Mas‘ud) berkata: “Kami berkata: “Dan apakah pekikan yang dahsyat itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Bunyi yang kuat dalam bulan Ramadhan di malam Jumaat...”
Di dalam riwayat tersebut terdapat Abdul Wahhab bin Husain. Al-Hakim Rahimahullah berkata: “Dia adalah majhûl (tidak diketahui hal ehwal kredibilitinya zahir dan batin)”. Adz- Dzahabi pula berkata: “Dia mempunyai riwayat yang palsu.” (Lisân al-Mîzân: 4/103)
Di dalam riwayat tersebut juga terdapat Muhammad bin Tsabit bin Aslam al-Banani. Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah beliau adalah dha‘îf (lemah kerana hilang salah satu syarat untuk diterima riwayatnya). (Taqrîb at-Tahdzîb: 2/60). Abu Hatim Rahimahullah berkata: “Dia adalah munkir al-hadîts di mana haditsnya ditulis tetapi tidak dijadikan hujah”. Manakala Abu Daud, an-Nasa‘i dan ad-Daraquthni rahimahumullah berkata: “Dia adalah dha‘if (lemah kerana hilang salah satu syarat untuk diterima riwayatnya). (Taqrîb at-Tahdzîb: 7/74-75)
Di dalam riwayat tersebut juga terdapat al-Harits bin Abdullah al-A‘war al-Hamdani. Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah: “Dalam riwayatnya mempunyai sedikit kelemahan. Akan tetapi asy-Sya‘bi Rahimahullah mengatakan beliau adalah seorang pembohong. Beliau juga berpegang dengan mazhab ar-râfidhah yang mencela para sahabat.” (Taqrîb at-Tahdzîb: 1/175)
Riwayat Mengenai Persediaan Makanan Selama Satu Tahun
Manakala dua riwayat lagi yang dibawakan oleh e-mail tersebut mengenai persediaan makanan selama satu tahun. Dua riwayat itu ada disebut di dalam kitab al-Fitan karangan Abu Abdillah Nu‘aim bin Hammad al-Marwazi Rahimahullah. Dua riwayat tersebut ialah:
Maksudnya: Al-Walid berkata: “Shafwan bin ‘Umar menceritakan kepada kami daripada Abdul Rahman bin Jubair bin Nufair daripada Katsir bin Murrah al-Hadhrami berkata: “Satu tanda kejadian di bulan Ramadhan adalah sebagai alamat di langit. Sesudahnya akan terjadi perselisihan di antara manusia. Lalu jika engkau menjumpainya, maka perbanyakkanlah (persediaan) makanan semampumu.”
Maksudnya: Isa bin Yunus dan al-Walid bin Muslim menceritakan kepada kami daripada Tsaur bin Yazid daripada Khalid bin Mi‘dan berkata: “Sesungguhnya akan ternampak satu tanda berbentuk garis lurus menyerupai tiang daripada api yang terbit dari sebelah timur yang boleh dilihat oleh penduduk bumi seluruhnya. Lalu sesiapa yang menjumpainya, maka hendaklah dia membuat persediaan makanan untuk keluarganya selama satu tahun.”
Dua riwayat tersebut di atas juga dinaqal oleh al-Manawi Rahimahullah di dalam kitabnya Faidh al-Qadîr Syarh al-Jâmi‘ ash-Shaghîr sebagai menjadi saksi kepada satu hadits riwayat ath-Thabarani (Faidh al-Qadîr: 1/362) iaitu:
Maksudnya: Ahmad bin Rusydin menceritakan kepada kami (dengan) berkata: “Zaid bin Bisyr al-Hadhrami menceritakan kepada kami (dengan) berkata: “Bisyr bin Bakr menceritakan kepada kami (dengan) berkata: “Ummu Abdillah binti Khalid bin Mi‘dan menceritakan kepadaku daripada bapanya daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila kamu melihat garis lurus merah berbentuk tiang dari arah timur di bulan Ramadhan, maka kamu simpanlah makanan kamu selama setahun, kerana sesungguhnya tahun itu adalah tahun kelaparan.” (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Hadits tersebut, walaupun dihukumkan hasan di dalam kitab al-Jâmi‘ ash-Shaghîr. (Al- Jâmi‘ ash-Shaghîr: 1/99) Tetapi Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah mengatakan bahawa periwayat-periwayat hadits adalah tsiqah (periwayat-periwayat yang boleh dipercayai) kecuali Ummu Abdillah binti Khalid bin Mi‘dan kerana dia (Ibnu Hajar Rahimahullah) tidak mengenalinya. (Majma‘ az-Zawâ’id: 5/42).
Ahmad bin Rusydin yang terdapat di dalam riwayat tersebut menurut Ibnu ‘Adiy Rahimahullah: “Mereka (menghukumkannya) sebagai pembohong dan diingkari ke atasnya beberapa perkara (yang diriwayatkannya).” Ibnu Abi Hatim Rahimahullah pula berkata: “Aku mendengar daripadanya (riwayat), namun aku tidak meriwayatkannya kerana apa yang diperkatakan (akan kelemahan/dha‘îf) ke atasnya.” (Lisân al-Mîzân: 1/280)
Begitulah kedudukan riwayat-riwayat yang dibawakan oleh e-mail tersebut. Para ulama mempunyai berbagai-bagai pandangan mengenai periwayat-periwayatnya.
Walaupun begitu, andaian dan kemungkinan yang disebutkan sesetengahnya ada yang kurang tepat dan setengahnya pula bertentangan dengan makna hadits shahîh.
Perkara yang tidak tepat yang jauh kaitannya dengan hadits ialah mengaitkan Raja Saudi dalam ramalan dan sebutan khalifah kepada rajanya.
Arab Saudi atau Kerajaan Arab Saudi baru muncul pada tahun 1926. Usianya sehingga tahun 2005 belum mencapai satu abad. Saudi pula diambil sempena nama keluarga pengasasnya. Sistem pemerintahannya beraja dan berputera mahkota. Ketuanya dinamakan ‘malik’ (raja) bukan khalifah. Kuasa raja dan kerajaan ini hanya terhad di kawasan negerinya sahaja, iaitu Hijaz, Najd dan lain-lain. Sebelum rajanya meninggal dunia, telah sedia ada orang yang dilantik untuk menggantikannya dan apabila raja meninggal dunia, dengan sendirinya penama yang dilantik itu akan mengambil tampuk pemerintahan. Inilah tradisi yang berlaku mengikut perlembagaan Kerajaan Arab Saudi. Mengikut tradisi, ini bermakna tidak timbul soal kelam-kabut mencari pengganti raja.
Oleh sebab yang demikian, sekiranya ada anggapan bahawa raja Kerajaan Arab Saudi yang ada sekarang sebagai khalifah seluruh orang Islam, ianya adalah tidak tepat. Adapun terjadinya kelam-kabut akibat konflik kematian Raja Arab Saudi, boleh saja terjadi di dalam kawasan pemerintahannya saja, sama ada konflik perebutan kuasa, peperangan dan sebagainya. Akan tetapi, jika dikatakan kematian rajanya membawa akibat malapetaka alam, maka ianya adalah tidak tepat sama sekali sebagaimana yang akan disebutkan di bawah ini.
Gerhana Tidak Ada Kena Mengena Dengan Kematian Atau Kelahiran Seseorang
Adapun andaian yang bertentangan dengan makna hadits shahîh ialah mengaitkan kehidupan atau kematian seseorang dengan kejadian gerhana.
Berdasarkan hadits shahîh, kehidupan atau kematian seseorang tidak ada kena mengena dengan kejadian gerhana.
Ketika putera Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu Ibrahim bin Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam wafat, berkebetulan terjadi gerhana matahari. Orang ramai menganggap terjadinya gerhana itu akibat kematian Ibrahim bin Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Anggapan ini disangkal oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabdanya:
Maksudnya: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah daripada tanda-tanda (kekuasaan) Allah dan keduanya tidak menjadi gerhana disebabkan oleh kematian seseorang mahupun kehidupan (kelahiran) seseorang. Apabila kamu melihat keduanya (gerhana matahari atau gerhana bulan) maka bertakbîrlah, berdoalah kepada Allah, bersembahyanglah (sembahyang sunat gerhana) dan bersedekahlah kamu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Di dalam e-mail tersebut juga, terdapat beberapa anjuran supaya membuat beberapa persediaan. Anjuran berkaitan dengan persediaan yang perlu dibuat seperti menghafal surah al-Kahf adalah baik. Begitu juga membaca doa supaya diselamatkan dari Dajjal kerana Nabi Shallallahu alaihi wasallam juga membaca doa supaya diselamatkan dari fitnah Dajjal dengan berdoa:
Maksudnya: Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada azab kubur; dan aku berlindung denganMu daripada fitnah al-Masih ad-Dajjal; dan aku berlindung denganMu daripada fitnah dunia dan kubur. Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada dosa dan kesengsaraan hutang. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Adapun menyimpan bahan makanan bagi keperluan masa hadapan dalam satu jangka masa yang tertentu adalah suatu perkara yang harus dan ia bukanlah satu perbuatan yang bertentangan dengan sifat tawakkal. Tetapi perlu ditekankan bahawa menyeru semua orang melakukannya tanpa alasan yang kukuh dan tanggungjawab boleh mengakibatkan kesan yang negatif kepada kestabilan negara sama ada dari sudut ekonomi, politik dan hidup bermasyarakat. Dari segi ekonomi contohnya sikap menyorok dan memonopoli barang-barang akan terjadi. Ini boleh membawa kegawatan kepada negara. Sepertimana penyorokan minyak diesel yang berlaku di negara jiran sudah cukup untuk memberi pengajaran. Pengangkutan yang menggunakan tenaga diesel hampir lumpuh diakibatkan olehnya.
Seterusnya menambah ketaqwaan sememangnya adalah perlu setiap masa, bukan hanya di saat tibanya sesuatu bala bencana yang diramalkan.
Sikap yang terbaik menghadapi kejadian fenomena alam seperti gerhana bulan atau matahari ialah bertakbîr, melakukan sembahyang sunat gerhana dan bersedekah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadits.
Sebenarnya riwayat-riwayat yang dibawakan di dalam e-mail tersebut adalah berkaitan dengan tanda atau alamat kemunculan Imam Mahdi. Kedudukan tanda atau alamat kemunculan Imam Mahdi itu ada difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, bilangan 4/87, beliau menjelaskan:
“Adapun waktu keluarnya (Imam Mahdi) itu, maka tiadalah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menentu dan mengkhabarkannya. Dan dalam setengah-setengah âtsâr sahabat ada menyatakan waktu keluarnya, tetapi tiada kita sebutkan di sini kerana âtsâr itu tiada sah sanadnya (orang yang membawanya), dan kerana âtsâr-âtsâr itu menyebut sesuatu yang tiada bertemu dengan keadaan yang ada yang sebenarnya, begitu juga orang-orang ahli Tashawwuf menentukan waktu keluarnya seperti Ibnu ‘Arabi al-Hatimi, ‘Abdul Haq bin Sab‘in dan Ibnu Qasami dan lain-lain. Akan tetapi, kata-kata mereka dalam perkara itu semata-mata rumuz dan teka-teki, tiada dapat pembacanya akan sesuatu faedah daripadanya.”
Dalam fatwa yang lain, bilangan 40/75, beliau menyatakan:
“Berkata al-‘Allâmah asy-Syeikh al-Islam Ibrahim al-Baijuri yang hidup 1198M/1277H dalam Hâsyiyah yang bernama Tuhfah al-Murîd di atas Matn Jauharah at-Tauhid li al- ‘Allâmah asy-Syeikh Ibrahim al-Laqqani yang mati 1041H: Begitu juga wajib beriman dengan tanda-tanda yang mutawâtir bagi datang Hari Kiamat, setengah dari tanda-tanda yang kecil bagi Hari Kiamat, ada yang sudah berlaku dan ada tanda-tanda itu belum berlaku. Dan alamat atau tanda-tanda yang besar bagi Hari Kiamat itu sepuluh perkara. Mulanya keluar al-Imam al-Mahdi al-Muntazhar, kemudian keluar ad-Dajjal, kemudian turun Nabi ‘Isa bin Maryam (dari langit), kemudian keluar kaum Ya’juj dan Ma’juj, dan keluar binatang dari bumi yang menulis di hadapan dua mata orang mu’min akan perkataan-perkataan (mu’min), kafir akan perkataan (kafir) dan jadi hitam gelap mukanya, dan naik matahari dari pihak baratnya, dan keluar asap kekal ia di atas muka bumi empat puluh hari, asap itu keluar dari hidung orang kafir dan dari dua matanya dan dari dua telinganya dan dari duburnya sehingga dia menjadi sebagai orang mabuk, dan asap itu akan mengenai orang mu’min sebagai sakit selesema, dan runtuh binasa Ka‘bah di tangan orang-orang Habsyah setelah Nabi ‘Isa mati, dan diangkat al-Qur’an dari Mushhaf al-Qur’an dan dari dada orang-orang Islam, dan balik semula semua penduduk bumi menjadi kafir. Tamat katanya.”
Oleh yang demikian, apa yang dibawakan oleh e-mail ini, tidaklah dapat dijadikan pegangan, kerana riwayat-riwayat yang disertakan di dalam e-mail itu banyak dipertikaikan oleh ulama. Mungkin niat penulis e-mail tersebut untuk memberi peringatan kepada pembaca agar membuat persediaan material seperti makanan dan persediaan mental seperti menambahkan taqwa dan amal, memang tidak dinafikan ia adalah suatu perkara yang baik. Cuma sandaran atau dalil yang dibawakannya lemah, serta juga terdapat perkara baru yang dibuat-buat dengan menamakan Raja Arab Saudi sebagai khalifah. Dan selain itu berkaitan pula dengan perkara aqidah, iaitu mengandaikan secara tepat pada tahun 2005 akan berlaku kegemparan dahsyat, padahal semua itu dari perkara ghaib yang tidak harus dicampuri oleh sesiapa pun, melainkan semata-mata takluk di bawah ilmu Allah Ta‘ala sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10196
