Ingin Berpoligami Kerana Isteri Bertugas Di Luar Negeri
Soalan: Apakah hukumnya bagi seorang suami yang hendak berkahwin lagi disebabkan isteri pertama bekerja di luar negeri dalam jangka waktu yang lama (beberapa tahun)?
Jawapan: Secara ringkas bahawa perkahwinan itu mempunyai hikmat dan tujuannya yang amat luas, bukan hanya sekadar mencari dan mendapatkan teman hidup, bahkan juga untuk memperolehi ketenangan jiwa, kedamaian batin, kasih sayang dan seterusnya untuk memperolehi zuriat.
Salah satu tujuan perkahwinan itu disebut oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah ar-Rûm: 21)
Sesetengah ahli tafsir menghuraikan bahawa ًُ مَوَدَّة (cinta) ialah kerinduan seorang lelaki kepada seorang perempuan dan sebaliknya. Tiap-tiap lelaki dan perempuan yang sihat, sentiasa mencari teman hidup, keinginan menumpahkan kasih sayang disertai juga untuk kepuasan seksual.
Namun tujuan memenuhi kepuasan seksual tidaklah terus-menerus selama hidup. Apabila badan sudah tua dengan sendirinya syahwat mulai turut mengendur, ataupun mungkin juga dengan sebab-sebab yang lain pasangan suami isteri tidak dapat berperanan aktif dalam soal-soal seksual ini. Namun pasangan suami isteri itu tetap berkasih sayang dan hidup dalam kebahagiaan.
Oleh kerana hidup bersuami isteri itu bukan semata-mata ‘mawaddatân’ sebagaimana yang dihuraikan di atas, bahkan bertambah tua mereka, bertambah pula kasih sayang kedua suami isteri itu. Itulah dia رَحة (sebagaimana yang disebut oleh ayat), iaitu kasih sayang.
Jika antara tujuan perkahwinan itu ialah bagi memperolehi مودة dan رَحة, maka pada peringkat ini saja pun, kita boleh membuat soalan: مودة dan ُرَحة apakah yang boleh dicapai oleh pasangan suami isteri jikalau kedua-dua pasangan itu sentiasa berjauhan pada tempoh masa yang tidak tertanggung oleh ‘batin’? Hidup bersendirian tanpa isteri atau suami itu adalah suatu penderitaan sekalipun di keliling kita ramai orang.
Ini belum lagi perkara untuk mendapatkan zuriat atau meramaikan zuriat sebagai salah satu matlamat besar perkahwinan.
Pasangan suami isteri yang berpisah atau berjauhan dalam jangka masa yang lama boleh menjejaskan tujuan serta matlamat perkahwinan itu.
Hidup membujang dalam kes ini (membujang sementara) mudah menjerumuskan seseorang kepada perkara-perkara yang dicela. Yang paling ditakuti ialah gejala mencari pasangan sementara untuk memenuhi kekosongan disebabkan isteri jauh di luar negeri. Jadi sehubungan ini, apakah suami boleh berkahwin lagi atau berpoligami sebagai jalan keluar?
Poligami
Poligami sebenarnya bukanlah merupakan peraturan untuk menghadapi keadaan ‘dharurat’ sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah orang. Poligami adalah perkara biasa dalam syariat Islam yang wajib diterima sebagai hukum Allah tanpa sebarang syarat sebagai memenuhi sebab-sebab ‘dharurat’ itu seperti isteri yang pertama misalnya sakit atau berpenyakit berjangkit atau mandul dan lain-lain, selama mana suami mampu memenuhi beban nafkah isteri dan anak-anaknya. Sayyidina ‘Umar ibnu al-Khaththab telah menawarkan anaknya Sayyidatuna Hafsah kepada Sayyidina Abu Bakar yang telah mempunyai isteri lebih daripada seorang padahal isteri-isterinya itu tidak pun dalam keadaan sakit atau mandul. Namun Sayyidina Abu Bakar menolak tawaran tersebut dengan halus. Selepas itu Sayyidina ‘Umar menawarkan pula anaknya itu kepada Sayyidina Utsman, sehingga akhirnya Sayyidatuna Hafsah dinikahi oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Perlulah diingat – selain Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri – para sahabat telahpun berpoligami, dan mereka itu tidaklah akan menyibukkan diri untuk melakukan sesuatu perkara kecuali perkara itu adalah perkara yang baik atau afdhal.
Pada hakikatnya poligami sudah wujud sebelum Islam lagi. Ia dilakukan dengan sewenang-wenang, sehingga datang Islam membawa pembaikan dengan menghadkan hanya kepada empat sahaja dengan beberapa syarat tertentu, seperti firman Allah:
Tafsirnya: Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman. (Surah an-Nisâ’: 3)
Dengan turunnya ayat tersebut, poligami tidak lagi dibenarkan secara sewenang-wenang, melainkan dengan meletakkan peraturan atau syarat tertentu. Di samping ia terbatas hanya kepada empat orang, ia juga terikat kepada dua perkara lain, iaitu keadilan dan kemampuan memberi nafkah kepada isteri-isterinya itu:
(i) Berlaku adil terhadap isteri-isteri. Para ahli tafsir berpendapat bahawa keharusan berpoligami dalam ayat tersebut adalah terikat kepada syarat berlaku adil. Oleh kerana itu Allah memerintahkan supaya hanya beristeri seorang sahaja, jika berpoligami akan meletakkan seseorang tidak berlaku adil atau melakukan kezaliman, seolah-olah ayat itu mengatakan bahawa jika kamu takut atau bimbang akan melakukan kezaliman dan tidak berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu jika kamu berpoligami, maka memadailah dengan beristeri seorang sahaja.
Adil yang dituntut itu pula adalah adil yang bersifat zahir seperti di dalam pembahagian bermalam, tempat tinggal, nafkah, perlakuan yang zahir dan yang seumpamanya. Adapun adil dari sudut kasih sayang yang bersifat batin, ia tidaklah dituntut kerana manusia tidak mampu bersifat adil dalam perkara tersebut dan Allah tidaklah membebankan sesuatu perkara kecuali yang mampu dilakukan oleh hambaNya bersesuaian dengan firmanNya:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: 286)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri tidak mampu memberikan keadilan di dalam perkara kasih sayang yang bersifat batin ini kepada isteri-isteri Baginda. Oleh itu Baginda bersabda ketika melakukan pembahagian bermalam kepada isteri-isteri Baginda sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: Ya Allah! Ini adalah pembahagian malam dalam perkara yang aku mampu mengawalnya, maka janganlah Engkau menyalahkan aku dalam perkara yang Engkau mengawalnya dan aku tidak mampu mengawalnya (kasih sayang yang bersifat batin).
Dengan ini para ulama sepakat meletakkan bahawa keadilan yang disebut oleh ayat ini ialah keadilan yang bersifat zahir, manakala keadilan yang tidak dituntut pula iaitu yang bersifat batin yang disentuh oleh Allah dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah an-Nisâ’: 129)
(ii) Berkemampuan memberi nafkah kepada isteri-isteri di samping memberi nafkah kepada anak-anak. Syarat ini dapat difahami daripada potongan terakhir firman Allah: ُُ ذلكُأدىن أل ُتعولوا (ayat 3, daripada surah an-Nisâ’ di atas). Menurut Imam asy-Syafi‘e ia bermaksud: “Sedemikian itu lebih memungkinkan kamu tidak akan mempunyai banyak tanggungan”. Ini bermakna keharusan poligami itu adalah terikat kepada syarat bahawa poligami itu tidak akan menjadikan seseorang tidak berkemampuan menunaikan nafkah. Tafsiran ini sebenarnya hampir menyamai dengan tafsiran yang dibuat oleh majoriti ulama yang mentafsirkan: “Sedemikian itu lebih memungkinkan kamu agar tidak membuat kezaliman atau berat sebelah”, kerana Imam asy-Syafi‘e meletakkan keluarga yang ramai itu sebagai kinâyah (sindiran) kepada perlakuan berat sebelah dan kezaliman di atas dasar bahawa seseorang yang mempunyai keluarga yang besar dan ramai tidak akan terlepas daripada berbuat kezaliman atau berlaku berat sebelah. Dengan itu Imam asy-Syafi‘e tidak membuat tafsiran dengan cara kesesuaiannya, tetapi dengan cara kinâyah yang lazimnya berlaku.
Para ahli fiqh dan ahli tafsir bersepakat mengatakan bahawa dua syarat tersebut mestilah dipenuhi oleh mereka yang ingin berpoligami. Bahkan para ahli fiqh juga bersepakat mengatakan bahawa setiap perkahwinan yang hendak dijalankan, sekalipun perkahwinan yang pertama, apabila diyakini pihak lelaki tidak akan berlaku adil atau tidak mampu memberikan nafkah, maka perkahwinan itu dihukumkan haram. Tetapi walaupun haram, perkahwinan tetap sah sekalipun dijalankan tanpa memenuhi dua syarat tersebut, kerana para fuqahâ’ bersepakat mengatakan bahawa dua syarat ini bukanlah termasuk syarat-syarat sah perkahwinan. Cuma pihak lelaki dikira berdosa kerana tidak berlaku adil dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dalam memberi nafkah. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu.
Maksudnya: Apabila seorang lelaki mempunyai dua orang isteri, lalu dia tidak berlaku adil di antara keduanya, pada Hari Kiamat dia akan datang dalam keadaan sebelah badannya condong (sebagai tambahan azab kerana tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya).
Sergahan Kepada Yang Menentang Poligami
Kalangan yang tidak memahami syariat Islam mendakwa bahawa al-Qur’an melarang poligami dalam dua ayat di atas. Menurut mereka, ayat pertama membolehkan praktik poligami dengan syarat mesti ada keadilan antara isteri-isterinya, sedangkan ayat kedua pula (surah an-Nisâ’, ayat 129) di atas menetapkan bahawa keadilan terhadap isteri-isteri merupakan perkara yang mustahil, maka berdasarkan ayat ini – bagi mereka yang menentang poligami – bahawa poligami itu adalah dilarang, kerana mustahil dapat dipenuhi syarat-syarat keadilan sebagaimana kehendak ayat kedua itu. Namun pendapat ini adalah ditolak dan bâthil kerana alasan-alasan di bawah ini:
1. Bersikap adil yang disyaratkan pada ayat pertama: ُ فَانكحواح ُمَا ُطَاب َُلَكم ُمن َُالنسَآء ُ... “maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu cintai…” (an-Nisâ’: 3), bukanlah adil yang ditetapkan sebagai mustahil yang tercantum pada ayat kedua: ُ حُوَلَن ُتَسَُالنسَآء حدلواح ُبَنيحَع تَطيعواح ُأَن ُت...ُ حتمححَرَصحوَلَو “kamu tidak akan sekali-kali dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu) walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian…” (an-Nisâ’: 129).
Adil pada ayat pertama erat kaitannya dengan mata benda yang boleh dirasa seperti nafkah, giliran bermalam, dan lain-lain perlakuan. Sementara adil yang mustahil untuk dilaksanakan oleh manusia ialah keadilan yang berkaitan dengan masalah kebatinan seperti kecintaan dan kecenderungan hati.
2. Tidak masuk akal jika Allah membolehkan praktik poligami dikaitkan dengan persyaratan yang mustahil dapat dilakukan manusia. Jika Allah menghendaki, untuk melarangnya, pasti Dia akan langsung melarangnya dengan satu ungkapan kata (lafaz) yang tercantum dalam satu ayat, umpamanya nash al-Qur’an atas pengharaman menghimpun dua isteri yang bersaudara kandung, seperti dalam ayat berikut ini:
Tafsirnya: Dan menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara, kecuali yang telah terjadi pada masa lampau. (Surah an-Nisâ’: 23)
Melalui sabdanya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang menghimpun isteri dengan saudara perempuan bapanya, atau saudara perempuan bapa (emak saudara) dengan kemanakannya, atau menghimpunkan wanita dengan saudara perempuan ibunya, atau saudara perempuan ibu dengan kemanakannya (perempuan). Dengan demikian, al-Qur’an dan as-Sunnah melarang menghimpun dua wanita bersaudara dan wanita dihimpun dengan emak saudara daripada ayah dan emak saudara daripada ibunya.
3. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah memerintahkan para suami yang memiliki isteri lebih daripada empat (di antara mereka, Qais bin Tsabit beristeri 8 orang dan Naufal bin Muawiyah beristeri 5 orang) untuk menceraikan selebihnya kerana praktik poligami mereka telah keluar daripada ketentuan. Hal-hal tersebut merupakan argumentasi atau dalil yang kuat tentang bolehnya melakukan praktik poligami.
4. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun melakukan poligami dan ketika wafat Baginda meninggalkan sembilan orang isteri. Para sahabat dan kaum Muslimin pun melakukan praktik poligami kira-kira semenjak tahun 1400 Hijriyyah.
Kita ulangi lagi bahawa poligami itu adalah salah satu daripada hukum yang disyariatkan oleh Islam. Islam telah mengatur perkara poligami sebagaimana dijelaskan oleh ayat 3 surah an- Nisâ’ dan ayat 129 surah yang sama, di samping menghadkan jumlahnya kepada empat orang sahaja. Poligami merupakan jalan keluar yang disyariatkan untuk memelihara manusia agar tidak terjerumus ke dalam kehidupan nafsu syahwat secara liar.
Kita sama-sama memahami bahawa kecemburuan seorang isteri terhadap wanita lain sangatlah tinggi, apalagi jika ternyata wanita tersebut menjadi madunya. Pada dasarnya, kecemburuan itu adalah merupakan suatu kewajaran yang keluar dari hati yang murni yang dapat dilihat dengan tiga gejala, iaitu adanya kecintaan seorang isteri kepada suaminya, egoisme yang sangat dalam dan mempengaruhi suami untuk tidak berpaling pada wanita lain. Selain daripada itu, kecemburuan wanita supaya tidak dimadukan, bertolak daripada kekhuatiran serta kebimbangan terhadap masa hadapan mereka, kerana adanya sikap di mana lelaki berpoligami yang berjalan sekarang menyebabkan isteri ‘tua’ (yang terdahulu dikahwini) bukan saja tidak mendapat keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh syara‘, bahkan isteri-isteri tua itu dizalimi atau tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya seperti tidak diberikan nafkah atau nafkah yang tidak mencukupi berbanding dengan isteri muda, pendidikan anak yang diabaikan atau giliran bermalam yang tidak seimbang. Dalam makna yang umum ada kes-kes di mana isteri muda diperlakukan dengan sebaiknya sedang isteri-isteri tua itu tidak memperolehi apa-apa yang dinikmati oleh isteri muda dengan seimbang. Inilah beberapa faktor mengapa perempuan tidak mahu suami mereka berpoligami.
Berpoligami Atau Pilihan-pilihan Lain?
Berpoligami itu adalah sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menjadi ikutan para sahabat Baginda. Mereka itu tidaklah akan menyibukkan diri mereka, jika sesuatu itu tidak baik atau tidak afdhal. Jadi berpoligami itu disyariatkan sekalipun tanpa sebab seperti isteri sakit yang menghalang hubungan seksual atau isteri mandul. Cuma sekarang poligami itu dikawal oleh undang-undang supaya tercapai maksud suami boleh berlaku adil terhadap isteri-isterinya di samping mampu memberikan nafkah kepada mereka dan anak-anaknya. Salah satu sebab yang boleh mendorong berpoligami ialah seperti di dalam kes yang ditanyakan atau diminta fatwa iaitu keadaan isteri jauh bertugas di luar negeri dalam waktu yang lama.
Kita hanya dapat memberikan irsyâd yakni pimpinan. Jika berjauhan itu boleh menggugat kehidupan suami isteri, maka jalan selamat ialah perdampingan dan tidak berjauhan. Antara sebab-sebab yang perempuan (isteri) diharuskan bekerja di luar rumah ialah bila mana tidak menjejaskan kewajipan-kewajipannya sebagai isteri. Termasuk kewajipan itu ialah melayani suami dan juga menjaga serta mengasuh anak-anak. Ini adalah kewajipan yang amat dituntut lagi utama. Tanpa isteri di rumah bagaimana boleh menyempurnakan kewajipan-kewajipan itu? Adakah wajar seorang perempuan itu hanya bergelar isteri pada masa-masa dan hari-hari tertentu, kemudian selepas itu bertugas semula di luar negeri meninggalkan suami berbulan-bulan atau bertahun-tahun?
Oleh yang demikian adalah wajar bagi isteri supaya memohon hanya akan bertugas di dalam negeri sekalipun dia akan kehilangan peluang seperti naik pangkat dan lain-lain atau terpaksa menjawat jawatan yang lebih rendah, semata-mata untuk menjaga keharmonian dan kerukunan rumahtangga sebelum terjadi apa-apa yang tidak diingini seperti perceraian dan lain-lain.
Bagaimanapun, jika poligami dianggap sebagai penyelesaian, maka itu adalah hak suami.
Kepada isteri pula hanya ingin diingatkan, bahawa tugas utama dan asasi bagi seorang isteri itu ialah sebagai isteri dan juga sebagai ibu bagi anak-anaknya. Peranannya terhadap suami ialah memberikan layanan-layanan yang wajar, sementara terhadap anak-anak menjadi pengasuh dan pendidik sebagaimana digariskan oleh syara‘. Dia tidak perlu bekerja di luar kerana nafkahnya ditanggung oleh suaminya. Jika dia bekerja di luar, ini hanyalah kerana keperluan atau dharurat seperti bagi memenuhi tuntutan keperluan hidup yang suaminya tidak dapat mencukupkan nafkah keluarganya. Keharusan ini hendaklah tertakluk dan selaras dengan tuntutan syara‘ dan layak untuk dikerjakan, tidak bertentangan dengan tabiatnya dan dilaksanakan dalam suasana yang aman serta tidak mendatangkan fitnah, tidak juga menyebabkan pelanggaran terhadap kewajipan-kewajipannya yang lain seperti kewajipan terhadap suami, anak-anak, urusan rumahtangganya dan lain-lain sebagaimana dihuraikan dalam kitab-kitab fiqh mengenainya.
Kita tidak akan mengulas lebih panjang mengenai mengapa harus perempuan bekerja di luar rumah, kerana persoalan ini perlu dihuraikan secara khusus.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10288
