Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الأطعمة والأشربة

Kriteria Pemilihan Ubat-Ubatan

Soalan: Dipohonkan pandangan, ketetapan dan nasihat Pehin Mufti mengenai kriteria-kriteria bagi pemilihan ubat-ubatan yang halal lagi selamat untuk digunakan.

Jawapan: Berubat Menurut Hukum Syara‘ Berubat hukumnya sunat menurut hukum syara‘. Ini adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Allah tidak menurunkan penyakit melainkan Dia (Allah) menurunkan penawar bagi penyakit itu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Ibnu Majah) Dalam hadits yang lain, daripada riwayat Usamah bin Syarik Radhiallahu ‘anhu daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Berubatlah kamu, sesungguhnya Allah ‘Azz wa Jalla tidak meletakkan penyakit melainkan Dia meletakkan baginya penawar selain satu penyakit iaitu tua. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Berubat Dengan Bahan Yang Suci Pada dasarnya berubat dengan menggunakan bahan-bahan yang suci (bukan najis) adalah dituntut oleh syara‘ sama ada ubat itu untuk kegunaan dalaman seperti ubat yang dimakan atau disuntikkan atau untuk kegunaan luaran sahaja seperti ubat sapu. Maksud suci di sini ialah suci daripada benda, ramuan atau bahan-bahan yang diharamkan dan suci juga daripada benda, ramuan atau bahan-bahan najis. Secara ringkasnya, ubat-ubatan itu dianggap najis jika benda, ramuan atau bahan-bahannya mengandungi umpamanya:

1. Air kencing. 2. Darah. 3. Apa-apa yang diambil daripada binatang yang tidak boleh dimakan dan masih hidup seperti bulu, tanduk dan sebagainya. 4. Bangkai daripada binatang yang tidak boleh dimakan atau binatang yang boleh dimakan yang mati bukan melalui sembelihan secara syara‘. 5. Cecair yang memabukkan seperti arak dan tuak. 6. Anjing. 7. Babi. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/135-156).

Jelasnya, mana-mana ubat yang bersumber atau bercampur dengan benda-benda seperti di atas adalah dihukumkan najis.

Huraian dan penjelasan lanjut mengenai berubat dengan najis, benda-benda haram atau arak disebut oleh hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan qaul-qaul ulama asy- Syafi‘iyyah seperti berikut:

a) Berubat dengan najis atau benda yang diharamkan.

Berubat dengan najis atau benda yang diharamkan adalah ditegah oleh syara‘ berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang berkata:

Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada (berubat dengan) ubat yang kotor (najis atau haram). (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhuma pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat serta menjadikan setiap penyakit itu ada ubat, maka berubatlah kamu dan janganlah kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)

Daripada Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha pula meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menjadikan yang menyembuhkan kamu (daripada penyakit) pada benda yang Dia (Allah) haramkan ke atas kamu. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Dari nash-nash yang disebutkan di atas, jelas menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terkandung dalam ubat-ubatan yang hendak diberikan kepada pesakit itu hendaklah bukan bersumber daripada benda-benda najis atau sesuatu yang haram.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu adalah harus berubat dengan najis selain arak semata-mata, sama ada ubat itu adalah najis semata-mata, najis yang bercampur dengan bahan-bahan yang lain ataupun arak yang bercampur dengan bahan-bahan yang lain seperti ubat yang mengandungi alkohol daripada arak dengan syarat seperti berikut:

i. Tidak terdapat ubat lain yang suci yang boleh menggantikan ubat yang najis itu.

ii. Orang yang berubat itu mengetahui sendiri atau diberitahu oleh seorang ahli perubatan Muslim yang ‘âdil (tidak fâsiq) akan manfaat ubat yang najis itu seumpama ubat yang najis itu akan menyembuhkan penyakit lebih cepat berbanding dengan ubat yang suci. (al-Majmû‘: 9/55, Tuhfah al-Muhtâj: 9/170, Hâsyiyah ‘Ali asy-Syibramalissi ‘alâ Nihâyah al-Muhtâj: 8/14 dan Mughni al- Muhtâj: 4/188)

Keharusan berubat dengan najis seperti di atas adalah berdasarkan kepada hadits riwayat daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu yang berkata:

Maksudnya: Bahawasanya sekumpulan daripada kabilah ‘Ukl seramai lapan orang telah datang kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu mereka berbai‘ah (mengikat janji setia) masuk Islam. Oleh kerana mereka tidak serasi dengan bumi Madinah, maka badan mereka terasa sakit. Lalu mereka mengadukan perkara itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda pun (menyarankan kepada mereka dengan) bersabda: “Tidakkah kamu mahu pergi keluar bersama penggembala kami ke untanya dan kamu dapatkan susu dan air kencing untanya!” Mereka menjawab: “Ya (mahu)”. Maka mereka pun pergi keluar (untuk mendapatkan air susu dan air kencing unta), lalu meminum air susu dan air kencing unta tersebut. Kemudian mereka pun kembali sihat. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Asy-Syeikh al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullah menjelaskan bahawa saranan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada kabilah tersebut agar meminum air kencing unta sekalipun air kencing unta itu najis, tujuannya adalah untuk berubat. Oleh itu, berubat dengan najis adalah harus apabila tidak terdapat ubat yang suci yang boleh menggantikan ubat yang najis. (Mughni al-Muhtâj: 1/79)

Di samping itu juga, berubat dengan najis dalam keadaan yang di atas boleh dikategorikan sebagai orang yang berada di dalam keadaan dharurat. Dalam situasi dharurat, diharuskan memakan benda yang diharamkan sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang-binatang yang disembelih bukan kerana Allah; maka sesiapa yang terpaksa (memakan kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: 173)

Ayat di atas menjelaskan bahawa orang yang memakan benda yang diharamkan seperti bangkai, daging babi atau sebagainya kerana dharurat untuk menyelamatkan nyawa adalah diharuskan dan tidak berdosa selama mana dia tidak melampaui batas. Walau bagaimanapun, keharusan memakan ataupun berubat dengan benda-benda yang haram atau najis itu hanyalah pada kadar yang perlu sahaja. Bukan secara terbuka dan melebihi kadar yang diperlukan (hajat) atas dasar dharurat. Dalam kaedah fiqhiyyah disebut:

Ertinya: Apa yang diharuskan (oleh syara‘) kerana dharurat (hendaklah) menurut kadarnya (yang minima). (al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/212)

Maka begitulah juga hukumnya bagi orang yang tiada pilihan lain kecuali berubat dengan najis, kerana situasinya itu dibolehkan mengambil hukum dharurat sebagaimana kaedah fiqhiyyah menyatakan:

Ertinya: Hajat (keperluan) boleh turun menempati hukum dharurat sama ada hajat (keperluan) itu bersifat umum atau khusus.ُ (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/218)

c) Berubat dengan arak semata-mata.

Adapun berubat dengan arak semata-mata adalah haram sama sekali. Wa’il al- Hadhrami Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Sesungguhnya Thariq bin Suwaid al-Ju‘fi bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang (membuat) arak. Maka Baginda menegahnya atau membenci pembuatannya. Lalu dia (Thariq bin Suwaid al-Ju‘fi) berkata: “Sesungguhnya aku membuatnya untuk ubat.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya arak itu bukan ubat, akan tetapi ia adalah penyakit.” (Hadits riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ahmad)

c) Berubat dengan arak yang bercampur dengan bahan-bahan yang lain.

Dalam keadaan tiada ubat suci yang boleh menyembuhkan sesuatu penyakit, adalah harus berubat dengan arak yang bercampur dengan bahan-bahan yang lain seperti ubat yang mengandungi alkohol daripada arak dengan syarat yang tersebut di atas, menurut fatwa Imam Ibnu Hajar Rahimahullah. Beliau menjelaskan:

Ertinya: Harus berubat dengan tapak kaki bangkai, tulang-tulangnya dan segala benda-benda najis semata-mata (tidak bercampur dengan benda lain) dan juga yang bercampur dengan benda lain kecuali arak. Tidak harus berubat dengan arak semata-mata (tidak bercampur dengan benda lain), (akan tetapi) harus (berubat) dengan arak yang bercampur dengan benda lain. (Al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/28)

Imam Ibnu Hajar Rahimahullah menjelaskan lagi di dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtâj:

Ertinya: Dan menurut pendapat yang ashah, adalah haram berubat dengannya (arak) semata-mata bagi orang mukallaf atau kanak-kanak atau orang gila… Adapun arak yang larut bersama ubat lain adalah harus berubat dengannya sepertimana (diharuskan berubat) dengan najis semata-mata (yang tidak bercampur dengan benda lain), jika dia mengetahui atau dikhabarkan kepadanya oleh seorang ahli perubatan yang ‘âdil (tidak fâsiq) akan kemanfaatannya dan tidak terdapat yang lain daripada bahan yang suci (yang berkesan seperti ubat yang najis itu) untuk menggantikan tempatnya. (Tuhfah al-Muhtâj dalam kitab Hawâsyi asy-Syirwani wa Ibn Qasim: 9/170)

Manakala jika seseorang itu mempunyai pilihan di antara ubat yang najis kerana bercampur dengan arak dan ubat yang najis bukan kerana bercampur dengan arak seperti ubat daripada lemak binatang yang tidak disembelih dan seumpamanya, maka dalam hal ini adalah wajib dia memilih ubat yang najis bukan kerana bercampur dengan arak. (Tuhfah al-Muhtâj dalam kitab Hawâsyi asy-Syirwani wa Ibn Qasim: 9/170)

Ringkasnya, pemilihan kriteria ubat untuk berubat itu mestilah menurut urutan yang berikut:

1. Hendaklah berubat dengan bahan yang suci semata-mata (bukan daripada najis atau benda-benda haram).

2. Jika ubat yang suci dan yang diharuskan oleh syara‘ tidak didapati, maka diharuskan berubat dengan bahan yang najis, sama ada najis semata-mata (tidak bercampur dengan bahan lain) atau ubat yang bercampur dengan najis atau arak yang bercampur dengan bahan lain dengan syarat:

i. Tidak terdapat ubat yang suci yang boleh menggantikan ubat yang najis itu.

ii. Orang yang berubat itu (jika dia seorang yang arif dalam perubatan) mengetahui atau seorang ahli perubatan Muslim yang ‘âdil (tidak fâsiq) mengesahkan kepadanya akan kemanfaatan ubat yang najis itu daripada ubat yang suci seumpama ubat yang najis itu akan menyembuhkan penyakit lebih cepat berbanding dengan ubat yang suci.

3. Jika terdapat pilihan di antara ubat yang najis kerana bercampur dengan arak dengan ubat yang najis bukan kerana bercampur dengan arak seperti ubat daripada lemak binatang yang tidak disembelih dan seumpamanya, maka dalam hal ini adalah wajib didahulukan ubat yang najis bukan kerana bercampur dengan arak.

4. Adapun berubat dengan arak semata-mata (tidak bercampur dengan bahan lain) adalah ditegah dan haram sama sekali.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10292