Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Larian Membawa Obor

Soalan: Apakah pandangan Islam mengenai upacara larian membawa obor dalam menjayakan pesta-pesta sukan berdasarkan dalil dan kitab-kitab mu‘tabar?

Jawapan: Sebelum orang-orang Parsi menganut agama Islam, mereka menyembah api dan api sembahan itu sentiasa dinyalakan di dalam rumah berhala mereka. Tetapi apabila Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam diputerakan, api berhala orang-orang Parsi itu telah padam.

Menyalakan api itu adalah satu perkara yang dihormati serta menjadi cogan atau simbol kepada mereka dalam satu-satu acara, termasuk acara peribadatan menyembah api. Jika perbuatan menyalakan api itu adalah meniru atau berkeadaan seperti orang-orang Majusi atau Parsi yang memuja dan menyembah api, maka ianya adalah haram.

Bagi orang-orang Majusi api adalah sumber penerangan dan simbol bagi Ahura Mazda (Tuhan Mazda) yang mereka sembah. (Ensiklopedia Islam: 6/182-183)

Menyentuh tentang pesta sukan yang terdapat di dalamnya upacara larian membawa obor, sudah tentu upacara ini berinspirasikan daripada sumber yang terkandung di dalam Sukan Olimpik kerana ia adalah sukan terbesar dan tertua yang menjadi pengasas kepada terbentuknya sukan.

Olimpik diasaskan oleh tamadun Greek purba sebagai merayakan keagungan dewa Zeus yang dipercayai bermastautin di Gunung Olympus. Greek purba menganjurkan Olimpik bukan semata-mata untuk bersukan tetapi ia merupakan acara keagamaan (Utusan Malaysia: Jumaat 20 Ogos, 2004). Jadi jika upacara larian obor itu adalah salah satu daripada acara keagamaan, maka tidak syak lagi ia bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Asas Atau Dasar Larangan Itu

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong di antara mereka. (Hadits riwayat Abu Daud)

Apabila suatu amalan atau perbuatan itu jelas bertentangan dengan syara‘, kerana dasarnya bersumber daripada penyembahan orang-orang bukan Islam terhadap api, maka perbuatan seperti itu hendaklah dijauhi dan tidak dijadikan ikutan, walaupun obor itu menjadi tradisi sukan yang bertaraf antarabangsa atau serantau.

Dalam perkara “ikut-ikutan” ini, saya ingin menarik perhatian – sebagai irsyâd jua – dengan membawakan sebahagian daripada fatwa Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Awang Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz (dengan sedikit pindaan bahasa):

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengkhabarkan orang-orang Islam akan mengikut jejak langkah orang Eropah pada tiap-tiap sesuatu sebagaimana berlaku sekarang, sehingga kiranya mereka makan tahi, maka orang Islam juga akan makan tahi.

Diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan Muslim daripada hadits Abu Sa‘id al-Khudri telah berkata: Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Demi kamu akan mengikut perjalanan umat-umat yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, nescaya kamu akan mengikut mereka memasukinya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan oleh imam Ahmad daripada hadits Sahl bin Sa‘d al-Anshari daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Demi diri saya dalam kuasaNya, sesungguhnya kamu akan mengikut perjalanan umat-umat yang dahulu daripada kamu (Yahudi dan Nashrani) apa yang mereka buat, kamu akan buat seperti perbuatan mereka itu juga. (Hadits riwayat Ahmad)

Diriwayatkan oleh Imam al-Bazzar dan al-Hakim daripada hadits Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: Demi kamu akan menunggang (mengikut) perjalanan umat-umat yang dahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga jikalau seorang daripada mereka masuk lubang biawak nescaya kamu masuk juga sebagaimana mereka masuk, dan sehingga jikalau seorang daripada mereka menyetubuhi isterinya di jalanan, nescaya kamu akan buat seperti perbuatannya. (Hadits riwayat al-Bazzar dan al-Hakim)

Apabila kita melihat keadaan masyarakat kita hari ini, nescaya kita dapati mereka terlalu beria-ia mengikut budaya orang-orang barat sama ada pada kelakuan mereka atau cara mereka berpakaian. Keadaan ini jelas menunjukkan kebenaran hadits-hadits yang disebutkan di atas yang mengkhabarkan tentang keadaan dan sikap manusia terhadap orang-orang barat dengan tiada selisih walaupun sedikit. Jika ada orang barat sekarang makan tahi kering atau basah, nescaya orang Islam juga akan terikut-ikut makan tahi, bukan kerana sedapnya tetapi kerana terpengaruh dan terpegun dengan keadaan orang barat itu. Banyak lagi kejadian-kejadian yang berlaku, yang menggambarkan keadaan serupa itu. Lihat sajalah sekarang ini, khabarnya ada kajian di mana tahi hendak dijadikan makanan”. (Fatwa Mufti Kerajaan: 24/1976).

Dalam sesuatu perkara yang tidak memberi manfaat kepada orang Islam, lebih-lebih lagi jika ia bertentangan dengan ajaran Islam, maka hendaklah dijauhi perkara itu, sesuai dengan pimpinan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Baginda bersabda:

Maksudnya: Daripada keindahan keislaman seseorang itu adalah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat terhadap dirinya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadits ini berpesan supaya orang Islam jangan melibatkan diri ke dalam perkara-perkara yang tidak ada gunanya atau yang tidak ada kena-mengena dengan diri mereka, bahkan sebaliknya membuat atau melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat untuk kehidupan di dunia dan kebahagiaan serta keselamatan di akhirat.

Kesimpulannya, larian obor bukanlah daripada ajaran Islam, bahkan ia lebih membawa kepada perbuatan mengagung-agungkan api, di mana obor itu dinyalakan sepanjang sukan itu berjalan sebagai tanda bermula dan berakhirnya sukan. Ia mirip kepada perbuatan orang-orang Majusi yang menyembah api, sebagaimana penerangan terdahulu menurut sejarahnya. Maka dengan itu wajiblah atas kita meninggalkan dan menjauhi perkara yang sedemikian.

Sebagai irsyâd: Apakah belum sampai lagi masanya untuk kita mencari alternatif lain bagi menggantikan ‘Larian Membawa Obor (Api)’ itu? Rasa-rasanya, jika kita mahu, berapa banyak juga alternatif boleh kita buat atau cipta untuk menggantikan obor itu, dan kemudian ianya dirujukkan kepada satu ‘panel pakar’ berbagai bidang untuk menilai dan memilihnya. Jika ini dibuat, pada hemat saya, bukan saja ia boleh mendatangkan pahala kerana kita telah berusaha melepaskan diri daripada terlibat dengan sesuatu yang bercanggah dengan hukum syara‘, malahan juga menjadi ‘sejarah besar’ yang boleh dibanggakan, yang mungkin juga ada negara-negara Islam yang lain mengikutnya? Allahu Akbar!

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10296