Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Masalah Haji

Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai beberapa masalah yang dikemukakan oleh Bi‘tsah Haji bagi musim haji tahun 1425H/2005M seperti berikut:

1. Orang yang sering keluar masuk Makkah kerana bertugas adakah wajib melakukan Thawaf Wida‘?

2. Apakah boleh melontar Jamrah ‘Aqabah/Kubra dari mana-mana jihah sepertimana Jamrah Shughra dan Wustha? Masalah ini ditimbulkan kerana pengubahsuaian yang dilakukan terhadap ketiga-tiga jamrah tersebut. Ketiga-tiga jamrah kini berbentuk sama (bujur).

3. Apakah sembahyang di bumbung Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi termasuk halaman luarnya mendapat fadhilat seratus ribu dan seribu pahala?

Jawapan: Masalah pertama:

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Hâsyiyah al-‘Alamah ‘alâ Syarh al- Îdhâh dan al-Khatib asy-Syirbini di dalam kitabnya Mughni al-Muhtâj, jika seseorang itu ingin keluar dari Makkah sama ada penduduk Makkah atau bukan penduduk Makkah selepas selesai menunaikan ibadat haji untuk belayar sama ada pelayaran yang panjang atau pendek, maka pada pendapat yang ashah wajiblah dia mengerjakan thawaf Wida‘ dan jika dia meninggalkannya, wajib ke atasnya membayar dam. Jika seseorang itu ingin menetap di Makkah selepas dia mengerjakan ibadat haji, maka menurut Imam an-Nawawi dan Imam Ibnu Hajar al-Haitami, tidak perlu dia mengerjakan thawaf Wida‘.

Ini berdasarkan kepada hadits Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma mengatakan:

Maksudnya: Orang-orang telah bubar meninggalkan Makkah di segala penjuru, maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Janganlah seseorang terburu-buru untuk pulang sehinggalah dia selesai mengerjakan thawaf Wida‘ di Baitullah.”

(Hadits riwayat Abu Daud)

Adakah Thawaf Wida‘ Sebahagian Daripada Manâsik Haji?

Menurut pendapat Imam al-Haramain dan Imam al-Ghazali bahawa thawaf Wida‘ adalah sebahagian daripada manâsik haji. Ia hanya dituntut bagi orang yang menunaikan ibadat haji sahaja. Maka orang yang tidak menunaikan ibadat haji, tidak perlu mengerjakan thawaf Wida‘ jika dia hendak keluar dari Makkah.

Manakala menurut pendapat al-Baghawi dan Abu Sa‘id al-Mutawalli pula bahawa thawaf Wida‘ bukan sebahagian daripada manâsik haji tetapi ianya adalah satu ibadat yang diperintahkan untuk dilakukan ke atas sesiapa yang hendak keluar Makkah pada kadar perjalanan yang dibolehkan untuk memendekkan sembahyang (dua marhalah atau lebih) sama ada penduduk Makkah ataupun bukan penduduk Makkah.

Menurut Imam Abu al-Qasim ar-Rafi‘e bahawa pendapat al-Baghawi dan Abu Sa‘id al- Mutawalli adalah pendapat yang ashah kerana thawaf Wida‘ itu adalah untuk memuliakan dan memberi penghormatan kepada Baitullah. Jika sekiranya thawaf Wida‘ itu daripada manâsik haji, maka hendaklah orang yang masuk berihram untuk haji itu juga keluar dengan mengerjakan thawaf Wida‘ tetapi mereka sepakat mengatakan bahawa penduduk Makkah yang menunaikan haji yang hendak bermukim di Makkah tidak diperintahkan untuk melakukan thawaf Wida‘ dan begitu juga bagi penduduk luar yang hendak bermukim di Makkah selepas menunaikan ibadat haji tidak perlu bagi mereka menunaikan thawaf Wida‘ walaupun setelah mereka selesai menunaikan ibadat haji. (Hâsyiyah al-‘Alamah ‘alâ Syarh al-Îdhâh: 448).

Maka di sini jelaslah bahawa thawaf Wida‘ itu bukanlah sebahagian daripada manâsik haji. Jika ia daripada manâsik haji, hendaklah thawaf Wida‘ itu dilakukan oleh semua jemaah haji tidak kira sama ada bagi orang yang menetap di Makkah atau sebaliknya. Tetapi thawaf Wida’ adalah satu ibadat yang perlu dilakukan ketika hendak keluar dari Makkah sebagai satu penghormatan kepada Baitullah.

Oleh kerana itu, sesiapa yang hendak keluar masuk Makkah sama ada penduduk Makkah atau bukan penduduk Makkah pada kadar perjalanan yang dibolehkan untuk memendekkan sembahyang, diwajibkan dia melakukan thawaf Wida‘ kerana ia merupakan penghormatan kepada Baitullah dan satu ibadat yang tidak bersangkutan dengan manâsik haji sebagaimana yang ditarjîhkan oleh Imam Abu al-Qasim ar-Rafi‘e.

Masalah Kedua:

Apabila seseorang jemaah haji itu telah tiba di Mina, hendaklah dia tidak melakukan perkara-perkara lain sebelum menunaikan kewajipan melontar Jamrah al-‘Aqabah atau Jamrah al- Kubra, kerana lontaran tersebut adalah merupakan satu penghormatan terhadap Mina dan lontaran ini dilakukan pada hari Nahar. Manakala kaifiyyah atau cara untuk melakukan lontaran Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar ini terbahagi kepada tiga pendapat:

1. Menurut pendapat yang shahîh dan mukhtâr (terpilih), kaifiyyah yang disunatkan untuk melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar ialah dengan menghadap ke jamrah tersebut dan menjadikan Makkah di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya, sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari:

Maksudnya: Daripada ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu bahawasanya dia sampai ke Jamrah al-Kubra. Dia jadikan Baitullah itu di sebelah kirinya, Mina di sebelah kanannya dan dia melontar tujuh kali. Dia berkata: “Demikianlah cara melontar orang yang diturunkan kepadanya surah al-Baqarah (Shallallahu ‘alaihi wasallam).” (Hadits riwayat al-Bukhari)

2. Manakala ar-Rafi‘e pula berpendapat bahawa kaifiyyah melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar itu ialah dengan menghadap ke arah jamrah dan membelakangi Ka‘bah.

3. Pendapat yang ketiga pula ialah dengan menghadap ke arah Ka‘bah dan menjadikan kedudukan jamrah tersebut di sebelah kanan. Ini adalah berdasarkan kepada hadits yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Abdul Rahman ibnu Yazid katanya:

Maksudnya: Ketika Abdullah sampai di Jamrah al-‘Aqabah dia masuk ke lembah dan menghadap ke arah Ka‘bah serta mulai melontar jamrah pada sisi kanannya…. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Tetapi menurut pendapat Imam an-Nawawi bahawa kaifiyyah yang disebutkan dalam hadits al-Bukhari adalah pendapat yang shahîh dan pendapat jumhûr ulama.

Adapun kaifiyyah melontar bagi ketiga-tiga jamrah pada hari-hari Tasyriq adalah sama iaitu disunatkan para jemaah menghadap ke arah qiblat dan melontar ketiga-tiga jamrah itu dari sebelah kanan.

Perbezaan kaifiyyah melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar dan hari-hari Tasyriq itu ialah bagi membezakan antara lontaran di hari Nahar dan lontaran pada hari-hari Tasyriq. Ini kerana melontar Jamrah al-‘Aqabah pada hari Nahar itu ialah sebagai penghormatan terhadap Mina oleh para jemaah yang baru tiba setelah selesai menjalani ibadat wuquf di ‘Arafah dan ia adalah lebih afdhal berbanding dengan lontaran pada hari-hari Tasyriq. Maka layaklah ia dibezakan dengan sifat yang khusus yang membezakannya daripada lontaran yang selepasnya. (Hâsyiyah Ibn Hajr ‘alâ al-Îdhâh: 353)

Menurut kitab sejarah Makkah al-Mukarramah, pada asalnya Jamrah al-‘Aqabah tersebut terletak di lembah sebuah bukit yang menyebabkan ia hanya dapat dilontar dari satu sudut sahaja. Kemudian untuk memudahkan para jemaah haji mengerjakan ibadat melontar itu, maka bukit tersebut telah diratakan dan dibina satu dinding yang tinggi bagi menunjukkan sudut asal lontaran itu dilakukan sebelum bukit itu diratakan. Oleh kerana keramaian jemaah haji semakin bertambah dan untuk mengurangkan kesesakan, Kerajaan Arab Saudi telah meruntuhkan tembok atau dinding Jamrah al-‘Aqabah dan menjadikan jamrah tersebut berbentuk bujur. Ini adalah untuk memudahkan lagi para jemaah haji menunaikan ibadat melontar.

Berdasarkan hadits riwayat Imam al-Bukhari dan pendapat yang shahîh di atas, adalah disunatkan bagi para jemaah untuk melakukan lontaran pada hari Nahar dengan menghadap jamrah dan menjadikan Makkah di sebelah kirinya dan Mina di sebelah kanannya. Manakala di hari-hari Tasyriq pula disunatkan bagi mereka melakukan lontaran dengan menghadap ke arah qiblat dan melontar dari sebelah kanan mereka.

Mengenai masalah melontar Jamrah al-‘Aqabah dari mana-mana sudut itu, setakat ini, belumlah kita jumpa dalil atau perkataan ulama yang melarangnya atau mengatakan lontaran tersebut tidak sah kerana menghadap qiblat itu adalah sunat jua hukumnya.

Masalah Ketiga:

Menurut Imam an-Nawawi dan az-Zarkasyi bahawa sesungguhnya tanah haram Makkah itu adalah sama seperti Masjid al-Haram dalam mendapat ganjaran seratus ribu pahala bagi sembahyang yang ditunaikan bahkan juga semua jenis amal kebajikan. Manakala menurut al- Hasan al-Bashri pula, berpuasa sehari di Makkah ganjaran pahalanya sebanyak seratus ribu dan memberi sedekah sedirham ganjaran pahalanya sebanyak seratus ribu dan setiap kebaikan yang dibuat akan memperolehi ganjaran pahala sebanyak seratus ribu. (Hâsyiyah al-‘Alamah ‘alâ Syarh al-Îdhâh: 432 & I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 119).

Daripada perkataan ulama yang dijelaskan di atas dapatlah kita fahami bahawa ganjaran pahala yang berlipat ganda sehingga seratus ribu itu bukan sahaja dikhususkan kepada amal ibadat yang dilaksanakan di Masjid al-Haram bahkan juga di seluruh tanah haram Makkah.

Maka segala amal ibadat yang dilakukan di tanah haram Makkah termasuklah sembahyang yang dilakukan di bumbung dan halaman luar Masjid al-Haram itu insyâ’ Allah akan memperolehi ganjaran fadhilat seratus ribu.

Adapun kelebihan sembahyang di Masjid an-Nabawi, menurut Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahîh Muslim bahawa fadhilat seribu yang dikhususkan untuk Masjid an- Nabawi itu hanyalah pada masjid yang asal sahaja iaitu pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bukannya pada tempat yang ditambah selepas zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu mengatakan:

Maksudnya: Pahala sembahyang di masjidku ini adalah seribu kali lebih baik daripada sembahyang di lain-lain masjid kecuali di Masjid al-Haram. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut sejarah Madinah al-Munawwarah dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jâmi‘ at- Tirmidzi bahawa sesungguhnya Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu tatkala selesai menambah bangunan Masjid an-Nabawi berkata:

Ertinya: Kalau kita menambahkan lagi masjid ini sampai kepada al-Jabbanah (Baqi‘e al- Ghardakah, tanah perkuburan penduduk Madinah) maka nescaya ianya tetap masjid Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga.

Menurut az-Zarkasyi, fadhilat amalanُُ (termasuk pahala sembahyang) yang dibuat di tanah haram Madinah tidaklah sama seperti fadhilat sembahyang yang dikerjakan di Masjid an- Nabawi tentang gandaan pahalanya (seribu kelebihan).ُُ (I‘lâm as-Sâjid bi Ahkâm al-Masâjid: 246)

Maka jelaslah di sini bahawa setiap sembahyang yang dilakukan di bumbung Masjid an- Nabawi akan memperolehi ganjaran seribu pahala kerana masih lagi berada dalam bangunan Masjid an-Nabawi, tetapi jika sembahyang itu dilakukan di luar halaman Masjid an-Nabawi, maka tidaklah sama fadhilatnya seperti fadhilat sembahyang yang dikerjakan di Masjid an- Nabawi walaupun dia mengerjakan sembahyang masih lagi dalam kawasan tanah haram Madinah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10300