Masalah Rambut Gugur Khasnya Ketika Haidh
Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai rambut gugur (luruh) ketika haidh.
Jawapan: Jangan Memotong Kuku atau Rambut Sebelum Mandi Wajib
Menurut beberapa qaul ulama dalam mazhab Syafi‘e adalah sunat untuk tidak memotong kuku atau memotong rambut ketika masih dalam keadaan junub supaya di akhirat kelak suku-sukunya akan kembali kepadanya dalam keadaan suci daripada janâbah (berhadas besar).
Berkata pengarang Fath al-Mu‘în:
Ertinya: Sayugia (adalah lebih baik), sebelum mandi wajib jangan membuang rambut, kuku dan juga darah (mengeluarkan darah), sebab semua itu kelak di akhirat akan dikembalikan dalam keadaan junub. (Hâsyiyah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/131-132)
Berkata al-‘Allâmah Ba ‘Asyin dalam Busyrâ al-Karîm:
Ertinya: Disunatkan bagi orang seumpama berjunub, janganlah dia menghilangkan sesuatu daripada badannya, kecuali setelah dia mandi. Kerana suku-suku badan itu akan kembali kepada badannya di akhirat kelak, maka suku-suku itu kembali dengan keadaan junub (serta) sangat mencela tuannya, kemudian suku-suku itu tanggal daripadanya melainkan suku-suku yang asal sahaja yang kekal. Dan ada pendapat yang mengatakan tiap-tiap rambut itu menuntut tuannya dengan sebab ia tanggal dalam keadaan junub itu. (Busyrâ al-Karîm: l/84)
Di samping itu, bahagian anggota yang berpisah daripada badan orang yang berjunub sebelum dia selesai mandi wajib, tidak terangkat janâbah anggota berkenaan dengan memandikannya sebagaimana pendapat asy-Syeikh Ahmad bin Qasim al-‘Abbadi ketika mengulas perkataan Ibnu Hajar yang dinaqalnya daripada Imam al-Ghazali (ألنُأجزاءهُتعودُ....ُال) katanya:
Ertinya: Zhahir perbuatan ini bahawasanya bahagianbahagian tubuh badan (orang yang berjunub) yang terpisah sebelum lagi mandi wajib tidak terangkat janâbah bahagian anggota berkenaan dengan memandikannya. (Hawâsyi asy-Syarwani wa Ibn Qasim al-‘Abbadi: l/284- 285)
Apa yang saya dapat fahami daripada keterangan al-‘Allâmah Ibnu Qasim di atas, bahawa tidaklah perlu dibawa bersama-samanya anggota yang dipotong ketika dia masih berjunub atau berhadas besar semasa dia mandi wajib, kerana janâbah yang ada pada anggota-anggota itu tidak juga akan terangkat. Yang lebih awlânya anggota-anggota tubuh orang yang berjunub itu seboleh-bolehnya dijaga jangan sampai ia tanggal apatah lagi dengan sengaja ditanggalkan sebelum dia mandi junub. (وهللاُأعلم).
Menanam Rambut Yang Haram Dilihat Oleh Bukan Mahramnya
Selain daripada itu, suatu perkara yang perlu juga diambil perhatian berhubung dengan bahagian-bahagian tubuh manusia yang ditanggalkan atau dipotong semasa seseorang itu masih hidup, jika ia bukan terdiri daripada aurat seperti kuku dan rambut lelaki, maka sunat sahaja ditanam. Manakala jika bahagian itu aurat seperti rambut perempuan atau mana-mana bahagian daripada anggota tubuh sama ada lelaki atau perempuan yang haram dilihat oleh bukan mahramnya ketika ia masih bersambung dengan badannya, maka wajiblah ia ditanam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10304
