Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Memakai Baju Yang Tertera Perkataan “Muhammad”

Soalan: Apakah hukum memakai baju T-Shirt yang tertera perkataan “Muhammad” (dalam tulisan Jawi) yang mungkin merujuk kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam?

Jawapan: Apabila perkataan ‘Muhammad’ ditulis dalam tulisan jawi dan tulisan itu tunggal yang boleh dianggap sebagai lambang atau perhiasan, pada kebiasaannya nama tersebut memang merujuk kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sebagai contoh tulisan yang ada di papan gantung, poster, kain rentang dan sebagainya. Tulisan sedemikian tidak sepatutnya diukirkan di tempat-tempat yang boleh menimbulkan kekeliruan seperti di baju, seluar, kasut dan seumpamanya kerana perbuatan sedemikian boleh menyinggung perasaan orang-orang Islam yang memuliakan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Selaku orang Islam kita sepatutnya waspada dengan unsur-unsur yang boleh mencemarkan imej agama kita seperti pengukiran kalimah-kalimah mulia di baju, kasut dan sebagainya. Apatah lagi ketika ini kita telah menemui beberapa usaha musuh-musuh Islam yang cuba menghina Islam dengan berbagai-bagai cara termasuk mencemarkan kalimat-kalimat yang kita sifatkan mulia dalam agama Islam. Pihak berkuasa di Negara Brunei Darussalam sahaja sudah beberapa kali mendapati kalimat-kalimat suci seperti kalimat Allah diukir di tempat-tempat yang hina seperti di tapak kasut, kain pakaian wanita dan sebagainya.

Dari itu tidaklah wajar baju yang diukir dengan nama ‘Muhammad’ dalam tulisan jawi itu dipakai kerana biasanya baju-baju itu akan turut diletakkan di mana-mana tempat sahaja termasuklah di bilik air selepas ianya dipakai.

Maka, jelas bahawa perbuatan mengukir nama ‘Muhammad’ di atas baju itu adalah satu bentuk penghinaan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam walaupun ianya dibuat secara tidak langsung.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam al-Qur’an telah mengkafirkan orang-orang yang menghina RasulNya, firmanNya:

Tafsirnya: Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. (Surah at-Taubah: 65-66)

Ayat ini adalah nash yang nyata dan dalil yang putus (قطعي) dalam menghukumkan kafir terhadap orang-orang yang menghina Allah, RasulNya dan kitabNya. Oleh kerana itu, para ulama Islam di seluruh pelusuk dunia telah sepakat mengkafirkan orang-orang sedemikian dan mereka mengatakan bahawa orang-orang yang melakukan perkara seumpama itu jika dia seorang Islam maka dia menjadi kafir murtad (keluar dari agama Islam) yang hukumnya sangat berat sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang menukar agamanya maka kamu bunuh dia. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Banyak nukilan daripada para cendekiawan agama yang mengatakan kesepakatan ulama tentang kekufuran orang-orang yang mengejek atau menghina Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan tentang hukum terhadap mereka.

Di antaranya kata-kata Imam Abu Bakar ibnu al-Mundzir Rahimahullah: “Telah sepakat kebanyakan ahli ilmu pada menentukan hadd bagi orang yang mengejek Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam iaitu hadd (hukuman) bunuh. Di antara orang-orang yang berpendapat demikian ialah Imam Malik, al-Laits, Ahmad dan Ishak, dan ia juga merupakan pendapat mazhab Syafi‘e.”

Al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah juga berkata: “Telah sepakat ummah dalam menghukumkan bunuh kepada sesiapa yang menghina dan mengejek Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Muhammad bin Sahnun salah seorang imam dari mazhab Maliki pula berkata: “Ulama telah sepakat mengatakan bahawa orang yang mengejek dan menghina Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah kafir, kesudahannya mendapat azab daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, hukumannya pada pendapat ummah ialah bunuh dan sesiapa yang meragui tentang kekufurannya dan juga azabnya adalah kafir.”

Sebagai irsyâd untuk mengatasi perkara sedemikian, ada baiknya dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya kita merasakan terdapat tulisan-tulisan yang diukir itu boleh membawa kehinaan Allah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10308