Memakan Daging Syubhah
Soalan: Apakah hukum memakan daging ayam, sapi dan kerbau sedang saya berada di negeri yang penduduk dan pemerintahnya adalah orang kafir? Saya yakin binatang berkenaan tidak disembelih menurut hukum syara‘ walaupun terdapat orang Islam dan masjid di sana. Bolehkah saya memakan daging tersebut atas dasar dharurat?
Jawapan: Perkara Memakan Daging Yang Halal
Mendapatkan daging yang halal untuk dimakan adalah satu tuntutan syara‘ sebagaimana firman Allah Ta‘ala dalam surah al-A‘râf, ayat 160:
Tafsirnya: Makanlah daripada yang baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu. (Surah al-A‘râf: 160)
Memakan daging yang tidak halal akan membawa bencana kepada diri seseorang Muslim, misalnya doa tidak diterima selama mana dia memakan makanan yang haram itu. Bahkan diancam pula dengan ancaman bahawa api neraka lebih layak baginya. Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Hai Sa‘d! Baguskanlah makanan engkau nescaya engkau adalah (orang yang) diperkenankan permintaan doa. Dan demi diri Muhammad di tanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan (menyuapkan) sesuap makanan haram ke perutnya, tidak diterima Allah daripadanya amal empat puluh hari, dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya daripada yang haram, maka api neraka lebih layak baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Dalam hadits yang lain Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah itu Maha Baik, Dia tidak akan menerima melainkan sesuatu yang baik. (Hadits riwayat Muslim)
Berkenaan daging ayam, kerbau atau lembu, ia hanya akan menjadi halal dimakan apabila binatang tersebut disembelih mengikut kehendak hukum syara‘. Ini bererti kehalalan daging itu adalah bergantung kepada bagaimana penyembelihan dan pengendaliannya yang betul menurut syara‘.
Sekiranya kita tidak meyakini tentang kehalalannya (melalui cara penyembelihannya), maka tidaklah halal bagi kita memakannya.
Adapun yang dikatakan dharurat itu ialah keadaan yang sangat memaksa. Contohnya seseorang yang sangat lapar dan memerlukan makanan, sedang makanan halal tiada dan jika dia tidak makan dia akan mati, maka haruslah dia makan sekadar keperluan menyelamatkan nyawa sahaja.
Keharusan memakan, sekalipun bangkai binatang, dalam keadaan terpaksa itu dijelaskan melalui firman Allah:
Tafsirnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana dharurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: 173)
Bahkan menurut ulama, sesiapa yang dalam keadaan dharurat – bersangatan lapar dan dahaganya – dia tidak mahu makan dan tidak mahu minum, kemudian mati (kerana kelaparan), dia masuk neraka. Ini menunjukkan bahawa memakan bangkai bagi orang yang dalam keadaan dharurat hukumnya adalah wajib (‘azîmah) bukan lagi kemudahan/kelonggaran (rukhshah) diumpamakan seperti wajib berbuka puasa bagi orang yang sakit.
Melihat kepada permasalahan yang saudara gambarkan belumlah lagi sampai kepada keadaan yang menyusahkan atau “terjepit” lebih-lebih lagi belum dikategorikan sebagai dharurat, kerana masih ada pilihan untuk makan makanan lain selain daging. Demikian juga saudara masih ada jalan untuk mendapatkan daging halal kerana di sana ada orang Islam sebagaimana saudara jelaskan, di sana juga ada masjid, tentu saja terdapat pengendalian daging cara Islam. Cuba-cubalah mencari dan rajin bertanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10312
