Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Membangun Balai Ibadat Di Tapak Bekas Masjid

Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufti mengenai hukum merobohkan masjid lama yang telah usang dan tidak digunakan lagi. Masjid tersebut terletak tidak jauh dari masjid baru yang ada sekarang.

Jawatankuasa Takmir Masjid mencadangkan di tapak masjid lama ini dibina balai ibadat yang akan berfungsi sebagai tempat menjalankan berbagai aktiviti seperti kelas-kelas agama, kursus dan bengkel, kelas komputer dan sebagainya.

Jawapan: Masjid yang telah rosak dan dikhuatiri roboh yang akan memudharatkan orang ramai itu adalah harus diroboh. Walau bagaimanapun tapak masjid berkenaan hendaklah dikekalkan sebagai masjid. Adapun perkakasnya yang telah rosak dan tidak dapat digunakan lagi untuk masjid yang baharu, dan apabila disimpan akan membebankan pihak masjid kerana menyempitkan ruangan masjid adalah harus ia dibakar. Dalam keadaan ia harus dibakar itu juga harus dijual dan perbuatan menjual ketika itu tidak lagi termasuk dalam kategori menjual waqaf. Malahan menjualnya adalah lebih utama kerana hasil jualannya itu dapat digunakan untuk kemashlahatan masjid sekalipun ia sedikit, berbanding dengan dibakar tiada apa-apa yang didapat.

Mengenai cadangan Jawatankuasa Takmir Masjid untuk mendirikan sebuah bangunan (balai ibadat) di atas tapak bekas masjid yang dirobohkan itu, kenapa dan mengapakah ia tidak dinamakan saja bangunan yang akan dibangunkan itu juga masjid atau sebahagian daripada masjid yang sedia ada? Mengenai dengan fungsinya pula sebagaimana yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid itu adalah tidak mengapa, kecuali jika penggunaannya itu melanggar kehormatan masjid atau tidak menepati syarat-syarat bagi masjid.

Walau bagaimanapun sama ada dibangunkan masjid yang lain di atas tapak bekas masjid itu secara berasingan atau bersambung dengan masjid yang ada sekarang ini, bukanlah itu bidang yang diperbincangkan. Terserahlah kepada pihak berkaitan untuk memikir atau mengkaji semua aspek. Apa yang berkenaan sebagai jawapan hanyalah: Tidak harus membangun di atas bekas tapak masjid lain-lain bangunan kecuali masjid jua.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10316