Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الحج والعمرة

Membuat Korban Untuk Si Mati Dan Masalah Perkongsian Pahala Korban

Soalan: Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti mengenai perkara berikut:

1. Adakah nash/dalil daripada al-Qur’an atau hadits yang menyatakan ketidakbolehan melakukan korban buat si mati kecuali jika ada wasiat?

2. Apakah pula maksud ‘pahala menyembelih korban boleh diniatkan untuk dikongsi oleh orang lain seperti keluarga’? Kerana, adakah tujuan lain lagi amalan korban itu selain mendapatkan pahala/ganjaran daripada Allah? Adakah maksud ‘orang lain seperti keluarga’ itu yang masih hidup atau termasuk juga orang yang telah mati?

Jawapan: 1. Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati, jika si mati tidak berwasiat untuk berbuat demikian. Berkata al-Khathib asy-Syirbini Rahimahullah:

Ertinya: Dan tidak sah berkorban untuk orang mati yang tidak meninggalkan wasiat berkorban untuknya berdasarkan firman Allah Ta‘ala (tafsirnya): “Dan sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya.” (Surah an-Najm: 39). Jika orang yang mati itu berwasiat (supaya berkorban untuknya), maka itu adalah harus. Dalam Sunan Abu Daud, al-Baihaqi dan al-Hakim; bahawa Ali bin Abu Thalib berkorban dua ekor kibasy untuk dirinya dan dua ekor pula untuk Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Dia berkata: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyuruh aku berkorban untuknya, maka aku akan berkorban untuk Baginda buat selama-lamanya.” (Mughni al-Muhtâj: 4/292-293).

2. Mengenai dengan soalan: Apa pula maksud ‘pahala menyembelih korban boleh diniatkan untuk dikongsikan oleh orang lain seperti keluarga’?

Pada dasarnya seekor kambing hanya boleh dikorbankan untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berkorban dengan seekor binatang korban itu, kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyembelih dua ekor kibasy dan Baginda berdoa:

Maksudnya: Ya Allah! Mohon terima (korban) daripada Muhammad dan daripada keluarga Muhammad dan daripada umat Muhammad.

Hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ini secara penuhnya berbunyi:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh bawakan seekor kibasy yang bertanduk yang kaki-kakinya berwarna hitam, perutnya berwarna hitam dan kedua matanya berwarna hitam. Lalu didatangkanlah kibasy yang dimaksudkan untuk disembelih sebagai korban. Baginda bersabda kepada ‘Aisyah: “Wahai ‘Aisyah, bawa kemari pisau!”, kemudian Baginda bersabda: “Asahlah dulu dengan batu!” maka dia (‘Aisyah) melaksanakannya. Selanjutnya Baginda mengambil pisau itu dan memegang kibasy lalu Baginda membaringkannya, kemudian Baginda menyembelih, kemudian Baginda mengucapkan: ُ Mohon terima daripada Muhammad, daripada keluarga Muhammad dan juga daripada umat Muhammad)”. Kemudian Baginda pun berkorban dengan binatang tersebut. (Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits ini berkata:

Ertinya: (Hadits) ini dijadikan dalil oleh ulama yang mengharuskan seseorang boleh berkorban untuk dirinya dan untuk keluarganya, serta dia dan mereka bersekutu yakni sama-sama mendapat pahalanya. Itulah mazhab kita dan mazhab jumhûr. (Syarh Shahîh Muslim: 7/136)

Sekalipun pahala berkorban itu diniatkan untuk dikongsi oleh orang lain bukanlah bermakna ia mengurangkan pahala perbuatannya melakukan ibadat korban itu.

Berkorban Untuk Selain Daripada Allah

Mengenai dengan soalan: Adakah tujuan lain lagi amalan berkorban itu selain mendapatkan pahala atau ganjaran daripada Allah?

Elok kita bercakap secara umum mengenai tujuan sesuatu amalan itu. Tujuan itu mempunyai hubungan dengan niat, dalam makna bahawa niat itu akan menentukan tujuan. Maka suatu pekerjaan atau amalan itu akan dibalas berdasarkan niatnya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesungguhnya segala amal perbuatan itu dengan niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang apa yang dia niatkan. Maka sesiapa hijrahnya kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan sesiapa hijrahnya untuk dunia yang dia akan memperolehnya atau perempuan yang dia ingin mengahwininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang dia berhijrah kepadanya itu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadits ini memberi gambaran bahawa sesiapa yang berhijrah ke Madinah semata-mata kerana Allah dan RasulNya, maka orang itu akan mendapat ganjaran atau pahala sesuai dengan maksud atau tujuan hijrahnya itu.

Sebaliknya, jika seseorang itu berhijrah ke Madinah bukan dengan maksud atau tujuan kerana tuntutan agama, malah hijrahnya untuk tujuan kepentingan yang lain seperti kepentingan dunianya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya itu adalah pada apa yang diniatkannya itu.

Dengan keterangan ringkas di atas jelaslah bahawa ibadat korban juga memerlukan keikhlasan iaitu jika seseorang menunaikan tuntutan sunat mu’akkadah semata-mata kerana Allah, maka dia akan mendapat ganjaran pahala kerana tujuannya itu. Tetapi jika seseorang itu menyembelih korban dengan suatu tujuan yang lain, maka tidaklah dinamakan ikhlas.

Ikhlas itu adalah menjadi jiwa atau roh kepada suatu amalan atau pekerjaan. Amalan yang ikhlas itulah yang diperintahkan oleh Allah. Firman Allah di dalam surah al-Bayyinah, ayat 5:

Tafsirnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.

Sebab-Sebab Yang Merosakkan Amal

Di antara sebab-sebab yang merosakkan amal seseorang ialah perasaan kehairanan dan kekagumannya dengan amalnya dan perasaan kesombongan ketika melakukannya. Perasaan ini merosakkan serta memusnahkan keikhlasan amal walaupun elok dan sempurna pada zahirnya.

Selain perasaan tersebut ada lagi perasaan yang paling membahayakan dan merosakkan amal, iaitu perasaan riya’. Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu pernah berkata kepada Mu‘az bin Jabal yang sedang menangis: “Kenapa engkau menangis?” Jawabnya: “Kerana ada hadits yang aku telah dengar daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengatakan:

Maksudnya: Sesungguhnya sedikit sahaja riya’ itu adalah syirik.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Haris al-Muhasabi berkata: “Bahawa ikhlas itu ialah engkau maksudkan taat kepada Allah dan engkau tidak memerlukan kepada yang lainnya.” Riya’ itu – katanya – ada dua macam, pertama: “Engkau maksudkan taat kepada manusia dan kedua: Engkau maksudkannya kepada manusia dan kepada Allah. Kedua-duanya adalah memusnahkan amal.”

Amal yang dicampuri riya’ bukanlah amal bersih, malah itulah amal yang menipu diri sendiri yang mengotorkan jiwa dan menghampakan harapan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menamakan riya’ sejenis syirik yang paling halus sebagaimana sabdanya:

Maksudnya: Sesungguhnya yang amat aku takuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus). Kemudian ditanya mengenainya (syirik yang kecil), maka sabda Baginda: “Itulah riya’.” (Hadits riwayat Ahmad)

Riya’ itu biasanya suatu perbuatan yang dikerjakan untuk diperlihatkan kepada orang atau ditinggalkan perbuatan itu kerana orang juga. Dalam hal ini, Fudhail bin ‘Iyadh (seorang ulama Tashawwuf yang meninggal dunia tahun 187H, berasal dari Kufah dan menetap di Makkah) telah berkata secara berterus terang bahawa:

Ertinya: Meninggalkan perbuatan kerana manusia adalah riya’. Melakukan perbuatan kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah Allah menyelamatkan engkau daripada keduanya.

Tersebut di dalam sebuah hadits qudsi bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Telah berfirman Allah Ta‘ala:

Maksudnya: Aku tidak berhajat kepada segala sekutu daripada sekutu. Sesiapa mengerjakan suatu amal yang dia sekutukan bersertaKu dalam perbuatan itu selain daripada Aku, Aku tinggalkan dia berserta sekutunya itu.” (Hadits riwayat Muslim)

Menyekutukan amal perbuatan dengan tujuan lain selain Allah merupakan amal yang tidak ikhlas, kerana orang yang mengerjakannya masih mengharapkan sesuatu faedah yang berasing-asingan selain daripada Allah, sebab itu amalnya menjadi sia-sia, tidak diterima Allah sebagaimana yang difahamkan daripada hadits tersebut.

Imam al-Ghazali (meninggal tahun 505H) dalam ulasannya mengenai perkara penyekutuan (asyrak) menerangkan: “Bahawa sekutu pada amal yang menghilangkan pahala ialah sekutu dengan perasaan riya’. Adapun sekutu dengan yang lainnya tidaklah menghilangkan pahala sama sekali. Hal itu samalah seperti urusan haji yang dikerjakan dengan maksud berniaga dan dengan urusan perang yang dimaksudkan untuk mempertahankan agama di samping mendapatkan rampasan harta benda. Orang yang mengerjakan haji dengan maksud yang tersebut akan mendapat pahala menurut kadar niatnya, manakala orang yang berperang itu pula akan mendapat pahalanya walaupun akan berkurangan daripada yang sepatutnya.”

Dalam pada itu beliau menegaskan pula bahawa bagi menentukan berpahala atau tidak suatu amal yang disekutukan itu hendaklah diperhatikan kepada sebab-sebab yang menggerakkan amal, iaitu manakah di antara sebab-sebab itu yang lebih kuat; adakah sebab agama atau sebab dunia atau sebab kedua-duanya sekali? Andaikata didapati sebab agama lebih kuat, maka berpahalalah ia. Tetapi kalau didapati sebab dunia lebih kuat atau kedua-dua sebab itu sama kuat dan sama berat tidaklah berpahala.

Asy-Syeikh ‘Izzuddin bin Abdul Salam (577–660H) pernah ditanya orang tentang kelakuan orang yang sembahyang yang memanjangkan rukun sembahyang kerana manusia, beliau menjawab: “Saya mengharapkan bahawa tidaklah dihapuskan pahalanya jika perbuatan sekutunya itu (iaitu memanjangkan rukunnya kerana manusia) pada sifat amal itu saja. Tetapi jika sekutunya itu didapati pada asal atau dasar amal, iaitu qashad sembahyangnya kerana Allah dan kerana manusia maka teranglah tidak diterima sembahyang itu.”

Dengan penjelasan mengenai kedudukan niat dan tujuan suatu pekerjaan itu akan menentukan bahawa amalan bukan kerana Allah itu akan sia-sia belaka.

Gugurnya Tuntutan Sunat Kifâyah

Tuntutan ibadat korban itu ada kalanya berbentuk sunat kifâyah. Jika salah seorang dalam keluarga berkorban binatang korban maka gugurlah tuntutan sunat kifâyah bagi kesemua ahli keluarga yang lain yang tidak berkorban.

Imam asy-Syirbini berkata yang maksudnya:

“Salah seorang daripada ahli keluarga melakukan korban, maka telah hasillah dengannya amalan sunat kifâyah bagi mereka semua.” (Mughni al-Muhtâj: 4/292)

Katanya lagi: “Jika dia mengongsikan orang lain pada pahala korbannya dan dia hanya menyembelih korban bagi pihak dirinya saja adalah harus.” (Mughni al-Muhtâj: 4/292)

Dalam makna yang lain bahawa ahli keluarga yang hidup yang tidak berupaya melakukan ibadat sunat korban, sudah dianggap tertunai tuntutan sunat kifâyah berkorban mereka jika salah seorang daripada ahli keluarga itu berkorban sunat, sekalipun korban itu atas nama dirinya seorang. Namun pahalanya boleh diniatkan untuk dikongsi bersama oleh orang lain walaupun orang tersebut sudah meninggal dunia, sama ada dia ahli keluarga atau orang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10320