Menghasilkan Tafsir Yang Lain, Bukan Meminda
Soalan: Apakah tafsir al-Qur’an boleh dipinda dan apakah kriteria atau syarat-syaratnya, sekiranya tafsir al-Qur’an itu boleh dipinda?
Jawapan: Pengertian Soalan
Dalam Kamus Bahasa Melayu, meminda atau pinda bermaksud membetulkan (kesalahan dan lain-lain), membaiki atau mengubah. Perkataan ini biasa digunakan untuk mengganti atau menukar sesuatu yang sudah sedia ada dengan sesuatu yang baru, sama ada kerana kesalahan atau tidak lagi diperlukan dan sebagainya.
Sekiranya perkataan ini dikaitkan dengan tafsir, ia boleh diertikan sebagai membetulkan, atau mengubah tafsir yang sedia ada kerana mengandungi kesalahan atau kerana tidak diperlukan.
Berdasarkan maksud meminda dan kaitannya dengan tafsir, maka saya memahami bahawa soalan di atas bermaksud adakah boleh membetulkan atau mengubah tafsir yang sedia ada, sama ada kerana mengandungi kesalahan atau kerana tidak diperlukan lagi.
Istilah Meminda Kurang Tepat
Semua ilmu yang telah dituliskan dalam kitab-kitab, seperti dalam kitab-kitab tafsir - yang sedia ada - adalah hasil usaha penulisnya sendiri sesuai dengan ilmu dan aliran yang ditempuhnya. Ulama menyebutkan bahawa ilmu yang diperolehi setiap orang tidak sama, sama ada dari sudut kadarnya atau keberkatannya. Ilmu yang mereka tuliskan juga tidak sama. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Setiap penulis ilmu-ilmu agama akan menerima hasil jerih payah masing-masing di akhirat mengikut kadar upayanya dan kesahihan penulisannya. Masing-masing penulis bertanggungjawab di akhirat tentang apa yang ditulisnya.
Kita mendapati bahawa ilmu dan hasil penulisannya adalah hak mutlak penulisnya. Dalam istilah sekarang perkara ini disebut sebagai “hak cipta”. Penulisnya - atau pihak yang dibenarkannya - saja yang berhak meminda dan menukarnya dengan yang lain. Orang lain tidak dibenarkan oleh disiplin keilmuan Islam meminda atau menukar dengan bahan lain penulisan orang lain. Perkara ini berkait dengan hak cipta dan amanat keilmuan.
Walaupun begitu, orang lain adalah dibenarkan mengambil manfaatnya, seperti membacanya, mengajarkannya dan menukilkannya.
Selain daripada itu, kita mendapati disiplin ilmu-ilmu Islam menerusi amali ulama-ulamanya membenarkan orang lain memberikan ulasan atau komen, tetapi bukan meminda atau menukar ganti matn asal. Istilah “ulasan” atau “komen” yang lumrah digunakan dalam etika disiplin ilmu-ilmu Islam antaranya “syarh”, “hawâsyi”, “tashhîh”, “tahqîq” dan “dhabth”. Syarh ialah huraian tambahan kepada matn tulisan yang asal. Hawâsyi ialah huraian tambahan kepada syarah matn. Tashhîh ialah koreksi kesalahan atau kesilapan. Tahqîq ialah koreksi kesalahan atau kesilapan dengan mentsabitkannya dengan dalil. Dhabth mengkoreksi dengan teliti untuk kesempurnaan, seperti memberi baris. (Dr. Ramil Yakub dkk: Qâmûs al- Mushthalahât al-Lughawiyyah wa al-Adabiyyah, Dr. Qutub Mustafa Sanu: Mu‘jam Mushthalahât Ushûl fiqh, Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal‘ah Ji dkk: Mu‘jam Lughah al- Fuqahâ’)
Dalam amali istilah-istilah ini matn asal tidak dipinda sehingga mengubah makna dan maksud, ulasan pula pada lazimnya diletakkan berasingan, seperti pada nota kaki.
Kita mendapati di antara kitab-kitab yang ditulis ulama zaman dahulu, termasuk kitab-kitab tafsir telah diulas oleh ramai ulama yang datang selepas mereka tanpa meminda matn kitab asal. Ulasan ada yang berbentuk “syarh”, “hawâsyi”, “tashhîh”, “tahqîq”, “dhabth” dan lain-lain.
Contoh kitab tafsir yang diulas dalam bentuk syarh dan hawâsyi ialah kitab Tafsîr al-Jalâlain telah dihawâsyikan oleh al-‘Allâmah asy-Syeikh Ahmad ash-Shawi al-Maliki dengan nama Hasyiyah ‘alâ Tafsîr al-Jalâlain, dan oleh al-Imam Sulaiman bin ‘Umar asy-Syafi‘e yang dikenali sebagai al-Jumal dengan nama al-Futûhât al-Ilâhiyyah bi Tawdhîh Tafsîr al-Jalâlain li ad-Daqâ’iq al-Khafiyyah.
Selain daripada keterlibatan orang lain memanfaatkan dan memberi ulasan, kita juga mengetahui adanya inisiatif ahli-ahli ilmu meringkaskan kitab-kitab ilmu, termasuk kitab-kitab tafsir, seperti Tafsîr Ibn Katsir telah diringkaskan oleh Muhammad Nasib ar-Rifa‘i dengan memberi nama Taisîr al-‘Aliyy al-Qadir li Ikhtishâr Tafsîr Ibn Katsir.
Setakat ini kita belum mengetahui ada ulama Islam yang meminda atau menukar ganti tafsir orang lain dengan tafsiran yang lain, yang ada hanya memberi ulasan mengikut bentuk istilah-istilah yang disebutkan di atas.
Berdasarkan hak cipta dan amanat keilmuan dalam Islam, setakat ini kita lebih cenderung berpendapat tidak dibenarkan meminda atau menukar ganti tafsir yang sedia ada dituliskan ulama terdahulu, kemudian menggantikannya dengan yang lain di atas nama pengarang tafsir yang dipinda. Adapun menghasilkan tafsir baru tidaklah termasuk dalam istilah meminda. Dengan ini juga maka persyaratan meminda tidak timbul.
Yang dibenarkan etika penulisan dalam Islam ialah mencipta sendiri dan mengulas (mensyarahkan, mentashhîh, mentahqîq atau memastikan penulisan) tafsiran yang sedia ada. Untuk maksud kerja-kerja seperti ini ulama-ulama Islam telah membuat panduannya. Antaranya Ibnu ash-Shalah asy-Syafi‘e yang meninggal pada tahun 643H dalam kitabnya ‘Ulûm al-Hadîts pada fasal yang ke-25, dan al-‘Allâmah al-Muhaddits asy-Syeikh Ahmad Syakir yang lahir pada tahun 1309H dan meninggal pada tahun 1377H dalam kitabnya bernama Tashhîh al-Kutub wa Shun‘ al-Fahâris al-Mu‘jamah wa Kaifiyyah Dhabth al-Kitâb.
Menghasilkan Tafsir Yang Baru Sekiranya yang dimaksudkan dengan “meminda” oleh penyoal bukan seperti yang dimaksudkan di atas, tetapi membuat yang baru atau mencipta tafsiran lain daripada yang sedia ada, adalah ini satu perkara yang telahpun terjadi dalam pentafsiran al-Qur’an sejak zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sehingga sekarang. Sejak kemunculan tafsir pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, zaman sahabat dan sehinggalah didisiplinkan sebagai satu jenis ilmu, kita menemui banyak tafsir dan kita juga menemui ada di antaranya yang berbeza antara satu dengan yang lain. Perbezaan timbul berdasarkan perbezaan dasar atau sumber kecenderungan para pentafsir menganalisa sudut makna-makna ayat yang ditafsirkan. Berdasarkan perbezaan corak pentafsiran yang ada, ulama membahagikannya kepada beberapa jenis: 1. Tafsîr bi al-ma‘tsûr, iaitu yang bersumberkan nash dan âtsâr, seperti: - Tafsir Jâmi‘ al-Bayân fî Tafsîr al-Qur’ân Oleh Imam Ibnu Jarir at-Thabari. - Tafsir ad-Durr al-Mantsûr fi at-Tafsîr bi al-Ma’tsûr Oleh Imam as-Suyuthi.
2. Tafsîr bi ar-ra’y, iaitu yang berdasarkan logik, seperti: - Tafsir Mafâtîh al-Ghaib oleh ar-Razi. - Tafsir Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Tanzîl oleh al-Baidhawi. - Tafsir Irsyâd al-‘Aql as-Salîm ilâ Mazâya al-Qur’ân al-Karîm oleh Abu as-Su‘ud, - Tafsir Madârik at-Tanzîl wa Haqâ’iq at-Ta’wîl oleh an-Nasafi, - Tafsir Lubab at-Ta’wîl fî Ma‘âni at-Tanzîl oleh al-Khazin dan lain-lain.
3. Tafsîr isyâri, iaitu yang bersumberkan isyarat makna, seperti: - Tafsir Rûh al-Ma‘âni oleh al-Alusi. Dalam pada itu, sekiranya seseorang ingin merujuk pembahasan makna dari sudut keindahan bahasa (balâghah) al-Qur’an, bolehlah menemuinya dalam tafsir al-Kasysyâf oleh az- Zamakhsyari, dari sudut aqidah atau ilmu kalâm boleh menjumpainya dalam at-Tafsîr al- Kabîr au Mafâtîh al-Ghaib oleh ar-Razi, dari sudut i‘râb al-Qur’an, qirâ’ât dan sasteranya boleh mendapatinya dalam al-Bahr al-Muhîth oleh Abu Hayyan.
Sejak al-Qur’an ditafsirkan sehingga pada masa ini terdapat berpuluh-puluh buah kitab tafsir yang ditulis oleh ramai ulama. Di antara tafsir yang dihasilkan pada akhir-akhir ini dalam bahasa Arab seperti Tafsîr fî Zhilâl al-Qur’ân oleh Sayyid Quthub. Dalam bahasa Melayu yang dianggap besar dan yang terbaru ialah Tafsîr al-Azhar susunan Hamka pada tahun 1971. Tafsir ini mencecah hampir 9000 muka surat.
Kemunculan tafsir-tafsir yang baru dan berlainan daripada yang sebelumnya pada masa-masa tertentu oleh pentafsir yang berlainan menunjukkan tafsir masing-masing membawa sesuatu yang baru yang mungkin berbeza dengan yang lain. Perbezaan boleh jadi dari sudut metode penulisan, huraian dan sebagainya sesuai dengan kehendak semasa.
Perkembangan kemunculan tafsir-tafsir baru menunjukkan adanya perbezaan antara satu dengan yang lain dan ini tidak dibantah oleh ulama selama tafsir dan pentafsir memenuhi persyaratan yang diperlukan. Setiap tafsir yang baru tidak dinamakan meminda tafsir yang sedia ada sebagaimana yang disebutkan dalam pengertian “meminda” di atas.
Jadi menghasilkan tafsir yang baru walaupun berbeza dengan tafsir yang sedia ada adalah boleh kerana kita tidak menemui ulama melarangnya selama memenuhi syarat yang diperlukan. Selama pentafsir mendasarkan tafsirnya kepada dasar-dasar tafsir yang diakui, iaitu al-Qur’an itu sendiri, hadits, âtsâr dan bahasa Arab, maka selama itu dia boleh mentafsir al-Qur’an mengikut ilmu dan kemampuannya.
Tafsir yang dimaksudkan ialah:
Ertinya: Tafsir ialah ilmu yang dibahaskan di dalamnya tentang al-Qur’an al-Karim dari segi petunjuknya mengikut yang dikehendaki Allah Ta‘ala sesuai dengan kadar upaya manusia. (Az-Zarqani, Manâhil al-‘Irfân: 2/3).
Syarat-syarat Pentafsir
Walaupun dibenarkan menghasilkan tafsir yang baru, ulama-ulama Islam telah membuat syarat-syarat tertentu untuk membolehkan seseorang menjadi pentafsir al-Qur’an. Misalnya Imam as-Suyuthi menyebutkan bahawa seseorang yang akan berkecimpung dalam bidang pentafsiran al-Qur’an mestilah memiliki ilmu-ilmu berikut:
1. Ilmu bahasa Arab. 2. Nahu. 3. Tashrîf. 4. Isytiqâq. 5. Ma‘âni. 6. Bayân.
7. Badi‘. 8. Qirâ’ât. 9. Ushûl ad-dîn. 10. Ushûl al-fiqh. 11. Asbâb an-nuzûl. 12. Nâsikh dan mansûkh. 13. Fiqh. 14. Hadits. 15. Ilmu mauhibah. (As-Suyuthi, Syurûth al-Mufassir wa Âdâbuh: 17-53.)
Manakala Ibnu ‘Athiyyah berkata bahawa orang yang mentafsirkan al-Qur’an perlu memiliki sepuluh perkara dan jika dia kekurangan satu pun daripadanya, lebih baiklah dia mendiamkan diri. Sepuluh perkara berkenaan ialah:
1. Mengetahui zahir al-Qur’an, perbezaan-perbezaan qirâ’ât dan makna-makna yang dipertikai dan yang disepakati.
2. Mengetahui bahasa Arab, ilmu nahu dan i‘râb.
3. Mengetahui jurus-jurus rahsia ikhlas, tawakkal, penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan zikir-zikir batin yang diwajibkan Allah atas hamba-hambaNya.
4. - (Perkara yang keempat tidak didapati dalam kitab yang asal).
5. Mengetahui hukum-hukum syara‘, seperti yang berkaitan dengan ibadat, muamalat dan nash-nash yang wârid mengenainya.
6. Mengetahui kisah-kisah, berita-berita dan keadaan turun ayat dan dapat membezakan antara nâsikh dan mansûkhnya.
7. Memelihara pendapat-pendapat para pentafsir daripada kalangan salaf dan khalaf.
8. Memiliki bakat semula jadi yang baik, kuat pemahaman dan tajam pemikiran.
9. Menyerahkan urusannya kepada Allah Ta‘ala.
10. Daripada kalangan orang zâhid terhadap dunia dan ingin kepada akhirat. (Ibnu ‘Athiyyah, Muqaddimatân fî ‘Ulûm al-Qur’ân: 174-175).
Daripada huraian di atas dirumuskan bahawa tidaklah menjadi amalan ulama “meminda” tafsir yang sedia ada yang dihasilkan oleh ulama lain. Tradisi mereka ialah menghasilkan sendiri tafsir yang baru, atau memberi ulasan kepada tafsiran ulama lain.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10348
