Menjadi Pengadil Kepada Perlawanan Bola Sepak Anjuran “Tiger Cup”
Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufti berhubung dengan penyertaan menjadi pengadil dalam perlawanan bola sepak “Tiger Cup” yang ditaja oleh syarikat pembuat minuman keras iaitu Tiger Beer.
Jawapan: Jika merujuk kepada perkataan “Tiger Beer” jelaslah ia sejenis jenama minuman arak. Hukumnya adalah haram bahkan ianya salah satu dosa besar. Hukumnya jelas disebut dalam al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘ ulama.ُ Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Surah al-Mâ’idah: 90-91)
Daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhu katanya: “Rasullullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Tiap-tiap yang memabukkan adalah khamr (arak) dan tiap-tiap yang memabukkan adalah haram, dan sesiapa yang meminum khamr (arak) di dunia lalu dia mati dalam keadaan dia menagih khamr (arak) nescaya dia tidak akan meminumnya di akhirat.
(Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Sebenarnya banyak hadits-hadits yang menyebutkan tentang perkara khamr (arak) ini dari segi hukum, ancaman, laknat ke atas orang-orang minum dan yang berurusan dengan arak. Antaranya hadits-hadits berikut:
Pengharaman arak itu bukan sahaja kepada orang yang meminumnya bahkan ia merangkumi kepada semua bentuk usaha dan penglibatan yang berkaitan dengannya, sebagaimana hadits yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat berkenaan dengan arak sepuluh golongan:
(1) Orang yang memerah arak. (2) Orang yang minta diperahkan arak. (3) Orang yang meminum arak. (4) Orang yang membawa arak. (5) Orang yang minta dihantari arak. (6) Orang yang menuangkan arak. (7) Orang yang menjual arak. (8) Orang yang makan harga arak. (9) Orang yang membeli arak. (10) Orang yang minta dibelikan arak. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Maksudnya: Jauhilah (minuman) arak, sesungguhnya (meminum arak itu) kunci (punca) segala kejahatan (keburukan). (Daripada al-Hakim dalam al-Mustadrak dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Îmân daripada Ibnu ‘Abbas: Hadits shahîh)
Oleh kerana itu, jika sesuatu perlawanan atau pertandingan di atas nama “Tiger Beer”, bahkan apa sahaja jenis minuman keras yang diharamkan oleh syara‘, maka haram hukumnya menyertai atau melibatkan diri dengan apa saja yang berkaitan dengan pertandingan tersebut, kerana menyertai atau melibatkan diri dengan perlawanan atau pertandingan tersebut menandakan atau menunjukkan orang itu redha serta menyokong dan bahkan memberi pertolongan kepada penyebaran (mempromosi) minuman berkenaan. Peringatan Allah adalah amat jelas di dalam perkara tolong-menolong seumpama ini, firmanNya:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah. (Surah al-Mâ’idah: 2)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10352
