Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Menjawab Azan Terlebih Dahulu Atau Sembahyang Tahiyyat Masjid

Soalan: Adakah kita dituntut menjawab azan yang sedang dilaungkan terlebih dahulu sehingga selesai atau terus sahaja menunaikan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid?

Jawapan: Seseorang yang masuk masjid disunatkan terus sembahyang Tahiyyat Masjid. Hukum sunat ini berlaku sebelum duduk atau sebelum diam yang lama di dalam masjid. Tetapi apabila masuk masjid azan sedang dikumandangkan dalam masjid itu, dia boleh berdiri sahaja dahulu untuk menjawab azan, kemudian barulah melakukan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid.

Ketika menerangkan perkara yang berkaitan dengan sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, al- ‘Allâmah asy-Syeikh Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Asin Rahimahullah berkata:

Ertinya: Disunatkan menangguhkannya (sembahyang sunat Tahiyyat Masjid) setelah selesai menjawab azan. (Busyrâ al-Karîm: 1/257)

Dengan menukilkan daripada Ibnu Qasim, asy-Syibramalissi Rahimahullah menyebutkan:

Ertinya: Andainya seseorang yang memasuki masjid pada hari Jumaat ketika azan sedang dikumandangkan setelah khatib naik ke mimbar, maka di dalam kitab al-‘Ubab berdasarkan pilihan Abu Syakil disebutkan bahawa dia menjawab azan itu dengan berdiri sahaja, selepas azan selesai dia sembahyang Tahiyyat Masjid dengan ringkas supaya dia sempat mendengar awal khutbah. (Fath al-‘Allâm: 2/132)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10356