Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Muzik Menurut Pandangan Islam

Soalan: Saya pernah membaca fatwa Mufti tentang hukum muzik, tetapi mengapakah masih ada stesen-stesen radio menyiarkan bermacam-macam jenis lagu termasuklah lagu-lagu dakwah/nasyid. Apakah pendapat Pehin Mufti tentang lagu-lagu yang berunsur sedemikian?

Jawapan: Kita telah pun menjelaskan kedudukan muzik ini menurut pandangan Islam dengan panjang lebar melalui Fatwa Siri (9/1998). Fatwa ini telah pun diterbitkan dengan jodol: Islam dan Muzik. Mudah-mudahan tuan yang bertanya berpeluang membacanya. Adapun permasalahan yang dikemukakan di atas lebih menjurus kepada masalah kepatuhan masyarakat terhadap hukum yang dijelaskan.

Untuk mengetahui hukum lagu-lagu, sekalipun ia disebut sebagai lagu-lagu dakwah, ia bukan semata-mata dinilai dari segi seni katanya, bahkan semua aspek yang ada kaitan dengannya. Sekiranya lagu-lagu berkenaan dipersembahkan dalam bentuk masih mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan hukum syara‘ seperti diiringi oleh muzik-muzik yang dilarang oleh Islam, sebagaimana yang disebut dalam fatwa berkenaan, maka ia tetap juga bercanggah dengan hukum syara‘. Begitu juga cara ia disampaikan, bentuk majlis di mana ia disampaikan, tempat ia disampaikan, semua aspek-aspek berkenaan akan diambil kira dalam menetapkan hukum mengenainya.

Dari itu, secara umumnya lagu-lagu yang menjurus kepada dakwah tidaklah mengapa. Tetapi lagu-lagu dakwah itu juga boleh saja turut terdedah kepada unsur-unsur yang boleh bercanggah dengan kehendak hukum syara‘ apabila ia tidak dijaga dan diawasi dengan betul mengikut “sukat-sukat” syara‘ yang sebenarnya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10360