Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Orang Islam Memelihara Anjing Yang Dibuang Di Halaman Rumahnya

Soalan: Apa hukumnya orang Islam memelihara anjing yang telah dibuang di halaman rumahnya lalu memeliharanya sehingga besar? Apa pendapat Pehin Mufti tentang perkara ini?

Jawapan: Islam begitu menitik-beratkan soal kebersihan dan kesucian sehinggakan ia dianggap sebahagian daripada komponen iman. Hal ini dizahirkan dalam pelbagai aspek, umpamanya yang berkait dengan suasana dan kualiti kehidupan seorang Muslim. Salah satu wadah memperagakan ajaran ini tampak bilamana Islam memandu penganutnya supaya tidak memelihara anjing tanpa ada keperluan.

Anjing Adalah Najis

Anjing adalah binatang yang dianggap najis mengikut pandangan mazhab Imam asy-Syafi‘e. Segenap anggota binatang anjing adalah najis termasuk apa sahaja yang berasal daripadanya seperti air liur, peluh, susu, air kencing dan sebagainya. Najis anjing adalah najis mughallazhah (berat) di mana cara menyucikan kesan yang terkena palitan, jilatan atau sebagainya tidak memadai dengan sekadar sekali jirusan air sahaja bahkan hendaklah disertu, iaitu tujuh kali basuh dengan air, termasuk salah satunya dengan tanah (air bercampur tanah).

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Kebersihan bejana seseorang antara kamu jika ia telah dijilat oleh anjing, adalah dengan membasuhnya sebanyak tujuh kali, salah satunya dengan tanah. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits yang lain juga menyebutkan:

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang berkata bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah datang ke sebuah kampung orang-orang Anshar sedang sebuah kampung lagi tidak dikunjungi atau didatanginya. Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk kampung tersebut lalu mereka bertanyakan kepada Nabi: “Wahai Rasulullah! Tuan telah datang ke kampung itu, kenapa pula Tuan tidak datang ke kampung kami?” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya dalam kampung kamu itu ada anjing”. Orang-orang kampung itu berkata: “Dalam kampung mereka itu ada kucing liar”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Kucing liar itu (hanyalah) binatang buas (iaitu bukan dalam kategori anjing)”. (Hadits riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Tentang hadits yang pertama di atas, ulama dalam mazhab Imam asy-Syafi‘e berpendapat sebab bejana itu perlu disucikan sebanyak tujuh kali ialah kerana beratnya najis yang mengenainya. Najis itu adalah disebabkan oleh jilatan anjing tersebut. Oleh itu diqiyâskan anggota lain adalah lebih utama mengandungi najis kerana mulut anjing itu sekurang-kurangnya adalah bahagian yang paling baik sekali.

Adapun fakta pengambilan dalil (wajh dilâlah) bagi hadits yang kedua adalah semata-mata mafhûm (pemahaman) bahawa sebab keengganan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memasuki perkampungan tersebut ialah kerana anjing itu bernajis.

Oleh itu, adanya anjing di rumah seseorang Muslim berkemungkinan najis akan tertinggal di sekeliling atau persekitaran rumah yang disebabkan oleh jilatan, kencing anjing ataupun seumpamanya.

Hukum Memelihara Anjing

Al-Imam an-Nawawi, seorang ulama dalam mazhab Imam asy-Syafi‘e menjelaskan bahawa haram hukumnya memelihara anjing tanpa keperluan. Dalam kitab Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi, beliau berkata: “Adapun perihal memelihara anjing-anjing maka (pendapat yang diguna pakai) dalam mazhab kami adalah bahawasanya haram memelihara anjing tanpa keperluan. Sebaliknya, harus memelihara anjing bagi tujuan perburuan, menjaga kebun dan menggembala binatang ternakan. Adakah harus juga hukumnya memelihara anjing bagi tujuan menjaga kediaman, gerbang-gerbang dan seumpamanya? Maka dalam persoalan ini terdapat dua wajh. Salah satu menyatakan tidak boleh mengikut maksud zahir hadits-hadits yang jelas menyatakan tentang larangan memelihara anjing kecuali bagi tujuan berkebun, berburu atau menjaga binatang ternakan. Qaul (pendapat) yang ashah antara keduanya pula menyatakan harus (memelihara anjing-anjing) dengan berqiyâas kepada tiga keperluan di atas melalui perkongsian ‘illah yang dapat difahami daripada hadits-hadits tersebut iaitu hajat (keperluan). Adakah boleh memelihara anak anjing dan mendidiknya untuk tujuan berburu, berkebun dan menjaga ternakan? Dalam persoalan ini juga terdapat dua wajh bagi ashhâb (ulama) kita. Wajh yang ashah antara keduanya menyatakan harus”.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda melalui hadits yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Barangsiapa memelihara anjing bukan anjing bagi tujuan berburu, menjaga binatang ternakan atau menjaga ladang, maka setiap hari pahalanya berkurang dua qîrâth. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksud qîrâth seperti dalam hadits di atas menurut al-Imam an-Nawawi adalah sebagai berikut:

Ertinya: Dan adapun qîrâth di sini maksudnya ialah satu kadar yang maklum di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala, dan maksudnya ialah kurang satu bahagian daripada pahala amalannya.

Sebab Berkurangnya Pahala

Para ulama telah memberikan beberapa pandangan tentang sebab berkurangnya pahala orang yang memelihara anjing tanpa hajat sehingga setiap hari akan berkurangan sebanyak kadar yang dijelaskan dalam hadits di atas. Antara sebab-sebab tersebut adalah seperti berikut:

1. Anjing-anjing itu ditakuti akan mencederakan orang yang lalu-lalang di hadapan rumah serta mengganggu mereka dengan salakan-salakan yang menakutkan.

2. Ia adalah pembalasan baginya yang ingkar kerana melakukan apa yang ditegah.

3. Memelihara anjing itu membawa kemungkinan pemiliknya akan alpa atau tidak sedar akan kesan jilatan, palitan dan sebagainya sehingga dia gagal atau lupa untuk membasuhnya dengan cara yang telah disyariatkan. Secara semula jadi, ini akan menjejaskan kesempurnaan ibadat yang dilakukan oleh pemilik anjing-anjing itu.

Rumah Tidak Dimasuki Malaikat

Antara sebab lain juga mengapa ditegah memelihara anjing tanpa keperluan adalah kerana telah tsabit melalui beberapa nash atau dalil bahawa Malaikat Rahmat tidak masuk ke rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Ini ditegaskan dalam hadits-hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam umpamanya yang diriwayatkan daripada Abu Thalhah, bahawasanya beliau berkata: “Aku mendengar Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Malaikat tidak memasuki rumah yang terdapat di dalamnya anjing dan gambar patung. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Majah) Apabila rumah tidak dimasuki malaikat, penghuninya akan hampa daripada kelebihan-kelebihan sebagaimana yang dini‘mati oleh orang-orang yang merasai rahmatnya. Adapun antara rahmat, keuntungan dan kebaikan rumah yang dimasuki malaikat itu adalah seperti berikut: - Dipohonkan penghuninya keampunan oleh para malaikat itu. - Dijaga dan dipelihara ketika mereka tidur oleh para malaikat itu. - Didoakan oleh para malaikat. - Diaminkan bersama oleh malaikat ketika mereka sembahyang. - Memperolehi keberkatan pada rumahnya. - Dikawal dan dijauhkan daripada gangguan syaitan. - Ditetapkan pada diri dan rumahnya ketenangan dan ketenteraman. Menurut pendapat setengah ulama, anjing yang dipelihara kerana ada keperluan seperti untuk berburu, menjaga tanaman, menjaga binatang dan sebagainya tidaklah menegah Malaikat Rahmat memasuki rumah yang terdapat dalamnya anjing seperti itu.

Islam Adalah Rahmat Rahmat yang dibawa malaikat sebenarnya hanyalah sebahagian daripada tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sedang agama Islam itu sendiri adalah rahmat yang paling besar bagi sekalian alam. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah Rasul yang diutus untuk mengkhabarkan berita rahmat tersebut ke seluruh makhluk ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

(Surah al-Anbiyâ’: 107)

Berkata al-‘Allamah Syihabuddin Mahmud al-Alusi al-Baghdadi: “Dan dikatakan maksud الحعَالَمني ialah semua makhluk (kejadian). Maka sesungguhnya alam ini tidak dapat menandingi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan kebesaran sifat-sifatNya. Semua (keseluruhan) makhluk-makhluk yang berakal itu diberikan keistimewaan daripada makhluk-makhluk yang lain.” (Kitab Rûh al-Ma‘âni fî Tafsîr al-Qur’ân wa as-Sab‘ al-Matsâni: 17/105)

Manusia dan makhluk-makhluk yang lain seperti binatang juga akan mendapat rahmat dengan sebab diutus Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka makhluk-makhluk lain (binatang) akan dihimpunkan dan dibangkitkan di Hari Kiamat nanti untuk dihisab dan menerima balasan. Hal ini telah dijelaskan dalam al-Qur’an, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala berikut:

Tafsirnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat seperti kamu juga. Tidak Kami tinggalkan sesuatu pun dalam kitab al-Qur’an ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).” (Surah al-An‘âm: 38)

Imam Fakhiruddin ar-Razi menyatakan dalam kitabnya bahawa munasabah ayat ini dan ayat sebelumnya diturunkan adalah bagi menyampaikan akan kelebihan, perlindungan, rahmat, dan ihsan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada semua makhlukNya (manusia, jin, malaikat, binatang sama ada binatang melata, burung-burung, binatang di laut dan lain-lain). (Kitab at- Tafsîr al-Kabîr: 11/222).

Dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada menjelaskan tentang rahmat dan belas kasihan sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda sendiri. Sabda Baginda:

Maksudnya: Orang-orang yang mempunyai hati yang pengasih itu, mereka akan dirahmati Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bersifat ar-Rahmân, hendaklah kamu mengasihani sesiapa jua di atas muka bumi ini, supaya kamu juga akan dikasihani oleh sesiapa yang berada di atas langit. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Sesungguhnya sesiapa yang tiada belas kasihan dan rahmat di hatinya, nescaya tidaklah dia diberi rahmat dan kasihan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits yang lain:

Maksudnya: Barang siapa tidak ada kasihan ke atas orang lain, maka Allah tidak kasihankan dia. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadits-hadits Rasulullah banyak menceritakan kisah-kisah tentang golongan yang mendapat rahmat dan kebaikan kerana menghulurkan bantuan dan sekeping rasa kasih sayang terhadap sesama makhluk.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa seorang lelaki yang sangat kehausan telah terjumpa sebuah perigi ketika dia sedang melewati suatu jalan. Lelaki itupun turun ke dalam perigi tersebut dan meminum airnya. Kemudian apabila dia keluar dari perigi itu, tiba-tiba seekor anjing datang dengan lidahnya yang terjelir keluar. Anjing itu menjilat tanah kerana sangat haus. Lelaki itupun berkata: “Anjing itu sangat haus sebagaimana aku”. Lalu dia pun masuk semula ke dalam perigi itu dan dipenuhinya kasutnya (dengan air) lalu dia naik sambil membawa kasutnya itu dengan giginya. Maka diberinya anjing itu minum (dari air yang diambilkannya itu). Maka Allah Subhanahu wa Ta‘ala bersyukur kepadanya dan mengampuni (dosa-dosanya). Seorang sahabat bertanya kepada Nabi: “Wahai Rasulullah! Adakah kita mendapat pahala kerana (menolong) haiwan?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:

Maksudnya: Pada setiap yang mempunyai limpa dan hidup ada pahalanya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Juga diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu yang berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sedang seekor anjing yang hampir mati kerana kehausan berjalan-jalan mengelilingi sebuah perigi dilihat oleh seorang pelacur daripada golongan pelacur-pelacur Bani Isra’il, maka dia membuka kasutnya untuk mengambil air perigi dengannya, lalu diberinya minum anjing itu melaluinya, maka diampunkan dia kerana perbuatannya itu. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Juga perhatikan hadits yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu yang berkata: “Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Seorang wanita diseksa kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Disebabkan itu dia dimasukkan ke neraka. Dia telah mengurungnya tanpa memberinya makan dan minum, bahkan dia tidak mahu membiarkan kucing itu memakan serangga-serangga tanah. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulannya, agama Islam tetap bertegas dengan prinsip-prinsip memelihara mashlahat dan kebaikan umat manusia terutama bagi konteks kesejahteraan penganut-penganutnya. Kebersihan dan kesucian tetap menjadi perkara pokok dan tunjang kukuhnya keimanan seseorang. Walau bagaimanapun, mashlahat juga turut meletakkan Islam memelihara hubungan manusia dengan makhluk Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang lain.

Oleh itu, sebagai irsyâd jua, anjing yang telah ditemui dibuang di kediaman orang-orang Islam patutlah diusahakan untuk menyerahkannya kepada pihak-pihak yang dianggap berkaitan, atau kepada orang bukan Islam yang dipercayai boleh melepaskannya daripada kebinasaan. Jika usaha-usaha seperti itupun gagal, maka dengan niat memberikan penjagaan sementara, bolehlah ia dibiarkan berada dalam kawasan itu, sehingga pada suatu ketika setelah dikenal pasti ia boleh dan selamat untuk dilepas-bebaskan bagi mencari dan mengurus sendiri kehidupannya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10364