Pembayaran Binatang Korban Dan Aqiqah Menggunakan Kad Kredit
Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin tentang penggunaan kad kredit sebuah bank yang menawarkan khidmat berkonsepkan al-wakâlah untuk pembayaran binatang ibadat korban dan aqiqah.
Jawapan: Kad kredit menurut definisinya merupakan satu dokumen yang dikeluarkan oleh pihak bank kepada seseorang atau kepada pertubuhan-pertubuhan dan institusi-institusi berdasarkan perjanjian kedua-dua belah pihak yang membolehkannya membeli sesuatu barang atau perkhidmatan, daripada seseorang (peniaga) yang menerima (mempercayai) kad itu tanpa pembayaran segera, kerana dijamin pembayarannya oleh pihak bank berkenaan dan pembayaran adalah daripada pihak pengeluar kad. Pihak pengeluar kad akan mengambil balik bayaran itu daripada pemegang kad mengikut tempoh tertentu. Demikianlah juga konsep dengan kad kredit bank berkaitan.
Pembelian barang dengan menggunakan kad kredit itu adalah pembelian yang dibayar secara tangguh. Pemegang kad kredit dibenarkan berbelanja mengikut kadar yang telah dipersetujui oleh pemegang kad dan pihak bank yang mengeluarkan kad kredit berkenaan. Kategori pembelian yang dilakukan dengan menggunakan kad kredit itu ialah pembelian secara hutang.
Dalam Islam pembayaran secara tangguh itu adalah diharuskan melainkan pada benda yang sama jenisnya. Contohnya beli emas dengan emas, perak dengan perak atau beras dengan beras dan sebagainya. Mengikut keputusan Persidangan Majma‘ al-Fiqh al-Islami, bilangan 108 (2/12) yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi pada tahun 2000M, kad kredit juga tidak boleh digunakan untuk membeli emas atau perak kerana membeli emas dan perak dengan wang itu mestilah dengan tunai. Wang dan emas atau perak dikategorikan sebagai jenis yang sama. Pembelian secara hutang dalam benda yang sama jenis itu adalah termasuk dalam kategori riba dalam Islam.
Adapun pembelian binatang seperti lembu, kerbau, kambing dan seumpamanya dengan penggunaan kad kredit adalah diharuskan kerana bukan dari jenis yang sama. Membeli binatang secara hutang itu adalah muamalat yang sah menurut hukum syara‘ dan barang yang dibeli secara hutang itu adalah menjadi hak mutlak pembeli. Dengan ada hak pembeli sebagai pemilik binatang yang dibeli secara hutang itu, maka binatang tersebut adalah sah untuk dijadikan korban.
Satu perkara yang ingin kita sentuh di sini untuk mengingatkan orang ramai dalam penggunaan kad kredit ini ialah ada di antara pemegang kad kredit yang benar-benar berkemampuan untuk melunaskan segala pembayarannya yang bakal dituntut oleh bank berikutan penggunaan kad kreditnya. Penggunaan kad tersebut menjadi pemudah baginya berurusan dengan penjual tanpa perlu membawa wang tunai. Bagi orang yang seumpama ini tidak ada masalah yang timbul berbangkit daripada penggunaan kad kredit berkenaan. Namun ada sebahagian pemegang yang menggunakan kad kredit sebagai peluang untuk bebas berbelanja sehingga melebihi kemampuannya. Sebagaimana yang pernah tersiar di media massa tempatan, semakin ramai orang berhutang disebabkan penggunaan kad kredit dan hutang tersebut semakin meningkat. Selain menambah hutang ke atas penggunanya, ia juga menjejaskan perkembangan ekonomi negara. Antara sebab peningkatan hutang yang tertangguh itu ialah pemegang kad kredit tidak dapat melunaskan hutangnya. Ini menggambarkan bahawa ada pihak yang mengambil kesempatan berhutang dengan berbelanja menggunakan kad kredit sekalipun di luar kemampuannya.
Maka dalam melakukan ibadat korban dengan cara berhutang itu tidak dinafikan bahawa ibadat tersebut adalah sah mengikut hukum syara‘. Tetapi memaksa diri untuk berhutang adalah suatu tindakan yang tidak digalakkan oleh Islam apalagi untuk memaksa diri melakukan ibadat kerana tuntutan beribadat dalam agama itu bukanlah untuk membebankan manusia. Ibadat itu dituntut semata-mata untuk mengukur ketaqwaan seseorang. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kesusahan, tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan ni‘matNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. (Surah al-Mâ’idah: 6)
Dalam ayat yang lain Allah berfirman:
Tafsirnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah ath-Thalâq: 7)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan keburukan orang yang berhutang dalam beberapa hadits Baginda. Antaranya sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Dan jauhkanlah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tidak mengembalikannya. (Hadits riwayat Malik)
Maksudnya: Roh seseorang mu’min itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar. (Hadits riwayat Ahmad dan at-Tirmidzi)
Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan bahawa dalam melakukan ibadat korban itu tidak perlu kita memaksakan diri sehingga berhutang dan hutang tersebut akan membebankan diri untuk melunaskannya. Lebih-lebih lagi jika hutang tersebut menjejaskan keperluan hidup harian keluarga.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10368
