Penciptaan Khinzîr Dan Sumber Rujukannya
Soalan: Bolehkah Pehin Mufti jelaskan dengan dalil-dalil shahîh tentang ciptaan khinzîr secara terperinci dan bagaimana saya boleh mendapatkan sumber tentang perkara ini?
Jawapan: Segala Sesuatu Adalah Ciptaan Allah Segala sesuatu yang ada di alam ini adalah ciptaan atau makhluk Allah Ta‘ala. FirmanNya:
Tafsirnya: Allah, Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa. (Surah as-Sajadah: 4) Berdasarkan ayat ini hakikat pembuat dan pencipta segala sesuatu yang ada di langit, di bumi dan di antara keduanya, hanyalah Allah Ta‘ala jua. Begitulah pengisytiharan daripada Allah Ta‘ala yang wajib kita terima dan yakini. Untuk mengetahui hakikat penciptaan sesuatu itu, seperti cara atau asal usul atau unsur-unsurnya secara terperinci dan shahîh tentulah pula berdasarkan makluman daripada Allah jua, iaitu menerusi nash al-Qur’an dan hadits. Menerusi keduanyalah diperolehi makluman yang shahîh. Salah satu unsur yang mesti ada dalam penciptaan dan kehidupan makhluk ialah air. Ini dijelaskan oleh Allah Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu daripada air; sebahagian di antara mereka ada yang menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antara mereka ada yang berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian di antara mereka ada yang berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa saja yang Dia kehendaki selain daripada yang tersebut, kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah an-Nûr: 45)
Tafsirnya:ُُ Dan Kami jadikan daripada air tiap-tiap sesuatu yang hidup. (Surah al-Anbiyâ’: 30)
Khinzîr
Salah satu jenis makhluk yang terdapat di muka bumi ialah khinzîr atau babi. Perkataan khinzîr berasal daripada bahasa Arab ‘khazara’, ertinya ‘sepet’. Binatang ini berkaki empat, menyusu, bermuncung panjang, bermata sepet dan beranak. (Muhammad bin Musa ad-Dimyari, Hayât al-Hayawân al-Kubrâ: 430 dan Ensiklopedia Hukum Islam: 3/924)
Materinya najis, bentuknya buruk, pengotor dan menyukai yang kotor. (Mu‘jam Lughah al- Fuqahâ’: 201)
Khinzîr diberi beberapa panggilan: Abu Jahm (ٍُ محأَبو ُجَه), Abu Zar‘ah (ٍُ عَةحأَبو ُزَر), Abu Dulf (ٍُ أَبو ُدلحف), Abu ‘Atabah (ٍُ َبَة أَبو ُعَت), Abu ‘Ilyah (ٍُ أَبو ُعلحيَة) dan Abu Qâdim (ٍُ أَبو ُقَادم). (Muhammad bin Musa ad- Dimyari, Hayâh al-Hayawân al-Kubrâ: 430)
Sifat-sifat
Khinzîr memiliki sifat kebinatangan dan kebuasan; iaitu yang mempunyai taring dan memakan bangkai. Khinzîr yang bersifat kebinatangan ialah jenis yang memakan rumput-rumputan, berkuku dan suka makan. Jenis ini disebut sebagai rakus...
Jenis
Dalam ilmu yang membahaskan tentang binatang dalam Islam menyebutkan khinzîr ada dua jenis: (1) khinzîr darat dan (2) khinzîr air.
Penciptaan
Kata khinzîr dijumpai dalam nash al-Qur’an sebanyak empat kali yang semuanya menjelaskan tentang keharamannya dan salah satunya disertai dengan kenajisannya.
Tidak ada nash yang jelas memaklumkan penciptaan khinzîr secara terperinci dan khusus. Makluman penciptaannya secara shahîh diketahui hanya menerusi keterangan nash secara umum yang disebutkan dalam ayat-ayat di atas. Salah satu unsur penciptaannya ialah air.
Hikmah Penciptaan
Apa saja yang ada di alam ini dicipta bukan sia-sia, semuanya mengandungi hikmah. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya:ُُ Dan Kami tidak menjadikan langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya secara sia-sia. (Surah Shâd: 27)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami daripada azab neraka. (Surah Âli ‘Imran:ُُ 191)
Hikmah yang paling besar daripada semua yang ada di alam ini ialah sebagai bukti kewujudan penciptanya. Pencipta itu pula mempunyai segala sifat kesempurnaan dan tidak ada persamaan dengan apa yang diciptaNya.
Selain itu banyak lagi hikmahnya, salah satunya ialah supaya dengan apa yang diciptaNya itu, manusia dapat menjadikan sebagai bahan i‘tibâr dan beroleh pahala. Contoh
Khinzîr, anjing, bangkai dan sebagainya daripada yang kotor-kotor termasuk dalam lingkungan makhluk yang ada di alam ini. Benda-benda kotor ini diharamkan oleh Allah Ta‘ala ke atas manusia. Jadi hikmah penciptaannya di sini supaya manusia beroleh pahala menerusi pengharamannya itu.
Begitu juga penciptaan benda-benda yang baik, bersih dan suci mengandungi hikmah masing-masing, yang boleh mendatangkan kebaikan dan pahala kepada manusia.
Sejarah Kewujudan Khinzîr Di Muka Bumi Khinzîr darat telahpun wujud di muka bumi semenjak 6 juta tahun yang lalu. Sesetengah penyelidik berpendapat khinzîr telah dikenali manusia sebelum 8 ribu tahun yang lalu, iaitu sekitar zaman batu. (Al-Mausû‘ah al-‘Arabiyyah al-‘Âlamiyyah: 10/169)
Pada zaman Nabi Nuh ‘Alaihissalam, khinzîr telahpun wujud. Ini diceritakan bahawa apabila kotoran binatang yang ada bersama dalam bahtera Baginda melimpah, Allah mewahyukan kepada Nuh supaya mementil ekor gajah. Apabila Baginda melakukannya lalu jatuh daripadanya khinzîr jantan dan khinzîr betina. Maka terus keduanya menuju ke arah kotoran binatang lalu memakannya. (‘Arâ’is al-Majâlis: 51)
Dalam sejarah, disebutkan oleh ulama tafsir bahawa apabila Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam mendatangi kumpulan Yahudi, mereka menyambutnya dengan berkata: “Datang tukang sihir, anak tukang sihir”. Kemudian mereka mencelanya dan ibunya. Apabila Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam mendengar yang demikian itu, Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam pun berdoa dan melaknat mereka. Maka Allah menukar rupa mereka dengan khinzîr. Ini juga menunjukkan khinzîr sudah dikenali pada zaman itu.
Keajaiban
Apabila salah satu matanya dicabut ia cepat mati. Kulitnya tidak mempunyai lapisan seperti kulit binatang lain dan sama dengan kulit manusia yang bersambung terus kepada daging.
Hukum
Tidak sah memperjualbelikan khinzîr. Khinzîr adalah najis mughallazhah, sama dengan kenajisan anjing. Haram dimakan. Binatang paling menjijikkan. Sunat membunuhnya. (Hayâh al-Hayawân al-Kubrâ: 430)
Adab Dalam Aqidah
Orang mu’min hendaklah beraqidah bahawa segala sesuatu yang ada di alam ini terjadi berdasarkan kehendak Allah Ta‘ala. Tetapi dalam membangsakan sesuatu kepadaNya hendaklah pula beradab; yang indah, baik dan terpuji dibangsakan secara langsung kepadaNya, tetapi yang buruk, kotor dan hina tidak demikian halnya.
Contoh: Jika tuan berjalan seorang diri di tempat sunyi, tuan sakit perut lalu membuang najis di tepi jalan. Kemudian tuan berjalan lagi, lalu berehat. Setelah itu tuan balik ke rumah dan mendapati beg duit tuan yang mengandungi duit yang banyak dan surat-surat berharga telah hilang dan berkemungkinan tertinggal di tempat tuan berehat tadi. Tidak berapa lama kemudian pihak bandaran menemui najis yang tuan tinggalkan dan beg duit pada tempat yang berhampiran. Lalu pihak bandaran membuat pengumuman; sesiapa yang membuang najis di tempat ini dipersilakan datang melaporkan diri, dan sesiapa yang kehilangan beg duit dipersilakan datang mengambilnya.
Najis dan beg adalah tuan yang punya, tetapi mana yang tuan akui sebagai milik dan yang patut dikaitkan dengan tuan?
Sudah barang tentu hanya yang baik-baik saja yang sesuai dibangsakan dan dikaitkan dengan tuan, manakala yang buruk tidak sesuai.
Begitulah juga, lebih-lebih lagi kita wajib beradab mengaitkan sesuatu kepada Allah Ta‘ala.
Berikut dinukilkan pendapat Imam Syafi‘e Radhiallahu ‘anhu mengenai perkara ini dalam kitabnya al-Fiqh al-Akbar.
“Sekiranya ditanya: “Adakah tuan-tuan berkata bahawa Allah Ta‘ala menghendaki kufur, pembunuhan dan segala maksiat?”
Kita akan menjawab: “Kami tidak berkata begitu secara mutlaq, kerana ia boleh mengandungi kesalahan. Akan tetapi kami berkata: “Bahawa sekalian yang berlaku di dalam KerajaanNya adalah dengan kehendakNya, termasuklah perkara yang demikian di dalam sekalian yang baharu.”
Bandingannya sebagaimana kita katakan: “Wahai Tuhan yang menjadikan makhluk.” Kita tidak akan berkata: “Kita boleh berkata begini: “Wahai Tuhan yang menjadikan kera, khinzîr, kala dan ular”, walaupun jelas dan betul binatang-binatang tersebut makhlukNya.” (Al-Fiqh al-Akbar, terjemahan: 58-59)
Begitulah adab kita dalam mengaitkan sesuatu kepada Allah Ta‘ala. Walaupun khinzîr tergolong dalam ciptaanNya, tetapi sebagai adab kepadaNya, kita hanya layak berkata: “Segala sesuatu yang ada di alam ini terjadi dan dicipta atas kehendak Allah Ta‘ala.”
Rujukan
Banyak rujukan berkaitan dengan khinzîr. Rujukan yang paling shahîh dan betul ialah al- Qur’an dan hadits. Dari sudut saintifik dapat dirujuk dalam buku ensiklopedia, perubatan dan lain-lain. Antara rujukan penulisan ini ialah:
1. Al-Fiqh al-Akbar, terjemahan. 2. Hayâh al-Hayawân al-Kubrâ (حياةُاْليوانُالكَبى), Muhammad bin Musa ad-Dimyari. 3. ‘Arâ’is al-Majâlis, An-Nasaburi 4. Al-Mawsû‘ah al-‘Arabiyyah al-‘Âlamiyyahُُالعاملية) ُالعربيه (املوسوعة, Global Arabic Encyclopedia, Saudi Arabia. 5. Ensiklopedi Hukum Islam, PT. Ikhtiar Baru Van Hoeve, Jakarta.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10372
