Penggunaan Alkohol
Soalan: 1. Apakah hukum penggunaan alkohol? Adakah ia hanya haram diminum atau adakah ia sememangnya haram digunakan walau dalam apa bentuk penggunaan sekalipun? 2. Apakah hukum menggunakan barangan kosmetik yang mengandungi alkohol? 3. Adakah sah sembahyang jika memakai baju yang telah disembur minyak wangi yang mengandungi alkohol?
Jawapan: Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengwap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara: 1. Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates). 2. Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan mencecairkan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17). Cara yang pertama itu adalah merupakan cara bagaimana menghasilkan khamr (arak) atau minuman yang memabukkan.
Kenajisan Arak Menurut jumhûr (majoriti) ulama yang terdiri daripada imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘e, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama Rahimahumullah arak itu adalah najis berdalilkan firman Allah: (Al-Majmû‘: 2/581)
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)
Oleh kerana arak itu menurut jumhûr ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang sifatnya memabukkan adalah najis juga hukumnya.
Ini bermaksud bahawa kenajisan alkohol itu adalah bertolak dari sebab kenajisan arak yang sifatnya sebagai minuman yang memabukkan. Dengan itu dapat difahami bahawa semata-mata alkohol bukanlah najis selama mana ia tidak diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan, kerana kueh tapai yang biasa dimakan pun menurut pakar ada mengandungi alkohol, namun ia tidak diharamkan, kerana tidak memabukkan. Akan tetapi, jika tapai itu boleh memabukkan, maka memakan tapai itu adalah haram.
Alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia yang mana sifatnya sangat memudharatkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudharatkan di mana tidak ada seorang ulama pun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah. (Ahsan al-Kalâm fi al-Fatâwâ wa al-Ahkâm: 1/220).
Imam an-Nawawi Rahimahullah mengatakan bahawa salah satu najis itu ialah setiap yang memabukkan dalam bentuk cecair:
Ertinya: Setiap yang memabukkan lagi cair. (Mughni al-Muhtâj: 1/77)
Imam Ibnu Hajar Rahimahullah dalam menghuraikan kata-kata Imam an-Nawawi Rahimahullah di atas berkata:
Ertinya: (Tiap-tiap yang memabukkan) ialah tiap-tiap yang boleh memabukkan. Maka termasuk dalam pengertian itu setitik yang memabukkan; dan yang dikehendaki dengan yang memabukkan itu ialah apa jua yang boleh menutup atau menghilangkan upaya akal. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/288)
Ibnu Hajar Rahimahullah menghuraikan lagi:
Ertinya: (Cecair) ialah seperti arak dengan segala jenisnya iaitu yang dibuat daripada anggur; dan nira (tuak) iaitu yang dibuat selain daripada anggur. (Tuhfah al-Muhtâj: 1/288)
Dengan itu dapat disimpulkan bahawa setiap arak atau minuman yang memabukkan itu mengandungi alkohol, akan tetapi bukan setiap alkohol itu dihasilkan daripada arak atau minuman yang memabukkan.
Hukum Alkohol Daripada Arak Atau Minuman Yang Memabukkan
Alkohol yang dihasilkan atau diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan, meminumnya adalah haram sebagaimana keterangannya di atas. Maka menggunakan barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan adalah juga haram kerana ia najis sebagaimana kataُ Ibnu Hajar Rahimahullah:
Ertinya: Haram berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada sesuatu hajat. (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270)
Dengan itu juga adalah tidak sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembur dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan.
Hukum Alkohol Sintetik Atau Tiruan Daripada Campuran Bahan Kimia
Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun.
Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan itu juga, adalah sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembur dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.
Perkara Yang Meragukan Hendaklah Ditinggalkan
Tetapi yang menjadi persoalan, kita tidak dapat mempastikan bahawa alkohol yang terkandung di dalam barangan kosmetik dan minyak wangi itu, adakah ia diambil daripada sumber yang suci atau najis?
Apabila timbul keraguan, menurut ajaran Islam, perkara yang meragukan itu hendaklah ditinggalkan. Hasan bin ‘Ali Radhiallahu ‘anhuma meriwayatkan bahawa dia telah menghafal daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Ahmad dan ad-Darimi)
Dalam hadits yang lain dijelaskan bahawa meninggalkan perkara yang diragukan (hukum) halal atau haramnya sesuatu itu adalah menandakan kesungguhan seseorang dalam memelihara agama dan kehormatannya. Manakala membuat perkara yang masih di dalam kesamaran akan membawa kepada melakukan perkara yang haram sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada an-Nu‘man bin Basyir Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: Maka barang siapa yang menjauhi perkara-perkara yang syubhah, (maka) dia telah melepaskan bagi agamanya dan kehormatannya daripada kecaman; dan barang siapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang syubhah (maka) jatuhlah dia ke dalam perkara haram. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, apabila timbul keraguan sama ada alkohol yang terdapat di dalam barangan kosmetik atau minyak wangi itu diambil daripada sumber yang najis atau suci, menurut ajaran Islam, perkara tersebut hendaklah ditinggalkan daripada menggunakannya. Lagipun di pasaran banyak terdapat barangan kosmetik dan minyak wangi yang sama sekali tidak mengandungi alkohol yang boleh menjadi alternatif kepada kita.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10390
