Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Penggunaan Nama “Jesus” Kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam Dan Nama Nabi-Nabi Lain Yang Diinggeriskan

Soalan: Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti tentang penggunaan nama “Jesus” bagi Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan nama nabi-nabi lain yang disebut mengikut sebutan Inggeris. Apakah i‘tiqâd kita boleh terjejas sekiranya kita menyamakan Jesus dengan Nabi ‘Isa, David dengan Nabi Daud, Moses dengan Nabi Musa atau sebagainya?

Jawapan: Setakat yang difahami perkataan seperti Jesus yang biasanya digunakan dalam tulisan-tulisan yang berbahasa Inggeris itu adalah ditujukan kepada seseorang yang tertentu. Orang Inggeris menyebutnya Jesus, manakala orang Islam menyebutnya sebagai Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam. Kedua-dua sebutan ini adalah merujuk kepada orang yang sama iaitu anak kepada Maryam. Hanya yang berbeza itu ialah dari sudut aqidah iaitu cara menyifatkan dan mempercayai dirinya. Orang Kristian percaya Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam yang dilahirkan oleh Maryam ‘Alaihassalam itu adalah anak Tuhan, sebagaimana yang dijelaskan oleh firman Allah:

Tafsirnya: Dan orang-orang Nashrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah.” (Surah at-Taubah: 30)

Mereka juga mempercayai bahawa Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam itu mati dibunuh dengan disalib sebagaimana yang diceritakan oleh al-Qur’an, firman Allah:

Tafsirnya: Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih ‘Isa Ibni Maryam, Rasul Allah.” (Surah an-Nisâ’: 157)

Sedangkan orang Islam meyakini bahawa Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam itu adalah anak Maryam dan bukan anak Tuhan sekalipun Maryam tidak bersuami. Namun Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam kejadiannya adalah atas kehendak dan kuasa Allah sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi ‘Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam daripada tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!”, maka jadilah dia. Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi daripada orang-orang yang ragu-ragu.” (Surah Âli ‘Imran: 59-60)

Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam juga tidak mati disalib. Adapun yang mati disalib itu adalah orang lain yang diserupakan dengannya oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sedangkan diri Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam itu yang sebenarnya adalah diangkat ke langit seperti mana yang difirmankan Allah di dalam surah an-Nisâ’ ayat 157-158:

Tafsirnya: …Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi ‘Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham mengenai Nabi ‘Isa sebenarnya mereka berada dalam syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkat Nabi ‘Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah an-Nisâ’: 157-158)

Sebagai perbandingan untuk mendekatkan lagi fahaman kita terhadap permasalahan ini ialah sebutan pada nama negara. Germany adalah sebutan dalam bahasa Inggeris. Jerman adalah sebutan dalam bahasa Melayu, manakala Almania (املانيا) adalah sebutan dalam bahasa Arab.

Ketiga-tiga nama di atas adalah merujuk kepada negara yang satu tetapi disebut dalam loghat atau dialek yang berlainan. Contoh yang lain lagi seperti negara Jepun. Ia adalah sebutan di dalam bahasa Melayu. Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai Japan, dalam bahasa Arab ia disebut sebagai Yaban (َيِبن), manakala ‘Jepun’ di dalam bahasa Jepun sendiri disebut

sebagai Nippon. Ini menunjukkan bahawa perbezaan sebutan atau dialek terhadap sesuatu nama tidak akan menukar fahaman terhadap yang kita katakan itu atau benda yang dimaksudkan, melainkan kita mengubah diskripsinya yang sebenar.

Dari itu, adalah perkara biasa sebutan nama-nama di dalam bahasa-bahasa, khasnya bahasa Inggeris terhadap nama-nama para nabi itu berbeza dengan sebutan di dalam al-Qur’an, tetapi maksudnya tetap merujuk kepada seseorang yang tertentu, seperti Jesus yang dimaksudkan kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam, Mary yang dimaksudkan kepada Maryam ‘Alaihassalam, Abraham yang dimaksudkan kepada Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, Joseph yang dimaksudkan kepada Nabi Yusuf ‘Alaihissalam, David yang dimaksudkan kepada Nabi Daud ‘Alaihissalam, John yang dimaksudkan kepada Nabi Yahya ‘Alaihissalam, Eve yang dimaksudkan kepada Hawwa’ ‘Alaihassalam dan seumpamanya. Bahkan penggunaan perkataan-perkataan sedemikian adalah diperlukan bagi memahamkan orang-orang sebelah Eropah kerana itulah sebutan dan gelaran yang mereka fahami maksudnya. Itu cumalah sebutan untuk nama dalam bahasa yang lain daripada bahasa al-Qur’an (Arab). Ia tidak akan mengubah kepercayaan atau fahaman sebab jika kita perhatikan, orang Kristian yang berbangsa Arab akan menyebut Jesus itu dengan nama al-Masih, sama seperti sebutan al- Qur’an. Sekalipun mereka menyebutnya dengan nama al-Masih sebagaimana al-Qur’an menyebutnya, namun i‘tiqâd mereka tetap bercanggah dengan apa yang disifatkan oleh al- Qur’an mengenainya. Ini menunjukkan apabila perkataan Jesus itu disebut, tidaklah semestinya memberi makna atau gambaran bahawa kita percaya dia itu anak Tuhan sebagaimana kepercayaan orang Kristian.

Walau bagaimanapun bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai khususnya kepada orang-orang Islam sendiri tentang penggunaan nama Jesus kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam, maka penulis-penulis dan penterjemah-penterjemah yang beragama Islam, lebih awlâ bagi mereka menyebut nama-nama para nabi itu dengan sebutan bahasa al-Qur’an.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10406