Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Permohonan Untuk Mengadakan Tarian Singa Ke Rumah Ahli-Ahli Persatuan Foochow

Soalan: Pasukan Polis Diraja Brunei telah menerima satu permohonan daripada Foochow Association Youth Sporting Section untuk mengadakan tarian singa ke rumah ahli-ahli persatuan tersebut di Kuala Belait dan Bandar Seri Begawan. Sehubungan dengan itu, dipohonkan penjelasan dan pandangan Pehin Mufti mengenainya?

Jawapan: Alhamdulillah, lebih dahulu kita mengucapkan puji-pujian dan syukur kehadhrat Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang telah mengurniakan cahaya hidayatNya kepada pihak Polis Diraja Brunei yang bertanyakan perkara ini menurut pandangan Islam. Semoga Polis Diraja Brunei sentiasa diberkati serta beroleh perlindungan daripada Allah.

Adapun, penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan negara Islam – menurut pandangan Islam – mereka itu dibolehkan mengamalkan agama atau merayakan perayaan agamanya sesama mereka dengan syarat upacara keagamaannya itu tidak dizahirkan kepada orang Islam terutama perkara-perkara yang berupa cogan-cogan kekufuran. Mereka juga dilarang daripada memperdengarkan kepada orang Islam perkataan-perkataan syirik yang menyekutukan Allah, bunyi-bunyi lonceng (gereja) dan perayaan agama.

Imam ar-Ramli Rahimahullah di dalam kitabnya Nihâyah al-Muhtâj menjelaskan:

Ertinya: Dan wajib ditegah (ke atas orang-orang kafir yang tinggal di dalam negara Islam) sekalipun tidak ada dipersyaratkan (dalam perjanjian) daripada memperdengarkan kepada orang-orang Islam perkataan syirik seperti (kata mereka) Allah salah satu daripada tiga dan perkataan mereka yang buruk terhadap Nabi ‘Uzair dan al-Masih (Isa) ‘Alaihimassalam iaitu mereka berdua adalah anak Allah dan al-Qur’an itu bukannya datang daripada Allah; (dan ditegah juga mereka) daripada menzahirkan perkara mungkar di antara kita (orang Islam) seumpama arak, babi dan lonceng iaitu lonceng yang dipukul oleh orang-orang Nashrani bagi menandakan waktu sembahyang dan (menzahirkan) perayaan seumpama menepuk pipi, meraung waktu kematian dan menzahirkan bacaan seumpama Taurat dan Injil sekalipun dari dalam gereja mereka, kerana perkara-perkara sedemikian itu adalah kebâthilan dan menzahirkan cogan-cogan kekufuran. Jika tidak berlaku penzahiran, maka tidaklah ada tegahan. (Nihâyah al-Muhtâj: 8/103-104)

Ukuran menzahirkan itu pula menurut asy-Syirwani Rahimahullah:

Ertinya: (Ukuran menzahirkan itu) ialah perkara itu boleh dilihat tanpa perlu diintai-intai. (Hâsyiyah asy-Syirwani ‘alâ Tuhfah al-Muhtâj: 9/301)

Ini bermakna mereka hanya dibolehkan mengamalkan agama dan merayakan perayaan agama mereka di dalam rumah dan kawasan mereka sendiri yang tertutup daripada pandangan orang Islam dan terhindar daripada pendengaran orang Islam.

Perkara ini juga sudah lama dijelaskan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz dalam beberapa fatwanya. Antaranya ialah fatwa bilangan 2/64 Tahun 1964, berbunyi:

“Menurut hukum Islam adalah orang-orang yang bukan Islam yang dibenarkan tinggal dalam negeri Islam ditegah mereka dari menzahirkan perkara-perkara yang mungkar kepada orang-orang Islam seperti babi dan arak dan erti menzahirkan iaitu perkara itu boleh dilihat dengan tiada payah diintai-intai dan diperhati-hatikan.”

Dalam fatwa bilangan 42/73 (Tahun 1973) pula, beliau menjelaskan:

“ - Mereka boleh mengerjakan perkara-perkara agama mereka dalam rumah dan kawasan mereka sendiri.

- Adapun berarak bercorak agama mereka dengan menzahirkan kepada ramai, maka tiadalah dibenarkan oleh Islam.”

Manakala dalam fatwa bilangan 25/77 (Tahun 1977), beliau menjelaskan:

“Apa yang mustahak dan penting dalam perkara yang di atas ini ialah orang-orang yang bukan Islam yang dibenarkan diam dalam negeri Islam mestilah mereka jangan menzahir dan menampakkan perkara-perkara kufur atau cogan-cogan kufur atau upacara kufur di hadapan orang ramai, kerana pada menampakkan perkara-perkara kufur dan cogan-cogan dan upacara kufur itu adalah salah dan bâthil dan maksiat dan dosa besar. Tiadalah boleh seorang Islam bersetuju dan reda di atas perkara maksiat dan bâthil itu, kerana reda pada maksiat adalah suatu maksiat dan redakan apa-apa jua rupa kufur adalah kufur kepada orang yang reda dan setujukan itu.

Mereka boleh berbuat kufur itu sesama sendiri di rumah tempat mereka sendiri tiada terdedah kepada orang ramai Islam atau bukan Islam. Itulah yang boleh dibenarkan atau dibiarkan mereka jika mereka mahu diam dalam negeri Islam.”

Tarian Singa

Berdasarkan maklumat yang kita perolehi, tarian singa itu mempunyai pertalian dengan perayaan keagamaan bagi penganut-penganut agama Buddha. Mengadakan tarian singa dipercayai boleh membawa tuah (luck) dan kebahagiaan di samping ia dipercayai juga boleh menghalau syaitan. Semua ini adalah perkara aqidah bagi penganut Buddha, dan ia tidak syak lagi satu perkara kufur dan mungkar yang jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

Oleh itu, berdasarkan ketetapan syara‘ yang disebutkan di atas, maka adalah tidak wajar tarian singa tersebut diadakan secara terbuka di rumah-rumah ahli-ahli persatuan Foochow, kerana perjalanan kumpulan tarian singa itu dari satu rumah ke satu rumah ahli-ahli persatuan Foochow di Kuala Belait dan di Bandar Seri Begawan akan dilihat oleh orang ramai dan orang-orang Islam. Lebih-lebih lagi tarian singa itu sebagaimana yang dimaklumi disertakan dengan bunyi-bunyian yang kuat yang sudah setentunya boleh didengar oleh jiran-jiran dan orang-orang Islam yang tinggal bersebelahan dengan ahli-ahli persatuan Foochow.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10423