Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Sunat ‘Isya’

Soalan: Adakah dimestikan (difardhukan) untuk sembahyang sunat ‘Isya’ selepas azan sebelum menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’? Ini kerana pernah terjadi sedikit perselisihan dan kekeliruan dalam satu majlis doa selamat yang saya hadiri di mana apabila selesai sahaja azan dilaungkan terus diikuti dengan iqâmah bagi menunaikan sembahyang fardhu ‘Isya’. Dipohonkan penjelasan Pehin Mufti.

Jawapan: Sembahyang sunat ‘Isya’ terbahagi kepada dua:

1. Sembahyang sunat ‘Isya’ sebelum sembahyang fardhu ‘Isya’ (sunat qabliyyah).

2. Sembahyang sunat ‘Isya’ selepas sembahyang fardhu ‘Isya’ (sunat ba‘diyyah)

Sembahyang sunat ‘Isya’ ba‘diyyah merupakan sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Manakala sembahyang sunat qabliyyah pula adalah sunat ghair mu‘akkadah (sunat yang kurang dituntut).

Kedua-dua sembahyang tersebut (qabliyyah dan ba‘diyyah) tidak wajib dikerjakan atau dengan kata lain, tidak berdosa meninggalkannya.

Walau bagaimanapun, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat adalah digalakkan, lebih-lebih lagi sembahyang-sembahyang sunat yang mu’akkadah kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sentiasa melakukannya dan tidak pernah meninggalkannya. Di samping itu juga hikmah sembahyang sunat itu adalah sebagai pelengkap, penyempurna atau penampal kepada kecacatan atau kekurangan yang terdapat di dalam sembahyang fardhu seperti ketiadaan khusyû‘ di dalam sembahyang, tidak memberi penumpuan terhadap bacaan-bacaan di dalam sembahyang atau sebagainya.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang pertama sekali dihisab pada Hari Kiamat (ke atas) seorang hamba daripada amal perbuatannya ialah sembahyangnya. Jika baik (sembahyangnya), maka dia telah menang dan berjaya. Jika rosak (sembahyangnya), maka dia telah kalah dan rugi. Jika ada sesuatu kekurangan daripada (sembahyang) fardhunya, (maka) Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Kamu lihatlah, jika ada bagi hambaKu ini daripada (sembahyang-sembahyang) sunat. (Jika dia mempunyai sembahyang-sembahyang sunat), maka dilengkapkan dengan sembahyang-sembahyang sunat itu apa yang berkurangan daripada (sembahyang-sembahyang) fardhu. Kemudian begitulah juga halnya bagi segala amal ibadatnya (yang lain).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Menta’khîrkan Rawâtib Qabliyyah

Jika berlaku di mana sembahyang sunat qabliyyah tidak dapat dikerjakan sebelum sembahyang fardhu, maka seseorang itu boleh mengerjakannya selepas sembahyang fardhu.

Pengarang kitab Fath al-Mu‘în mengatakan bahawa:

Maksudnya: Harus mengakhirkan rawâtib qabliyyah daripada sembahyang fardhu dan ia adalah dikira tunai, dan adakalanya mengakhirkan rawâtib qabliyyah itu disunatkan seperti orang yang hadir (untuk bersembahyang berjemaah) sedang sembahyang tengah didirikan atau sudah hampir untuk didirikan sekira-kira jika dia mengerjakan sembahyang sunat nescaya dia akan terluput takbîratul ihrâm imam, maka dimakruhkan dia melakukan pada waktu itu. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/397).

Cara Mengerjakan Rawâtib Qabliyyah Yang Dita’khîrkan

Adapun caranya ialah dilakukan sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah itu selepas sembahyang fardhunya, sama ada dengan dua salam iaitu sunat qabliyyah satu salam dan sunat ba‘diyyah satu salam, atau dikerjakan sembahyang sunat qabliyyah dan ba‘diyyah itu selepas sembahyang fardhunya dengan satu salam sama ada bertasyahhud di setiap dua rakaat atau di setiap empat rakaat sebagaimana di dalam sembahyang sunat Zuhur qabliyyah dan ba‘diyyah dengan niat (I‘ânah ath-Thâlibîn: 1/397, Kitâb ad-Dirâsât al-Fiqhiyyah ‘alâ Madzhab al-Imam asy-Syafi‘e: 222 dan Fath al-‘Allâm bi Syarh Mursyid al-Anâm: 2/38-39):

Ertinya: Sahaja aku bersembahyang sunat rawâtib Zuhur qabliyyah dan ba‘diyyah empat (Niat ini bagi yang mengerjakan dua rakaat bagi sunat qabliyyah dan dua rakaat bagi sunat ba‘diyyah).

Ertinya: Sahaja aku bersembahyang sunat rawâtib Zuhur qabliyyah dan ba‘diyyah lapan

(Niat ini bagi yang mengerjakan empat rakaat bagi sunat qabliyyah dan empat rakaat bagi sunat ba‘diyyah).

Mengqadha Sembahyang Sunat Muwaqqatah

Bahkan jika seseorang terluput mengerjakan sembahyang sunat muwaqqatah seperti sembahyang sunat rawâtib (bukan sembahyang sunat yang mempunyai sebab seperti sembahyang sunat Tahiyyat Masjid, sembahyang sunat gerhana dan sembahyang sunat minta hujan), maka disunatkan baginya untuk mengqadhanya menurut pendapat al-azhhar. (Mughni al-Muhtâj: 1/224-225).

Ini berdasarkan hadis riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam jika Baginda tidak bersembahyang sunat rawâtib empat rakaat sebelum Zuhur, Baginda akan mengerjakannya selepasnya (sembahyang Zuhur). (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Diharap penanya telah mendapat gambaran mengenai kedudukan sembahyang-sembahyang sunat rawâtib khasnya yang dimusykilkan.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10431