Taat Dan Berdoa Untuk Kedua Ibu Bapa
Soalan: Rakan sepejabat saya telah memeluk agama Islam pada tahun 1987, tetapi kedua orang tuanya masih dengan agama yang mereka anuti turun-temurun.
Dalam agama Islam kita dituntut untuk mentaati kedua orang tua dan mendoakan mereka setiap hari terutamanya selepas sembahyang lima waktu.
Soalnya sekarang bapanya telah meninggal dunia dan ibunya yang masih hidup dan sudah tua berada di dalam tanggungannya sekeluarga. Apakah doa rakan saya untuk kedua ibu bapanya itu diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan bagaimanakah dengan kedudukan mereka mentaati ibunya yang belum beragama Islam itu?
Jawapan: Tuntutan berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah setakat berdasarkan adat atau kebiasaan yang diwarisi turun-temurun, tetapi juga merupakan tuntutan syara‘. Islam menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa, dan hukumnya ialah fardhu ‘ain. Maknanya, apabila dihukumkan fardhu ‘ain maka setiap orang itu wajiblah dia berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik ini bukanlah sesuatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk melakukannya melainkan dalam keadaan tertentu sahaja. Umpamanya ibu bapa itu tidak mahu menyertai anaknya diam atau tinggal serumah bersama-samanya, lalu si anak mengadakan pembantu rumah untuk menjaga ibu atau bapanya. Jadi dalam keadaan ini, si anak dikira telah membuat kebaikan terhadap kedua ibu bapanya itu.
Tuntutan berbuat baik kepada kedua ibu bapa ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara‘, di antaranya sebagaimana terkandung dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isrâ’: 23-24)
Dalam ayat ini Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan kita agar tidak menyembah selain Allah dan seiring itu menyuruh pula berbuat baik dan melakukan kebajikan kepada kedua ibu bapa kita.
Seterusnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan tentang cara bagaimana kita melayani kedua ibu bapa apabila mereka atau salah seorang daripada mereka sudah tua, iaitu jangan sekali-kali meluahkan perkataan ‘cis!’ atau ‘ah!’ atau yang seumpamanya kepada mereka sekalipun kita melihat perbuatan mereka itu boleh menyakiti orang lain. Akan tetapi hendaklah kita bersabar sebagaimana kedua ibu bapa sanggup bersabar menjaga dan mengasuh kita ketika kecil.
Namun begitu ayat ini tidaklah pula bermaksud membolehkan kita melayani kedua ibu bapa yang masih muda dengan meluahkan perkataan “cis!” Adapun ayat ini menyentuh perkara yang lumrah berlaku sahaja iaitu ibu bapa yang sudah tua itu biasanya mempunyai karenah membosankan yang boleh membuat anak mereka marah.
Ta’wîlan lain mengatakan bahawa maksud daripada “janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun sekadar perkataan ‘ah!’” adalah jika kedua mereka itu sudah tua dan tinggal bersama engkau, lalu mereka membuang air kencing dan najis merata-rata. Sungguhpun begitu, engkau masih tetap dilarang daripada meluahkan perkataan yang kasar itu.
Ada juga yang menta’wîlkan bahawa maksud ayat ini melarang kita daripada mengatakan ‘ah!’ ialah bilamana kita melihat sesuatu yang menjijikkan datang daripada mereka. Malah jika ini berlaku, kita dituntut supaya menghilangkan (umpama) najis tahi dan kencing daripada mereka sebagaimana mereka membersihkan kita ketika kecil dahulu.
Sebahagian ahli bahasa mengatakan ucapan ‘ah!’ di sini bererti setiap perkataan kasar dan buruk yang tidak sedap didengar.
Kemudian Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang kita daripada menyampaikan tangan kepada mereka seperti menolak atau memukul dan lain-lain seumpamanya, kerana sedang mengucapkan perkataan kasar lagi dihukumkan haram, betapa pula memukul sehingga menyakiti tubuh badan mereka, lebih-lebih lagi haramnya.
Setelah melarang berbuat kasar dalam perkataan dan perbuatan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyuruh pula kita supaya berkata-kata atau bercakap dengan baik kepada kedua ibu bapa. Berkata dengan sebaik-baik bahasa, lemah lembut, sopan serta hormat, di samping memenuhi segala kemahuan atau keinginan mereka.
Ibnu al-Musayyab mengumpamakan percakapan kepada kedua ibu bapa itu adalah seperti percakapan seorang hamba yang bersalah terhadap tuannya yang bengis dan kasar. Sudah tentu hamba akan memilih kata-kata yang paling baik dan paling sopan untuk menghindari kebengisan tuannya itu.
Dalam ayat seterusnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyuruh pula kita supaya merendahkan diri sebagai tanda kasih sayang dan hormat kepada mereka. Merendah diri itu termasuklah bersedia membuat apa sahaja yang disuruh oleh mereka, selama mana suruhan itu tidak bertentangan dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Setelah itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala menyempurnakan perintahNya supaya kita mendoakan mereka dengan rahmat Allah, yakni agar Allah menyayangi mereka, sebagaimana mereka mengasihi dan menyayangi kita di masa kecil.
Dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. (Surah al-Ahqâf: 15)
Sementara dalil-dalil yang terdiri daripada hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menegaskan tentang perkara ini, antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash, beliau berkata:
Maksudnya: Seorang lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, beliau meminta izin untuk berjihâd, lalu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Adakah kedua ibu bapamu masih hidup?” Beliau menjawab: “Ya”, Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Maka kepada keduanyalah engkau berjihâd (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta).” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadits ini memberi petunjuk hukum bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu adalah lebih utama daripada yang lain-lain, walaupun jihâd di jalan Allah, kerana jihâd hanyalah fardhu kifâyah (jika sebahagian orang melakukannya gugurlah tuntutan kepada yang lain), sedangkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu pula merupakan tuntutan fardhu ‘ain. Fardhu ‘ain adalah lebih kuat dan lebih tegas tuntutannya berbanding fardhu kifâyah. Oleh itu adalah wajib bagi setiap orang berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa itu.
Sementara itu Allah sendiri merakamkan doa untuk ibu bapa seperti:
Maksudnya: Tuhanku! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku.... (Surah Nuh: 28)
Ini adalah kerana mendoakan ibu bapa itu merupakan satu di antara ciri-ciri anak salih yang kesannya sampai menembusi alam Barzakh. Sabda Baginda Shallallahu’'alaihi wasallam:
Maksudnya: Apabila meninggal dunia seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga: Sedekah jâriah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakan untuknya. (Hadits riwayat Muslim)
Darjat ibu bapa pada Hari Kiamat akan terangkat dan meningkat di sisi Allah Ta‘ala disebabkan doa seorang anak yang memintakan ampun atas dosa-dosa mereka. Hal ini telah diterangkan melalui riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: “Dari manakah semua ini?” Maka dikatakan kepadanya: “Dari anakmu yang memintakan ampun untukmu.” (Hadits riwayat Ibnu Majah)
Berdoa Untuk Ibu Bapa Yang Bukan Islam
Namun perlu diingat, jika sekiranya ibu bapa yang meninggal itu bukan Islam, maka dilarang mendoakan keampunan bagi mereka. Ini adalah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, memintakan ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka. (Surah at-Taubah: 113)
Begitu juga tidak harus mendoakan mereka dengan masuk syurga atau dengan mendapat keredhaan Allah.
Manakala bagi ibu bapa kafir yang masih hidup, hanya harus bagi anak yang sudah beriman mendoakan mereka itu agar diberi hidayat atau petunjuk supaya beriman kepada Allah yakni menerima Islam, sepertimana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendoakan kaum Daus dan Tsaqif dengan sabda Baginda:
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah petunjuk kepada kaum Daus. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maksudnya: Wahai Tuhan kami berilah petunjuk kepada kaum Tsaqif. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Dengan berkat doa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, maka Allah Ta‘ala telah memberi petunjuk kepada kaum Daus dan Tsaqif dengan Islam.
Al-‘Allâmah ibnu ‘Allan berkata: “Hidayat yang dipohonkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu ialah hidayat yang menyampaikan mereka kepada menerima Islam. Sebenarnya petunjuk dan hidayat pada jalan Islam itu telahpun dicapai dan diterima, kerana setiap dzarrah dalam alam ini menunjukkan kepada adanya Tuhan Rabb al-‘Âlamîn. Akan tetapi kesan petunjuk dan beramal dengannya itu sahaja tidak dapat tidak berkehendak kepada belas kasihan serta limpah rahmat Allah Ta‘ala jua. Inilah yang dipohonkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Selain itu harus juga mendoakan orang-orang kafir bagi urusan dunia. Al-Imam as-Sunni telah meriwayatkan daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meminta air. Lalu seorang Yahudi telah memberikan air kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
Maksudnya: Allah cantikkan kamu.
Dengan berkat doa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu, tiada uban dilihat di kepalanya sewaktu dia hidup sehinggalah dia mati.
Menziarahi Kubur Ibu Bapa Yang Bukan Islam
Dalam Islam, menziarahi kubur dihukumkan sunat, sekalipun kubur kedua orang tua yang tidak sempat beriman. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pergi menziarahi pusara bonda Baginda, sebagaimana hadits riwayat Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menziarahi kubur bonda Baginda, lalu Baginda menangis dan membuat orang-orang di sekitar Baginda juga menangis. Kemudian Baginda bersabda: “Aku minta izin kepada Tuhanku (Yang Maha Mulia dan Maha Agung) untuk memintakan ampun baginya, akan tetapi tidak diizinkanNya, aku minta izin kepadaNya untuk menziarahi kuburnya (bonda Baginda), lalu Allah mengizinkanku. Oleh itu, ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kepada mati.” (Hadits riwayat Muslim)
Berdasarkan hadits di atas, al-Imam an-Nawawi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan bahawa adalah harus menziarahi orang-orang bukan Islam semasa hidup mereka dan juga kubur-kubur mereka setelah mereka mati.
Hukum Taat Kepada Ibu Bapa Yang Bukan Islam
Sebagaimana telah dijelaskan bahawa hukum berbuat baik kepada ibu bapa itu ialah fardhu ‘ain. Yakni wajib bagi setiap orang berlaku ihsan terhadap ibu bapa, sama ada mereka beragama Islam ataupun bukan beragama Islam. Kita diwajibkan taat dan berbuat baik kepada mereka, selama mana mereka tidak menyuruh kita melakukan syirik (menyekutukan Allah) atau lain-lain perkara yang bertentangan dengan hukum Allah Ta‘ala.
Perkara ini dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)
Selain itu hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menjelaskan perkara ini sebagaimana riwayat Asma’ binti Abu Bakar Radhiallahu ‘anhuma, beliau menceritakan:
Maksudnya: Pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ibuku yang masih musyrik pada suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, aku berkata: “Ibuku datang dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?” Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ya, tetaplah meneruskan hubungan dengan ibumu.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka berdasarkan dalil-dalil ini, para anak perlulah meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa mereka, walaupun si anak dan ibu bapa itu berlainan agama.
Derhaka Kepada Kedua Ibu Bapa
Kewajipan berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu telah ditekankan sungguh-sungguh oleh Islam, dan ianya menduduki urutan kedua sesudah kewajipan mentaati Allah dan RasulNya.
Oleh kerana itu, meninggalkan kewajipan ini amatlah berat padahnya. Dengan kata lain, balasan kerana derhaka kepada ibu bapa adalah mengundang azab di akhirat di samping balasan ketika di dunia.
Balasan-balasan tersebut antara lain:
1. Mendapat seksaan di neraka kerana ia adalah dosa besar. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sebesar-besar dosa besar itu ialah menyekutukan Allah, membunuh orang, derhaka kepada kedua ibu bapa dan berkata dusta. (Hadits riwayat al-Bukhari)
2. Semua amal kebajikan menjadi sia-sia atau tidak bermanfaat. Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Tiga perkara yang menyebabkan segala amal tidak bermanfaat iaitu: Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua ibu bapa dan lari dari medan perang”. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
3. Pembalasan akibat derhaka kepada kedua ibu bapa akan disegerakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala semasa di dunia ini lagi, sebelum pembalasan di akhirat. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Dua kejahatan akan disegerakan (pembalasannya oleh Tuhan) di dunia ini juga: Zina dan derhaka kepada ibu bapa. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Daripada penjelasan di atas, dapatlah kita fahami bahawa bagi orang yang mempunyai ibu bapa sama ada keduanya Islam atau salah seorang sahaja Islam ataupun kedua-duanya belum Islam, maka tetaplah dia dituntut untuk menghormati dan berbuat baik kepada mereka.
Jadi kepada yang bertanya, disarankan supaya teruslah berdoa agar ibu yang masih hidup itu mendapat hidayat dan petunjuk daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, iaitu hidayat yang menyampaikannya kepada Islam.
Sekiranya ibu bapa bukan Islam itu telahpun meninggal dunia maka tidak ada tegahan ke atas anak-anak menziarahi kubur mereka, kiranya perbuatan menziarahi itu tidak menimbulkan fitnah seperti dia dituduh berpura-pura dalam memeluk agama Islam dan seumpamanya. Tujuan ziarah pula adalah ziarah semata-mata, bukannya bertujuan mendoakan mereka untuk keampunan, kerana Allah telahpun melarang orang Islam mendoakan orang bukan Islam dengan keampunan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10438
