Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Tawaran Hadiah Melalui Kuiz Dan Jualan

Soalan: Saya pernah terdengar dari salah satu siaran radio bahawa Mufti Malaysia mengharamkan Kuiz SMS (short messaging service), kerana ia termasuk dalam perjudian. Setelah mendengar keterangan tersebut, saya tidaklah terkejut, kerana fikiran saya dapat memikirkan kebenaran fatwa tersebut.

Namun yang menjadi persoalan saya, bagaimanakah halnya dengan kuiz yang diadakan di tv negara kita, misalnya Kuiz Perayaan dan bermacam-macam lagi jenis kuiz? Apa yang saya maklum, dalam kuiz seperti ini, kita hanya boleh menghantar jawapan dengan menggunakan poskad khusus yang dibeli. Dalam hal ini, tidakkah ia dikira judi, kerana kita mengeluarkan wang untuk membeli poskad tersebut, menjawab soalan dan mengadu nasib untuk memenangi hadiah yang lumayan?

Bagaimanakah pula dengan promosi ‘Buy n Win’ di kebanyakan kedai yang menawarkan hadiah?

Jawapan: 1) Kuiz SMS

Unsur utama yang menyebabkan suatu permainan itu menjadi judi ialah ada pertaruhan harta sama ada dalam bentuk wang ringgit atau selainnya. Pihak yang menang akan mendapat taruhan tersebut. Al-Mahalli Rahimahullah menyebutkan:

Ertinya: Maka jika disyaratkan di dalamnya (suatu permainan) ada harta (untuk dipertaruhkan) daripada kedua belah pihak iaitu bahawa barangsiapa yang menang daripada kedua belah pihak, (harta pihak lain yang dipertaruhkan) menjadi miliknya (orang yang menang), maka itulah judi yang diharamkan. (Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 4/320.

Perbezaan antara wang pertaruhan kerana judi dan jual beli ialah, pertaruhan judi tidak ada tukar gantinya yang hakiki sama ada benda ataupun manfaat. Jika ada tukar gantinya sekalipun adalah kerana nasib atau kebetulan sahaja yang membawa dia menang. Namun tukar ganti tersebut menurut hukum syara‘ adalah daripada jalan yang bâthil kerana hasil daripada taruhan (judi). Adapun dalam jual beli, penjual menjual barang kepada pembeli dengan mendapat imbalan sebagai tukar ganti.

Umpamanya dalam perlumbaan kuda, para penonton akan diberi peluang untuk mendapatkan hadiah yang lumayan hasil daripada tekaan mereka terhadap pelumba mana yang akan berjaya dengan mempertaruhkan duit mereka. Contoh yang lain lagi, seperti bermain daun terup dengan mempertaruhkan duit atau sebagainya.

Contoh-contoh di atas memang jelas adalah judi. Bagaimana pula permainan yang mungkin tidak nampak atau samar-samar sama ada ia judi ataupun tidak? Kadang-kadang bentuk permainan itu ditutupi dengan slogan-slogan ‘amal’ untuk kebajikan agar ia tidak nampak berunsur perjudian.

Judi Dalam Bentuk Terkini

Dalam kitab Tafsîr al-Manâr ada menyebutkan, bahawa terdapat di zaman sekarang jenis-jenis pertaruhan yang dipanggil sebagai al-yânashîb.

Al-yânashîb ialah loteri. Penganjur akan menyediakan kupon yang mengandungi nombor dengan meletakkan harga tertentu pada kupon tersebut. Setelah cabutan nombor dilakukan, pelanggan yang memiliki nombor tertentu (bertuah) sahaja yang akan memperolehi hadiah-hadiah yang disediakan. Ini menunjukkan ada unsur mengambil harta orang dengan cara yang bâthil sehingga menyebabkan sebahagian pihak lain mendapat kerugian.

Memakan harta orang lain dengan cara yang salah adalah haram, sebagaimana dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah: 188)

Apa yang popular dan laris masa kini, sebagaimana yang terpapar di akhbar-akhbar, iklan-iklan, kaca televisyen, radio dan sebagainya ialah peraduan atau teka-teki dengan menggunakan perkhidmatan pesanan ringkas atau short messaging service (SMS). Persoalannya, adakah peraduan-peraduan seperti ini mengandungi unsur judi? Contohnya:

▪ 3G Quizzes:

Pelanggan diminta menjawab soalan kuiz yang disediakan melalui pesanan SMS dengan kadar bayaran 50 sen atau lebih. Sesiapa yang banyak menghantar jawapan dengan tepat dan cepat akan mendapat hadiah.

▪ Permainan Teka-teki:

Umpamanya pelanggan diminta meneka gambar wajah seseorang yang terkenal seperti artis-artis atau sebagainya. Kemudian tekaan itu dihantar melalui SMS dengan kadar bayaran umpamanya 80 sen. Sesiapa yang banyak menghantar jawapan dengan tepat akan mendapat hadiah.

Inilah antara contoh-contoh peraduan melalui SMS. Ia cukup mudah dan cepat dilakukan. Apabila kita lihat sepintas lalu, peraduan di atas cumalah sebagai permainan, untuk menguji minda pelanggan bagi mendapatkan hadiah. Akan tetapi, adakah terselindung di sebalik peraduan itu sebarang unsur judi ataupun tidak?

Apa yang difahamkan bahawa pihak penganjur peraduan melalui SMS ini akan membuat perjanjian dengan penyedia khidmat SMS sebagai pengantara mereka. Dalam perjanjian itu, hasil pembayaran daripada setiap hantaran SMS akan dibahagi dua. Ini bererti selain daripada bayaran untuk penghantaran SMS, penyertaan bagi mengikuti peraduan tersebut juga dikenakan bayaran.

Mari kita bezakan contoh peraduan melalui SMS di atas dengan permainan-permainan yang memang terang ada unsur judi seperti berikut:

▪ Tikam-tikaman:

Pelanggan akan membeli kertas seperti tikam-tikaman yang mengandungi nombor atau gambar hadiah yang bakal dimenangi. Ini tertakluk pada nasib pelanggan itu, kadang-kadang kertas yang dibeli itu kosong sekaligus tidak memperoleh sebarang hadiah.

▪ Cabutan Nombor Bertuah:

Pelanggan terlebih dahulu membeli sesuatu seperti tiket, dalam tiket itu tertulis nombor bersiri. Kemudian pelanggan yang nombornya kebetulan dicabut – dalam kes nombor bertuah hanya beberapa nombor sahaja yang akan dicabut – akan mendapat hadiah. Sementara nombor yang tidak dicabut tidak akan mendapat sebarang hadiah.

▪ Soalan Kuiz Berbayar:

Penganjur akan menyediakan soalan-soalan kuiz dengan mengenakan bayaran tertentu. Pelanggan yang menjawab kuiz dengan tepat sahaja boleh menyertai cabutan undi bagi memenangi hadiah yang disediakan.

Perbezaan yang kita nampak daripada ketiga-tiga contoh di atas dengan contoh peraduan melalui SMS, hanyalah pada tekniknya sahaja. Peraduan melalui SMS lebih mudah bagi pelanggan untuk menyertainya, tidak perlu susah payah membeli kertas kuiz atau nombor di kedai-kedai atau di tempat-tempat yang dikhaskan. Pelanggan hanya perlu mendail nombor telefon yang ditentukan bagi menghantar jawapan atau penyertaan melalui SMS kepada penganjur. Namun pada hakikatnya contoh peraduan melalui SMS tersebut adalah serupa sahaja dengan ketiga-tiga contoh yang bukan SMS di atas, iaitu setiap penyertaan peraduan adalah dikenakan bayaran yang bukan bayaran panggilan biasa bagi membolehkan peserta untuk mendapat hadiah yang juga tertakluk pada untung nasib. Maka jelaslah di sini, kesemua contoh-contoh yang disebutkan di atas ada persamaan dengan al-yânashîb (loteri).

Ulama fiqh sependapat bahawa judi adalah salah satu daripada dosa besar yang merupakan perbuatan syaitan yang wajib dijauhi. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Mâ’idah: 90)

Di samping itu, judi juga dipergunakan oleh syaitan sebagai alat untuk mencetuskan permusuhan dan kebencian di antara sesama manusia serta melalaikan mereka daripada mengingati Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan mengerjakan sembahyang.ُُ Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?). (Surah al-Mâ’idah: 91)

2) Menjawab Kuiz Melalui Borang Berbayar

Dalam soal kuiz yang menghendaki peserta membeli borang khas untuk menyertainya itu adalah sama dengan permainan yang diterangkan di atas. Pada kebiasaannya peserta dikehendaki meneka kuiz melalui borang yang dibeli. Peserta-peserta yang menjawab dengan betul akan diundi untuk mendapat hadiah. Dalam hal ini, peserta terpaksa mengorbankan wang untuk membeli borang berkenaan untuk mencuba nasibnya dalam mendapatkan hadiah. Ini bererti sekalipun dia menjawab soalan kuiz tersebut dengan betul namun dia tidak akan mendapat hadiah yang disediakan melainkan apabila nasib menyebelahi dirinya. Pendeknya peserta perlu mempertaruhkan harga borang (sekalipun ia murah) dan bukan mempertaruhkan nasibnya semata-mata kepada jawapannya, bahkan juga mempertaruhkan nasibnya melalui undian untuk mendapat hadiah yang ditawarkan. Ini samalah juga seperti membeli dan meneka nombor ekor. Maka ia jelas dilarang oleh Islam kerana ia adalah judi.

Jika kita lihat di pihak penganjur pula, mereka tetap akan memperolehi keuntungan daripada penjualan borang-borang penyertaan, bahkan keuntungan itu boleh sahaja melebihi nilai hadiah yang ditawarkan kerana pemenang-pemenang hanya dihadkan kepada beberapa orang sahaja berdasarkan undian. Muamalat sedemikian adalah termasuk dalam kategori memakan harta orang lain dengan cara yang salah (bâthil).

3) Promosi Jualan ‘Buy N Win’

Setakat pengetahuan kita, promosi ‘Buy N Win’ yang diadakan di kedai-kedai Negara Brunei Darussalam adalah berdasarkan kepada pemilihan pelanggan bertuah. Pemilik kedai akan memberi hadiah kepada pelanggan yang terpilih melalui undian. Untuk mengenal pasti pelanggannya, pemilik kedai akan mengedarkan borang keterangan diri pelanggannya yang membeli barangan jualannya tanpa sukat-sukat pembelian atau tanpa had barang yang hendak dibeli umpamanya hanya pelanggan yang membeli $20.00 sahaja yang dibenarkan menyertainya dan tanpa teka-teki atau kuiz. Ini bererti semua pelanggan dipelawa untuk mengisikan borang berkenaan. Semua pelanggannya akan diundi kecuali mereka yang tidak mengisi dan menyerahkan borang yang diberikan.

Jika pelaksanaan promosi jualan ‘Buy N Win’ seperti yang dijelaskan di atas, kita tidaklah nampak ada unsur perjudian padanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10450