Ubat Daripada Tanduk Binatang
Soalan: Dipohonkan fatwa Pehin Mufi tentang sejenis ubat yang digunakan sebagai makanan tambahan untuk menyegar dan menyehatkan tubuh badan, menguatkan otot dan sebagainya. Ubat ini mengandungi bahan kimia yang diambil (extract) daripada tanduk binatang yang halal dimakan seperti kijang, rusa dan seumpamanya yang masih hidup melalui proses yang tidak menyakitkan atau menyeksa binatang berkenaan.
Jawapan: Berubat adalah suatu perkara yang diharuskan bahkan disyariatkan dalam Islam sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan. (Hadits riwayat Abu Daud)
Anggota Yang Terpisah Daripada Binatang
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah:
Ertinya: Dan bahagian yang terpisah daripada binatang yang masih hidup, (hukumnya adalah sama) seperti bangkainya, kecuali bulu binatang yang harus dimakan, maka ia adalah suci. (Mughni al-Muhtâj: 1/115)
Berkata Syeikh asy-Syarbini bahawa bulu itu adalah suci dengan ijmâ‘ ulama sama ada bulu itu dicabut atau tercabut dengan sendirinya sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis-jenis bulu binatang ternakan itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu gunakan) hingga ke suatu masa. (Surah an-Nahl: 80)
Adalah bulu itu suci sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. Adapun bulu yang terpisah daripada binatang yang tidak boleh dimakan seperti keldai atau kucing adalah najis. (Mughni al-Muhtâj: 1/115)
Imam Ibnu Hajar berkata: “Apa yang dinaqalkan bahawa sesungguhnya bulu binatang itu suci selagi mana ia tidak diketahui datangnya dari binatang yang tidak boleh disembelih (tidak halal dimakan) selain bahagian-bahagian tubuh binatang yang tidak menjadi suci kecuali dengan disembelih, belum pernah aku melihatnya di dalam perkataan seorang pun daripada imam-imam, seolah-olah perkataan itu menghala kepada bahawa bulu atau seumpamanya seperti bulu kambing, bulu unta dan bulu burung, jika dari binatang yang boleh dimakan dan terpisah ketika binatang itu hidup, ia adalah suci, berlainan dengan seumpama tanduk, tulang dan kuku (dari binatang yang boleh dimakan), sesungguhnya ia tidak suci kecuali jika ia terpisah selepas disembelih, bukan yang terpisah sebelum disembelih.” (Al-Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/26)
Menurut al-‘Allâmah Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani bahawa bahagian yang terpisah daripada binatang yang hidup hukumnya sama seperti bangkainya iaitu dari segi suci dan najis. Iaitu apa yang terpisah daripada manusia, ikan dan belalang adalah suci dan yang selain daripada itu adalah najis seperti bahagian yang terpisah daripada kambing. Kecuali bulu yang terpisah daripada binatang yang boleh dimakan maka ia adalah suci. Manakala bahagian yang terpisah daripada binatang yang boleh dimakan selain bulu iaitu tanduk, tapak kaki, kuku dan gigi adalah najis. (Fath al-‘Allâm: 1/337)
Daripada keterangan-keterangan di atas jelas menunjukkan hanya bulu yang diambil daripada binatang (yang boleh dimakan) semasa hidup sahaja yang disebutkan sebagai suci. Manakala bahagian-bahagian yang lain termasuk tanduk yang diambil daripada binatang (yang boleh dimakan) semasa hidupnya adalah dikira najis seperti bangkainya, kecuali jika ia diambil selepas binatang itu disembelih. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir) dan daging babi (termasuk semuanya). (Surah al-Mâ’idah: 3)
Berubat Dengan Benda Najis
Pada dasarnya berubat dengan yang najis itu tidak dibenarkan, bahkan ia diharamkan, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang haram. (Hadits riwayat Abu Daud)
Manakala dalam hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada (berubat dengan) ubat yang kotor. (Hadits riwayat Abu Daud)
Mengenai kedua-kedua hadits di atas, Imam an-Nawawi Rahimahullah berkata bahawa mazhab asy-Syafi‘e berpendapat hadits-hadits tersebut membawa maksud jika tidak berhajat kepadanya (ubat yang kotor itu) kerana masih terdapat ubat yang suci selainnya sebagai pengganti.
Manakala Imam al-Baihaqi berkata bahawa kedua-dua hadits itu bermaksud kepada tegahan untuk berubat dengan benda yang memabukkan dan benda-benda yang haram bukan dalam keadaan dharurat. (Al-Majmû‘: 9/58)
Imam Ibnu Hajar pernah ditanya mengenai berubat dengan kuku dan tulang bangkai: Maka beliau menjawab: “Harus berubat dengan kuku dan tulang bangkai dan lain-lain benda yang najis, sama ada benda itu semata-mata atau benda-benda najis itu bercampur dengan yang lain, melainkan arak. Maka tidaklah harus berubat dengan arak semata-mata arak, dan harus berubat dengan arak yang bercampur dengan yang lain.” (Al-Fatâwâ al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 1/28)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah dalam kitabnya al-Majmû‘ bahawa berubat dengan najis itu harus selain arak, sama hukumnya berubat dengan semua najis selain yang memabukkan. Inilah pendapat mazhab asy-Syafi‘e yang telah ditetapkan oleh jumhûr ulama.
Walau bagaimanapun Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan lagi keharusan berubat dengan najis itu, katanya:
“Ashhâb kita berkata bahawa harus berubat dengan najis itu apabila tidak ditemui ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika ada ubat yang suci, maka haram berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh ulama.” (Al-Majmû‘: 9/54-55)
Daripada keterangan yang disebutkan di atas, keharusan berubat dengan benda-benda najis yang bukan arak semata-mata itu hanyalah dalam keadaan tidak ada ubat lain yang suci sebagai pilihan (kerana dharurat).
Pengertian Dharurat
Imam Jalaluddin ‘Abdul Rahman as-Suyuthi berkata: “Sampainya seseorang itu kepada had dharurat ialah jika tidak memakan apa-apa yang ditegah, dia akan binasa, maka dia diharuskan untuk memakan yang haram.” (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir: 1/213)
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya. (Surah al-An‘âm: 119)
Dalam kaedah fiqh juga menyebutkan:
Ertinya: Keadaan-keadaan dharurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.
Dalam kaedah yang lain disebutkan lagi:
Ertinya: Apa yang diharuskan untuk dharurat itu diukur dengan kadar keperluan sahaja.
Dr. Wahbah az-Zuhaili menyebutkan bahawa dharurat ialah merasa takut terjadi kebinasaan ke atas nyawa secara pasti atau zhann. Hukumnya mengikut mazhab-mazhab yang empat: Wajib memakan benda-benda yang haram hanya dengan kadar menutup keperluan dan terlepas daripada maut. (Al-Fiqh al-Islâmi wa Adillatuh: 4/2602)
Merujuk kepada permasalahan yang diminta fatwa, mengenai dengan berubat yang diambil daripada tanduk untuk menyihatkan badan, menguatkan otot dan sebagainya itu adalah tidak harus dan bahkan haram kerana anggota binatang yang diambil ketika hidupnya itu dikira bangkai. Perkara ini juga belum boleh dianggap dharurat yang mengharuskan berubat dengan najis. Lebih-lebih lagi menurut penyoal, ia bukan untuk menyembuhkan penyakit tetapi hanya satu bahan makanan tambahan untuk menjadikan tubuh badan lebih sihat dan segar.
Kesimpulannya, tidaklah boleh berubat atau makan mana-mana bahagian anggota daripada binatang (yang boleh dimakan) yang diambil ketika hidupnya kecuali sesudah ia disembelih, kerana bahagian anggota binatang yang bercerai ketika hidupnya kecuali bulu adalah dihukumkan bangkai iaitu najis.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10461
