Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Wang Kutipan Tabung Derma Bagi Orang-Orang Pelarian Afghanistan, Pelarian Palestin Dan Mangsa Kebuluran

Soalan: Dipohonkan fatwa dan ketetapan Pehin Mufti mengenai kedudukan wang kutipan Tabung Derma Bagi Orang-Orang Pelarian Afghanistan, Pelarian Palestin Dan Mangsa Kebuluran yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Brunei pada tahun 1985. Wang berkenaan masih tersimpan di dalam sebuah bank.

Jawapan: Tabung derma kerana sesuatu tujuan seperti Tabung Derma Bagi Orang-Orang Pelarian Afghanistan, Pelarian Palestin dan juga Mangsa Kebuluran wajib disempurnakan dan ditunaikan derma itu menurut tujuannya, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ada bersabda yang diriwayatkan oleh ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)

Oleh itu, setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma hendaklah mengikut niat orang yang menderma atau mengikut tujuan derma itu dilakukan seperti jika derma diniatkan atau ditujukan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti tabung yang disebutkan di atas, maka hendaklah pemegang amanah derma itu menyalurkannya menurut niat orang yang berderma itu.

Abu Musa Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Sesungguhnya seorang penyimpan harta yang Muslim lagi amanah yang melaksanakan (tanggungjawabnya) - dan kemungkinan juga Baginda bersabda: memberikan - apa yang diperintahkan kepadanya, maka dia (penyimpan harta) itu melaksanakan dengan sempurna lagi cukup dengan senang hati dan seterusnya menyerahkannya kepada orang yang diperintahkan untuk diberi, (maka) dia (penyimpan harta) itu adalah termasuk juga salah seorang daripada orang-orang yang bersedekah. (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Apabila melihat senario masa, tabung di atas yang ditubuhkan pada 1985, pada zahirnya – Allah jua yang lebih mengetahui – matlamatnya sukar tercapai. Ini kerana orang-orang Islam pelarian Afghanistan, pelarian Palestin pada tahun 1985 itu tidak lagi diketahui kedudukannya kerana tempoh masa 20 tahun (1985 – 2005) adalah terlalu lama, di mana sebenarnya mereka (pelarian) itu berada, atau adakah mereka masih menjadi pelarian dan lain-lain persoalan.

Kalaupun ada orang-orang Islam pelarian Afghanistan dan pelarian Palestin, akan tetapi mereka itu mungkin bukan pelarian pada tahun 1985 sebagaimana yang dimaksudkan dengan penubuhan tabung tersebut.

Walaupun matlamat menyerahkan derma-derma tersebut kepada orang-orang Islam pelarian Afghanistan dan pelarian Palestin bagi tahun 1985 tidak mungkin tercapai, kerana jarak masa yang begitu lama, namun yang tinggal ialah menyerahkan derma tersebut kepada “mangsa kebuluran”. Ini masih releven dilakukan, kerana mangsa kebuluran umat Islam ada di mana-mana tanpa mengira atau bertolak pada tahun 1985 itu. Dengan cara demikian niat penderma pada sebahagian matlamatnya dapat juga ditunaikan.

Supaya matlamat atau niat penderma-penderma itu tetap dapat ditunaikan bagi menolong atau meringankan beban penderitaan orang-orang Islam yang dimaksudkan, maka yang nampak pada masa ini derma-derma itu masih boleh dialihkan atau dipindahkan selain kepada mangsa-mangsa kebuluran, ialah juga kepada mangsa-mangsa pelarian baru yang ada masa ini ataupun bila-bila masa juga. Inilah sahaja yang lebih mendekati tujuan dan niat penderma.

Ini adalah berdasarkan pendapat ulama mengenai waqaf disebabkan perkara dharûrah dan demi menjaga kepentingan orang yang berwaqaf agar waqafnya tidak terbengkalai atau waqafnya itu tidak menjadi sia-sia, maka adalah harus tidak dipatuhi syarat yang ditentukan oleh orang yang berwaqaf demi kemashlahatan orang yang berwaqaf itu sendiri juga.

Al-Qalyubi Rahimahullah berkata:

Ertinya: Dan situasi di mana dipatuhi syarat orang yang berwaqaf itu juga ialah selama mana bukan di dalam keadaan dharurat sekalipun mengambil masa yang panjang. Jika tidak (jika di dalam situasi dharurat), seumpama bangunan waqaf yang roboh, maka tidak dipatuhi syarat orang yang berwaqaf itu, seperti juga jika sekiranya dia mensyaratkan supaya tidak disewakan (bangunan) itu melebihi tiga tahun umpamanya, (tetapi) dharurat menghendaki untuk membangunnya (semula) sekalipun mengambil masa yang panjang, dan tidak ada orang yang hendak menyewanya kecuali dengan sewaan yang melebihi syarat tiga tahun, maka adalah harus (jangka masa sewaan) yang lebih itu sekira-kira cukup untuk pembangunan semula kerana disebabkan oleh dharurat.” (Hâsyiyatân Qalyubi ‘Umairah: 3/104).

Imam Syihabuddin ar-Ramli Rahimahullah pula berkata:

Ertinya: Dan perkataan “bukan di dalam keadaan dharurat” mengeluarkan (tidak memasukkan keadaan di mana) jika sekiranya tidak didapati sesiapa pun yang berminat pada waqaf itu kecuali dengan cara yang berlainan dengan demikian (apa yang telah disyaratkan oleh orang yang berwaqaf), maka adalah harus (ditinggalkan syarat orang yang berwaqaf itu), kerana pada zahirnya bahawa orang yang berwaqaf tidak ingin waqafnya itu terbengkalai. Dan jika sekiranya rumah yang disyaratkan agar tidak disewakan kecuali dengan kadar sebegini (tertentu)itu roboh dan rumah itu tidak mungkin dapat dibangunkan (semula) kecuali dengan sewaan yang melebihi kadar yang sedemikian (yang telah ditentukan), (maka harus waqaf itu) disewakan dengan kadar sekira-kira mencukupi untuk pembangunannya sahaja sebagai memelihara kepentingan orang yang berwaqaf, bukannya kepentingan orang yang berhak (kepada waqaf itu). (Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 5/376).

Kita bawakan persoalan waqaf kerana Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah ada berkata di dalam fatwanya:

Ertinya: Sesungguhnya bab wasiat, waqaf dan sedekah adalah dari lubuk yang satu.” (Al- Fatâwa al-Kubrâ al-Fiqhiyyah: 3/366)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10469