Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Yuran Tawaran

Soalan: Dipohonkan Fatwa Pehin Mufti mengenai peraturan sebut harga dan tawaran yang berjalan masa ini di mana setiap kontraktor yang ingin ikut serta dalam sebarang tawaran dan sebut harga dikehendaki membayar yuran tawaran. Yuran tawaran tersebut tidak dikembalikan sama ada tawaran/sebut harganya berjaya atau tidak, melainkan tawaran/sebut harga tersebut dibatalkan.

Antara lain tujuan yuran tawaran ialah untuk mengimbal balik kos penyediaan dokumen tawaran/sebut harga dan memastikan bahawa kontraktor yang ikut serta benar-benar berminat dan akan memberi tawaran yang ‘bona-fide’ atau jujur dan bukan untuk ‘kacau daun’ sahaja. Yuran tawaran tersebut dimasukkan ke dalam kutipan hasil.

Oleh kerana pada kelazimannya, hanya satu syarikat/kontraktor sahaja yang diterima tawaran/sebut harganya, maka kontraktor lain yang ikut serta akan mengalami kerugian kerana yuran tawaran yang dibayarnya tidak dikembalikan kepadanya.

Adakah peraturan tersebut dianggap sebagai ‘sebahagian pihak mendapat untung dan sebahagian lagi mendapat rugi’ seolah-olah membeli ‘tikam-tikaman’ dan sama seperti judi dari segi hukum muamalat?

Jawapan: Menurut dasar ajaran Islam mendapatkan harta daripada sumber yang halal dan baik itu adalah dituntut. Manakala memperolehi harta dengan cara yang salah itu adalah dilarang sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah. (Surah al-Baqarah: 188)

Mengambil upah atau bayaran terhadap khidmat yang diberikan adalah perkara yang dibenarkan oleh Islam dengan syarat khidmat itu benar-benar diberikan kepada pihak yang kena membayarnya dan tidak ada unsur penipuan atau ketidak-jujuran.

Permasalahan yang dihadapkan di atas ialah berkenaan hukum ‘Yuran Tawaran’ yang diambil dengan tujuan mengimbal balik kos penyediaan dokumen tawaran atau sebut harga dan memastikan bahawa kontraktor yang ikut serta benar-benar berminat dan akan memberi tawaran yang ‘bona-fide’ atau jujur dan bukan untuk ‘kacau daun’ sahaja sebagaimana yang didakwa oleh penyoal sendiri. Yuran tawaran tersebut dimasukkan ke dalam kutipan hasil. Yuran tersebut tidak dikembalikan kepada kontraktor sama ada tawaran atau sebut harganya diterima atau tidak, melainkan jika tawaran berkenaan dibatalkan.

Daripada keterangan yang diberikan itu, menggambarkan bahawa yuran tawaran itu adalah caj atau bayaran kepada khidmat penyediaan dokumen dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Jika itulah hakikat ‘Yuran Tawaran’ diambil atau dikenakan kepada kontraktor, maka tidaklah ia termasuk dalam kategori judi sebagaimana yang dibangkitkan, sebab bayaran itu dikenakan kepada kontraktor yang ikut serta dalam sebut harga itu sebagai caj kerana mencetak dokumen dan masa memproses penilaian dan seterusnya kerja-kerja dilaksanakan (sebagaimana yang dinyatakan).

Dengan demikian, tidaklah timbul ‘sebahagian pihak mendapat untung dan sebahagian lagi mendapat rugi’ kerana caj atau bayaran yang dikenakan itu adalah bayaran perkhidmatan kerana menyertai tawaran. Yuran tawaran berkenaan juga tidak boleh dikira sebagai sebahagian daripada bayaran kerja-kerja yang akan dilaksanakan.

Walau bagaimanapun yuran Tawaran itu perlulah berpatutan dan munasabah dengan khidmat yang diberikan termasuk kos menyediakan dokumen-dokumen supaya tidak melampau-lampau atau sengaja meninggikan yuran berkenaan untuk menekan kontraktor-kontraktor. Perbuatan mengenakan bayaran yang melampau atau tidak patut itu adalah termasuk dalam apa yang dikategorikan sebagai pengambilan harta dengan jalan yang salah sebagaimana maksud ayat di atas.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10475