Ajaran Haji Kahar Bin Ahmad
Soalan: Kumpulan Ajaran Haji Kahar bin Ahmad adalah salah satu ajaran sesat tegar yang aktif di Malaysia sebagaimana yang dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dalam laporan yang diberikan menyatakan bahawa:
1. Ajaran ini didapati berkembang di rumah Haji Kahar sendiri, iaitu No. 44, Kg. Kemensah, Hulu Kelang, Selangor. Ajaran ini juga bergiat di rumah pengikut-pengikut kanannya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Pengikut ajaran ini dianggarkan sekitar 20 orang yang kebanyakannya berada di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
2. Ajaran Haji Kahar merupakan salah satu ajaran sesat tegar yang terus berusaha menyebarkan pengaruhnya walaupun usaha-usaha mengembalikan mereka yang terlibat ke jalan yang benar telah dilakukan.
3. Kumpulan ini didapati masih berpegang kepada fahaman mereka walaupun pelbagai tindakan seperti pewartaan fatwa dan tindakan undang-undang di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri telah dilakukan.
Sehubungan dengan itu sukacita dipohonkan sebarang ulasan atau fatwa Pehin Mufti mengenainya.
Jawapan: Setelah meneliti kandungan keterangan-keterangan yang disertakan berkenaan dengan ajaran Haji Kahar bin Ahmad dari Kg. Kemensah, Hulu Kelang, Selangor, Malaysia itu difahami bahawa beberapa perkara yang menjadi pegangan dan ajarannya adalah jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Ajaran tersebut adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan orang-orang Islam yang ada sekarang ini. Bahkan berdasarkan laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagaimana yang disertakan juga menyatakan bahawa perkara-perkara yang menjadi pegangan Haji Kahar bin Ahmad itu jelas menyeleweng dan merosakkan iman. Haji Kahar sendiri mendakwa dirinya adalah rasul yang menerima wahyu daripada Allah, dia tidak percaya kepada al-Qur’an yang ada sekarang, beliau tidak percaya kepada hadits dan menurut beliau sembahyang itu tidak wajib. Semua perkara ini, atau mana-mana satu daripadanya boleh merosakkan aqidah (iman) jika mempercayainya, kerana perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah mendustakan apa yang ada di dalam al-Qur’an dan al-Hadits. Orang Islam yang mempercayai ajaran ini adalah terkeluar daripada agama Islam (murtad) dan wajib disuruh bertaubat.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Bukanlah Nabi itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Ahzâb: 40)
Ulama tafsir yang terkemuka sependapat dalam mengertikan kata khâtam an-nabiyyîn sebagai nabi yang terakhir. Pendapat-pendapat ulama tersebut antaranya ialah:
1. Pengarang kitab al-Bahr al-Muhîth berkata: “Khâtam an-nabiyyîn” bermakna tidak akan ada lagi nabi sesudahnya (Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam). (Al-Bahr al-Muhîth fi at-Tafsîr: 8/485)
2. Ibnu ath-Thabari pula menyatakan dalam tafsirnya bahawa Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah orang yang terakhir daripada nabi-nabi dan tidak ada nabi selepas Baginda hingga ke Hari Kiamat. (Jâmi‘ al-Bayân ‘an Ta’wîl Âyi al-Qur’ân: 12/21-22)
3. Syeikh az-Zamakhsyari dalam kitabnya al-Kasysyâf berkata: “Khâtam an-nabiyyîn bererti penutup sekalian nabi-nabi.” (Al-Kasysyâf ‘an Haqâ’iq at-Ta’wîl wa ‘Uyûn al-Aqâwîl fî Wujûh at-Ta’wîl: 3/264)
4. Al-Hafiz ‘Imaduddin Ibnu Katsir mengatakan ayat di atas merupakan bukti yang kuat bahawa tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Beliau menjelaskan lagi bahawa mengenai perkara ini banyak hadits mutawâtir (hadits yang sangat kuat) diceritakan oleh para sahabat dan tâbi‘în. Maka jika ada orang yang mendakwa bahawa dia adalah nabi (selepas Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam) adalah dia pembohong. (Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm: 11/174-180)
5. Ibnu ‘Athiyah pula menyatakan bahawa ayat di atas adalah dalil (nash) yang menunjukkan tidak ada nabi selepas Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Inilah pendapat semua ulama khalaf dan salaf. (Al-Qurthubi, al-Jâmi‘ li Ahkâm al-Qur’ân:13/144)
6. Al-Hassan al-Bashri ketika menafsirkan perkataan “khâtam an-Nabiyyîn”: “Allah telah menutup para nabi dengan Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan Baginda adalah utusan terakhir.” (Tafsîr al-Hasan al-Bashri: 2/210)
Dalam beberapa hadits, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menjelaskan bahawa tidak ada nabi selepas Baginda:
1. Anas Radhiallâhu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya risalah dan nubuwwah telah terputus. Maka tidak ada lagi rasul dan nabi sesudahku. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
2. Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan para nabi sebelumku adalah seperti seorang lelaki yang membina sebuah rumah. (Pembinaannya) disempurnakan dan diperelokkan kecuali di suatu sudut di mana terletak sebiji batu bata (yang belum dimasak). Maka sesiapa yang mengelilingi dan mengkagumi rumah tersebut lalu mereka akan berkata: “Alangkah baiknya sebiji bata itu diletakkan! Baginda menjawab: Akulah bata itu dan akulah penutup segala Nabi.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
3. Dalam riwayat yang lain, Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku dilebihkan daripada nabi-nabi yang lain dengan enam perkara: (Iaitu) diberikan kepadaku kata-kata yang sedikit tetapi mempunyai makna yang luas (al-Qur’an), diberikan aku kemenangan dengan menimbulkan rasa takut di hati musuh, dihalalkan bagiku rampasan perang, dijadikan bumi bagiku suci dan tempat bersujud (masjid), diutus aku untuk seluruh makhlukNya dan aku sebagai penutup sekalian para nabi. (Hadits riwayat Muslim)
4. Riwayat azh-Zhuhri pula, beliau telah mendengar daripada Muhammad bin Jubair bin Math‘am daripada bapanya, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Aku adalah Muhammad, dan aku adalah juga Ahmad dan aku al-Mâhi (iaitu) kerana akulah dihancurkan kekufuran. Aku al-Hâsyir (iaitu) dikumpulkan manusia di bawah tumitku (untuk mengikuti aku) dan aku al-‘Âqib (iaitu) tiada nabi selepasku. (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)
Dengan demikian, jelaslah bahawa Sayyidina Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam itu adalah Nabi dan Rasul terakhir, selepas Baginda tidak ada lagi nabi mahupun rasul yang diutus.
Menurut pengarang kitab Syarh Jauharah at-Tauhîd bahawa orang-orang yang ingkar akan kenabian para nabi atau ingkar akan kerasulan mereka yang memang mereka itu diutuskan oleh Allah untuk menjadi rasul, maka orang-orang yang mengingkari itu hukumnya adalah kafir, kecuali bagi orang-orang awam yang tidak pernah belajar ilmu tauhid. Mereka hanya boleh dihukumkan kafir apabila mereka ingkar selepas mereka mempelajarinya (mengetahuinya).
Fatâwâ Alamgiri yang telah ditulis oleh ulama yang amat terkenal di India pada abad ke-12 Hijrah ada menyebutkan: “Sesiapa yang tidak menerima Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagai nabi yang terakhir, dia bukanlah seorang Islam. Jika dia mengaku bahawa dia ialah seorang rasul atau nabi, dia mestilah diisytiharkan sebagai seorang kafir.” (Asy- Syeikh Nizham wa Jama‘ah Ulama Hind (India), Fatâwâ al-Hindiyyah fî Madzhab Imam Abi Hanifah: 6/327-328)
Menurut al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh, bahawa riddah (murtad) itu boleh terjadi dengan sebab-sebab berikut:
Ertinya: (Riddah) itu ialah memutuskan Islam dengan niat atau mengucapkan perkataan kufur atau perbuatan sama ada seseorang itu mengucapkan dengan penghinaan atau ingkar dengan menentang atau dengan kepercayaan. Maka sesiapa yang menafikan Allah (sebagai Pencipta) atau rasul-rasul atau mendustakan mana-mana rasul atau menghalalkan yang telah diharamkan dengan ijmâ‘ seperti zina dan sebaliknya (mengharamkan yang halal dengan ijmâ‘) atau menafikan perkara wajib yang telah diijmâ‘kan atau sebaliknya (mengi‘tiqâdkan atas wajibnya perkara yang diijmâ‘kan tidak wajib) atau berazam untuk kufur esok harinya atau ragu tentang Islam, dia telah menjadi kafir. Perbuatan yang boleh membawa kepada kafir itu pula ialah apa yang disenghajakan dengan cara menghina secara terang-terangan terhadap agama atau menolaknya (tidak menerima Islam itu) seperti melemparkan Mushhaf ke tempat pembuangan sampah, sujud kepada berhala atau kepada matahari). (Mughnî al-Muhtâj: 4/133-136)
Menurut perkataan al-Imam an-Nawawi ini, sesiapa yang melakukan salah satu daripada perkara-perkara yang disebutkan di atas dan dia tidak bertaubat, maka dia telah murtad (keluar daripada Islam). Jika dia mati dalam keadaan sedemikian matinya adalah dalam kekufuran (murtad).
Dengan penjelasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa ajaran Haji Kahar bin Ahmad itu adalah ajaran yang salah dan sesat kerana bercanggah dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menurut fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah. Pengasas ajaran ini (Haji Kahar bin Ahmad) dan sesiapa yang mengikut atau mempercayai ajaran ini adalah terkeluar daripada agama Islam dan wajib segera meninggalkannya serta bertaubat.
Orang murtad atau orang yang keluar daripada agama Islam, tidak sah dia berkahwin dengan orang Islam dan tidak halal sembelihannya. Sekiranya dia suami atau isteri orang Islam kemudian dia murtad, maka putuslah nikah suami isteri itu setelah habis ‘iddah isterinya, jika suami atau isteri itu tidak kembali kepada Islam dalam masa ‘iddah dengan mengucap dua kalimah syahadat serta membuang i‘tiqâd kufur yang merupakan sebab dia menjadi murtad itu. Orang murtad tidak sah mempusakai harta pusaka orang Islam seperti bapanya, ibunya, saudaranya dan isterinya. Sekiranya orang murtad itu mati, mayatnya tidak boleh ditanam dalam perkuburan orang Islam kerana perkuburan Islam adalah waqaf untuk orang Islam, tidak boleh disembahyangkan dan mayatnya boleh diberi makan kepada anjing, tetapi sekiranya menyusahkan orang Islam, maka boleh ditimbus atau dicampakkan ke laut. Orang murtad sekiranya dia lapar atau haus, tidak boleh diberi makan atau minum sehingga dia kembali kepada Islam dengan mengucap dua kalimah syahadat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10514
