Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Batas Aurat Wanita Islam Di Hadapan Wanita Bukan Islam

Soalan: Apakah had aurat kita terhadap wanita kafir? Adakah kita perlu menutup aurat sepenuhnya jika kita terpaksa tinggal sebilik dan berkongsi bilik air dengan mereka, contohnya di kolej kediaman pusat pengajian tinggi?

Jawapan: Mengikut pendapat yang ashah dalam mazhab Syafi‘e bahawa aurat wanita Islam ketika berhadapan dengan wanita yang bukan beragama Islam ialah sama seperti auratnya terhadap lelaki asing iaitu seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya, sama ada belakang tapak tangan atau perut tapak tangan yang meliputi dari hujung jari hingga ke pergelangan tangan.

Ertinya: Dan mengikut qaul yang ashah adalah diharamkan wanita kafir dzimmi atau selainnya (daripada wanita kafir) melihat kepada (badan) perempuan Muslimah, maka dari itu (wajiblah) perempuan Muslimah berhijâb daripada pandangan wanita kafir berdasarkan firman Allah (tafsirnya): “Atau perempuan Islam” [surah an-Nur: 31]. Jika sekiranya harus bagi perempuan kafir itu melihat (badan) mereka, nescaya tiadalah faedah pada mengkhususkan (disebut dalam ayat tersebut wanita-wanita Islam). Walhal telah sah (tsabit) riwayat daripada ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu bahawa dia menegah wanita-wanita ahli kitab masuk ke bilik air bersama-sama dengan wanita-wanita Islam dan juga kerana (nanti) boleh jadi dia menceritakan (apa yang mereka lihat) kepada lelaki kafir. (Mughnî al- Muhtâj: 3/171)

Walau bagaimanapun mereka harus melihat apa yang nampak daripada bahagian tubuh perempuan Islam (yang terpaksa dibuka) ketika sedang melakukan keperluan pekerjaan dan menunaikan hajat iaitu muka, kepala, leher, dari tangan hingga ke siku dan dari kaki hingga ke lutut sebagaimana yang dijelaskan oleh al -Khathib, katanya:

Ertinya: Dan pendapat yang asybah sebagaimana yang tersebut di dalam ar-Raudhah dan asal ar-Raudhah bahawasanya harus wanita kafir melihat apa yang ternampak daripada perempuan Islam ketika sedang membuat keperluan pekerjaan dan inilah dia pendapat yang zhâhir. (Bujairimi ‘ala al-Khathib:3/483)

Jelas beliau lagi:

Ertinya: Dan yang dimaksudkan dengan bahagian yang nampak ketika membuat pekerjaan atau khidmat ialah muka, kepala, leher, tangan hingga ke siku dan kaki hingga ke lutut.” (Mughnî al-Muhtâj: 3/168)

Adapun jika perempuan kafir itu ada pertalian mahram dengan wanita Islam ataupun hamba yang dimiliki maka tidaklah diharamkan ke atas kedua-duanya melihatnya.

Ertinya: Adapun kedua-dua mereka (perempuan kafir yang ada pertalian mahram dan juga hamba yang dimilikinya) haruslah bagi mereka melihat kepadanya sebagaimana yang telah difatwakan oleh pengarang (Imam an-Nawawi) ketika membicarakan tentang hamba perempuan kafir yang dimiliki dan dibahas oleh az-Zarkasyi dalam masalah mahram. (Mughnî al-Muhtâj:3/171)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10520