Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Kanak-Kanak Bukan Islam Belajar Al-Qur’an

Soalan: Apakah hukum seorang pelajar bukan Islam mempelajari al-Qur’an di sekolah?

Jawapan: Al-Qur’an merupakan kalâmullâh dan kitab suci umat Islam yang wajib kita hormati dan beriman kepadanya. Dengan al-Qur’an Allah mengeluarkan manusia daripada kekufuran dan kegelapan kepada cahaya iman dan petunjuk. Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âla:

Tafsirnya: Alif lâm râ’, ini ialah Kitab (al-Qur’an) yang Kami turunkan ia kepadamu, supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya daripada gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka, ke jalan Allah yang Maha kuasa, lagi amat terpuji. (Surah Ibrahim:1)

Allah memuliakan orang yang suka membaca al-Qur’an sama seperti orang yang mendirikan sembahyang dan menginfâqkan harta pada jalan Allah sebagaimana istimewanya orang yang mempelajari dan mengajar al-Qur’an. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Qur’an dan mengajarkannya. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Tugas mengajar al-Qur’an itu hukumnya adalah fardhu kifâyah. Seandainya tidak terdapat dalam sebuah masyarakat sesiapa yang boleh mengajarkan al-Qur’an melainkan seorang sahaja, maka wajib baginya mengambil tugas mengajar itu. (Fath al-‘Allâm: 1:259) dan (al- Burhan fi ‘Ulûm al-Qur’ân: 1:456)

Demikian sedikit gambaran mengenai kelebihan al-Qur’an.

Menghormati Al-Qur’an

Dalam membaca, menyentuh dan membawa al-Qur’an, kita diwajibkan supaya sentiasa berada dalam keadaan suci daripada hadas. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman mengenai perkara ini:

Tafsirnya: Tidak boleh menyentuhnya (al-Qur’an) kecuali orang-orang yang suci. (Surah al-Wâqi‘ah:79)

Qatadah mentafsirkan perkataan ‘orang-orang yang suci’ itu bermaksud orang yang bersih daripada hadas dan najis. ‘Ikramah pula berkata bahawa Ibnu ‘Abbas melarang daripada membenarkan orang Yahudi dan Nashrani membaca al-Qur’an. Adapun bagi orang Islam, jumhûr ulama menegah daripada menyentuhnya tanpa wudhu. (Al-Jâmi’ al-Ahkâm: 17:226)

Kanak-kanak yang mumayyiz adalah tidak ditegah daripada menyentuh dan membawa al- Qur’an bagi tujuan dan alasan belajar, sama ada ketika dalam keadaan berhadas kecil atau besar. Adapun jika menyentuhnya dengan tujuan yang lain selain belajar, maka ia adalah diharamkan. Begitu juga haram membenarkan kanak-kanak yang belum mumayyiz menyentuh dan membawa al-Qur’an bagi mengelakkan daripada berlakunya pencemaran terhadap kemuliaan al-Qur’an. (Busyrâ al-Karîm: 1:67, Mughnî al-Muhtâj: 1:151-152 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1:117)

Mengajar Al-Qur’an Kepada Orang Bukan Islam

Menurut pengarang kitab Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn:

Ertinya: Imam an-Nawawi telah memfatwakan bahawa, tidak diharamkan ke atas kanak-kanak yang dalam keadaan junub membaca al-Qur’an, dan ini disepakati oleh kebanyakan ulama. Beliau (asy-Syeikh Sa‘id Ibnu Muhammad Ba‘isyin) berkata dalam kitab Busyrâ al- Karîm: “Dan disyaratkan bagi pengharaman ke atas orang yang berhadas besar itu, hendaklah dia seorang Muslim yang mukallaf. Maka tidak ditegah orang kafir daripada membaca al-Qur’an, jika dia tidak menentang (Islam) dan diharapkan dia akan masuk Islam dan hendaklah dia bukan kanak-kanak dan bukan orang gila.” (Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1:120)

Orang kafir adalah ditegah daripada menyentuh dan membawa al-Qur’an apatah lagi memilikinya. Walau bagaimanapun mereka tidaklah ditegah daripada membaca al-Qur’an jika ada harapan mereka memeluk agama Islam dan tidak ada tentangan daripada mereka. Ini kerana syarat bagi pengharaman membaca al-Qur’an ke atas orang yang berhadas besar itu hendaklah dia seorang Muslim yang mukallaf, bukan gila dan bukan kanak-kanak, sepertimana yang dikatakan Imam an-Nawawi bahawa beliau tidak mengharamkan kanak-kanak yang dalam keadaan junub daripada membaca al-Qur’an. (Hâsyiah asy-Syarqawi: 1:81 dan Hâsyiah I‘ânah ath-Thâlibîn: 1:120)

Begitu juga tidak ditegah memperdengarkan bacaan al-Qur’an kepada orang yang bukan Islam berdasarkan firman Allah dalam surah at-Taubah:

Tafsirnya: Dan jika seseorang daripada kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar kalâmullah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarkanlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah at-Taubah: 6)

Adapun mengajarkan al-Qur’an kepada orang bukan Islam menurut asy-Syarbini, di dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj menyatakan:

Ertinya: Dan orang kafir ditegah daripada menyentuh al-Qur’an, (tetapi) tidak ditegah daripada mendengarkannya dan haram (ke atas orang kafir) mengajarkannya (al-Qur’an) dan haram juga mempelajarinya kiranya dia menentang Islam, sementara yang tidak menentang Islam, jika diharapkan keislamannya bolehlah dia diajarkan al-Qur’an itu. Jika tidak, tidak boleh (mengajarkannya). (Mughnî al-Muhtâj: 1:152)

Berdasarkan penjelasan ulama yang disebutkan di atas, mempelajari bacaan al-Qur’an tidaklah mengapa jika diharapkan Islamnya. Namun menyentuh dan membawanya tetap haram kerana syarat menyentuh dan membawanya mestilah bersih daripada hadas.

Oleh itu bagi mengelakkan pelanggaran hukum yang melarang menyentuh al-Qur’an, adalah lebih baik mencari jalan alternatif seperti mempelajari bahasa Arab dengan matlamat supaya murid-murid yang tidak beragama Islam itu dengan sendirinya dapat mengenal huruf-huruf al-Qur’an dan pada akhirnya juga boleh pandai membaca al-Qur’an kerana bahasa al-Qur’an itu adalah bahasa Arab.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10550