Logo ‘Red Devil’ Pada Pakaian Pasukan Bola Sepak
Soalan: Dengan hormatnya sukacita meminta pandangan Pehin mengenai baju yang mempunyai logo “Red Devil” bermaksud “Syaitan Merah” lambang bagi sebuah pasukan bola sepak luar negara.
Jawapan: Islam menekankan agar umatnya sentiasa mengambil berat tentang nilai-nilai moral yang tinggi di dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan perkara-perkara yang diperintahkan dan menjauhkan daripada perkara-perkara yang ditegah.
Perintah-perintah dan larangan-larangan di dalam Islam bertujuan agar seseorang individu itu dapat menjadi seorang Muslim yang sejati. Ingkar terhadap perintah Allah, leka dengan kehidupan dunia yang membawa sesat dan menyesatkan disebabkan terpengaruh dengan tipu daya syaitan dan mengikut hawa nafsu adalah membahayakan diri.
Syaitan Menjerumuskan Manusia Ke Lembah Kesesatan
Salah satu matlamat utama syaitan itu ialah berusaha sehingga manusia menyekutukan Allah. Padahal menyekutukan Allah itu suatu kezaliman yang sangat besar.
Tafsirnya: Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar. (Surah Luqman: 13)
Usaha syaitan untuk menyesatkan manusia akan terus berjalan tanpa henti-henti dan tanpa kesudahannya bahkan syaitan tidak akan mengenal putus asa dalam usahanya ini. Ini kerana syaitan telah bersumpah sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan aku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan daripada sebarang syirik.” (Surah al-Hijr: 39-40)
Pendeknya syaitan adalah musuh manusia yang berusaha menjerumuskannya ke jalan kesesatan untuk bersama-samanya kekal di dalam neraka. Oleh yang demikian tidak ada jalan lain untuk selamat di dunia dan akhirat melainkan berhati-hati dan berwaspada daripada tipu daya syaitan dan sentiasa mengawasi dan menghindarkan diri daripada tipu dayanya itu. Hal ini jelas diterangkan dalam al-Qur’an melalui ayat yang berbunyi:
Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya). (Surah Fâthir: 6)
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Sesungguhnya syaitan itu musuh yang menyesatkan, yang nyata (angkaranya). (Surah al-Qashash: 15)
Seterusnya Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Surah Yâsîn: 60)
Peringatan Allah berkali-kali menerusi ayat-ayat al-Qur’an yang disebutkan di atas menunjukkan betapa penting peringatan itu bahawa umat Islam bukan sahaja dikehendaki supaya menjauhi syaitan, tetapi juga memusuhinya dan tidak membesarkan dan mengagungkannya kerana syaitan itu adalah musuh yang sesat lagi menyesatkan.
Pengertian ‘Red Devil’
Mengenai dengan logo ‘Red Devil’ (Syaitan Merah) yang terdapat pada pakaian, ia boleh membawa kepada berbagai pengertian dan maksud, sama ada oleh orang yang memakainya atau pihak yang menerbitkannya dalam bentuk iklan atau orang yang melihatnya.
Devil dalam pengertian bahasa Inggerisnya ialah makhluk halus yang jahat, hantu ataupun syaitan. Perkataan devil juga digunakan pada perkara-perkara lain yang menunjukkan kepada kejahatan semata-mata.
Logo ‘Red Devil’ yang menjadi lambang pasukan bola sepak Manchaster United berkemungkinan boleh diandaikan sebagai suatu cara untuk menggerunkan pihak lawan yang terdiri daripada pasukan-pasukan bola sepak yang lain ketika bertemu dengan pasukan tersebut. Dalam erti kata lain, lambang ‘Red Devil’ dapat menunjukkan bagaimana ganas dan kuatnya pasukan tersebut seolah-olah ia tidak dapat ditewaskan oleh pasukan-pasukan lain.
Dalam dunia bola sepak hari ini, memang trend setiap pasukan ada lambang dan memberikan nama gelaran tertentu yang mereka pilih sendiri bagi menonjolkan identiti pasukan mereka sebagai pasukan yang terkuat dan terbaik di mata para peminatnya.
Tipu Daya Syaitan
Sesungguhnya syaitan juga adalah makhluk yang sentiasa membuat tipu daya ke atas manusia dengan berbagai kepura-puraan dan mempamerkan perhiasan yang indah-indah sehingga manusia menyangka bahawa keburukan yang manusia lakukan itu adalah satu kebaikan atau keindahan, padahal ia adalah keburukan bukan keindahan yang sebenarnya di mana matlamat akhirnya ialah menyesatkan serta menyekutukan Allah. Semuanya ini kadang-kadang tidak terasa oleh manusia. Begitulah licik dan jahatnya tipu daya syaitan itu. Hal ini jelas diterangkan di dalam firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ yang berbunyi:
Tafsirnya: Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu. (Surah al-Anfâl: 48)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah (petunjuk) kepada orang-orang yang kafir. (Surah at-Taubah: 37)
Tafsirnya: Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandang dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayah kepadanya, atau sebaliknya)? Kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan. (Surah Fâthir: 8)
Ayat-ayat ini jelas menerangkan tentang bagaimana peranan syaitan memperindah dan memperelokkan perbuatan manusia yang pada hakikatnya mungkar dan dosa.
Oleh kerana baju yang berlogokan “Red Devil” itu merujuk betul-betul kepada syaitan, maka berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an yang telah disebutkan di atas, bahawa syaitan itu menjadi musuh kepada manusia, khususnya orang-orang Islam, maka menjauhkan diri daripada syaitan dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya adalah amat dituntut oleh Islam. Jadi orang-orang Islam selayaknya tidaklah membeli, memiliki atau memakai pakaian-pakaian yang mempunyai lambang syaitan seperti ‘Red Devil’ atau lambang-lambang lain seumpamanya yang ditegah oleh Islam.
Memakai dan memiliki lambang-lambang seperti itu tidaklah sesuai dengan keperibadian Islam. Ia boleh membawa cela dan imej buruk seseorang Islam yang memakainya, kerana Allah sendiri pun telah mengutuk syaitan dan menyuruh orang-orang Islam menjauhinya. Sepatutnya orang Islam mesti lari dari syaitan, dengan cara, banyak-banyak membaca الاَاويذ (do‘a berlindung daripada syaitan): “ أَىوذًِبِهللَ ِ مالش ََََََََّّّّّّّّيطَان ِ الرَّجِيم ” (aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam). Kerana itulah, memakai atau mengagungkan lambang yang ada unsur mengagumi dan menyukai syaitan, sangat-sangatlah bertentangan dengan ajaran Islam. Adalah setiap perbuatan yang melawan, melanggar atau melangkahi ajaran Islam itu, hukumnya tidak lain melainkan haram atau berdosa.
Bagaimanapun, fatwa ini tidaklah bertujuan menyentuh mana-mana pihak di luar Islam. Ia adalah semata-mata menjawab apa yang ditanya bagi mashlahat orang-orang Islam dalam perkara dosa dan pahala menurut ajaran Islam sahaja.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10554
