Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Majlis Khatam Al-Qur’an Suatu Bid‘ah?

Soalan: Mohon penjelasan Pehin mengenai hukum mengadakan majlis khatam al-Qur’an. Ada beberapa pendapat yang mengatakan bahawa menganjurkan majlis tersebut adalah bid‘ah.

Jawapan: Bagi menjawab persoalan di atas, diterangkan terlebih dahulu makna bid‘ah agar jelas sama ada sesuatu itu dikategorikan bid‘ah atau sebaliknya.

Apa Erti Bid‘ah? Bid‘ah ( ٌ بدْىَة) adalah daripada Bahasa Arab. Menurut Lisân al-‘Arab, bid‘ah adalah:

Ertinya: Sesuatu yang baru, dan apa yang dicipta dalam agama setelah penyempurnaannya. (Lisân al-‘Arab: 8/6) Menurut Imam asy-Syafi‘e Rahimahullâh pula, sepertimana yang diriwayatkan oleh al- Baihaqi Rahimahullâh daripada ar-Rabi‘ bin Sulaiman:

Ertinya: Perkara-perkara baru (yang direka) itu ada dua jenis: Pertama: Apa yang direka (dibuat) bercanggah dengan al-Qur’an, Sunnah, atsar atau ijmâ‘. Maka inilah bid‘ah sesat. Kedua: Apa yang direka (dibuat) daripada perkara kebaikan dan tidak bercanggah padanya sesuatu pun daripada ini (dalil-dalil). Inilah dia perkara-perkara baru yang tidak dikeji. (Manâqib asy-Syafi‘e: 1/469) Menurut ath-Tharthusyi Rahimahullâh, asal makna bid‘ah adalah:

Ertinya: Asal perkataan bid‘ah adalah daripada perkataan al-ikhtirâ‘ ( ِ اإلِخ َََََََََََّّّّّّّّّّّْرتَِاع) yang bermakna ciptaan iaitu sesuatu yang diadakan tanpa asal sebelumnya dan tanpa contoh untuk diteladani dan tiada kebiasaan sepertinya. (Kitab al-Hawâdits wa al-Bida‘: 108)

Hukum Mengadakan Dan Menghadiri Majlis Khatam Al-Qur’an

Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata:

Ertinya: Sesungguhnya khatam bagi orang yang membaca al-Qur’an secara bersendirian adalah sunat ketika dia sedang sembahyang. Manakala bagi sesiapa yang mengkhatamkan bacaan al-Qur’an di luar sembahyang seperti sekumpulan jemaah yang khatam secara beramai-ramai, maka adalah sunat khatam pada awal malam atau awal siang. (Al-Adzkâr: 110)

Begitu juga adalah sunat menghadiri majlis khatam al-Qur’an sepertimana yang dikatakan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh:

Maksudnya: Adalah sunat menghadiri majlis khatam al-Qur’an bagi orang yang membaca al-Qur’an dan bagi orang yang kurang baik bacaannya. (Al-Adzkâr: 177)

Demikian juga kata asy-Syeikh asy-Syarbini al-Khathib Rahimahullâh:

Ertinya: Adalah sunat untuk khatam al-Qur’an pada awal siang atau malam, berdo‘a selepasnya, menghadirinya, mengulangi semula bacaan al-Qur’an untuk mengkhatamkan lagi serta memperbanyakkan bacaan al-Qur’an. (Mughnî al-Muhtâj: 1/74)

Menurut al-Bujairimi Rahimahullâh, ‘menghadiri’ yang dimaksudkan oleh asy-Syeikh asy- Syarbini al-Khathib Rahimahullâh dalam ungkapan di atas adalah menghadiri majlis khatam al-Qur’an. Kata al-Bujairimi Rahimahullâh:

Ertinya: (Dan [sunat] menghadirinya) iaitu menghadiri khatam yakni menghadiri majlis khatam. (Bujairimi ‘ala al-Khathib: 1/490)

Hadits Dan Atsar Mengenai Majlis Khatam Al-Qur’an

Mengadakan majlis kebaikan seperti khatam al-Qur’an ini disebut dalam hadits dan atsar.

1. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menyuruh kaum wanita untuk menghadiri majlis-majlis berkebajikan. Dalam hadits shahîh riwayat Muslim Rahimahullâh, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Para wanita yang sedang haidh menjauhi tempat-tempat sembahyang, tetapi mereka boleh mengikuti majlis kebajikan dan majlis do‘a untuk kaum Muslimin. (Hadits riwayat Muslim) 2. Atsar dengan isnâd shahîh pula, riwayat ad-Darimi Rahimahullâh daripada Tsabit Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Apabila Anas Radhiallâhu ‘anhu mengkhatamkan al-Qur’an, dikumpulkannya anak dan ahli keluarganya lalu beliau pun berdo‘a untuk mereka (dalam majlis itu).

(Hadits riwayat ad-Darimi)

3. Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi Rahimahullâh dengan isnâd yang shahîh daripada al-Hakam Radhiallâhu ‘anhu, dia berkata:

Maksudnya: Mujahid mengutus kepadaku dan berkata: “Sesungguhnya kami memanggilmu kerana kami hendak mengkhatamkan al-Qur’an. Sesungguhnya telah sampai kepada kami bahawa do‘a itu adalah mustajâb ketika khatam al-Qur’an”. Dia berkata: “Maka mereka pun berdo‘a dengan beberapa do‘a.” (Hadits riwayat ad-Darimi)

Berdasarkan pengenalan mengenai bid‘ah serta hadits dan atsar yang telah disebutkan di atas menunjukkan bahawa mengadakan majlis khatam al-Qur’an bukanlah bid‘ah. Ia tidak termasuk bid‘ah. Malah ulama mazhab asy-Syafi‘e berpendapat, adalah sunat menghadiri majlis khatam al-Qur’an itu.

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Ismail bin Omar Abd. Aziz, Mufti Kerajaan juga berkata mengenai mengadakan majlis khatam al-Qur’an: “Mengadakan majlis khatam sesudah membaca atau mengaji 30 juzu’ al-Qur’an itu, kemudian berdo‘a setelah khatam itu, adalah sunat dan maksud majlis khatam itu kerana menzahirkan syukur kepada Allah Ta‘ala di atas ni‘mat pandai mengaji al-Qur’an dan kerana berdo‘a pada majlis khatam al-Qur’an itu adalah mustajâb dan lekas diterima oleh Allah Ta‘ala akan do‘a orang yang berdo‘a itu.” (Fatwa Mufti Kerajaan:16/85)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10743