Makan Dan Membeli Daging di Kedai Orang Bukan Islam
Soalan: Apakah hukum orang Islam makan di kedai kepunyaan orang China yang menjual makanan halal atau membeli daging di pasar raya kepunyaan orang China?
Jawapan: Barangkali yang dimaksudkan dengan orang China dalam soalan di atas ialah orang China bukan beragama Islam, kerana jika orang China Muslim tentu sahaja tidak berbangkit soalan di atas. Jadi dapatlah diandaikan bahawa soalan tersebut berkisar tentang dua perkara berikut ini:
1. Hukum makan di kedai kepunyaan orang bukan Islam.
2. Hukum membeli daging yang dijual di kedai orang bukan Islam.
1. Orang Islam Makan di Kedai Kepunyaan Orang Bukan Islam
Islam menuntut penganutnya supaya memenuhi keperluan makan dan minum mereka daripada sumber yang baik-baik serta halal. Malah wajib berusaha mendapatkan bahan makanan dan minuman daripada jenis tersebut. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam hadits Baginda, daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah itu Baik (Suci daripada segala kekurangan). Allah tidak menerima kecuali yang baik, dan Allah telah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman dengan apa yang diperintahkanNya kepada para rasul. Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman: “Wahai para rasul! Makanlah daripada makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal salih. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Dan Allah berfirman lagi: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada sumber rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepada kamu.” (Hadits riwayat Muslim dan at-Tirmidzi)
Al-Imam an-Nawawi Rahimahullâh telah menjelaskan maksud ٌ ِبََّّاطَي dalam hadits di atas sebagai bukan sahaja benda halal, bahkan juga suci daripada unsur-unsur syubhah. (Shahîh Muslim bi Syarh an-Nawawi: 4/2796)
Maka berasaskan pendapat ini, perintah memakan bahan-bahan yang baik itu bukan sahaja pada meninggalkan benda-benda yang tidak halal, malah juga menjauhi makanan yang syubhah.
Larangan mengambil bahan-bahan syubhah ini dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan daripada Nu‘man bin Bashir Radhiallâhu ‘anhu. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara muyabbahât (tidak jelas status halal atau haramnya) yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa yang menjaga perkara-perkara musyabbahât itu, telah menjaga dia kesucian agamanya dan kehormatannya. Barang siapa yang terjerumus ke dalam syubhah adalah seperti pengembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir sahaja dia terjatuh ke dalamnya. Ketahuilah setiap raja itu mempunyai kawasan larangannya, maka sesungguhnya larangan Allah di bumiNya ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kedai Makan Orang Bukan Islam
Termasuk dalam erti kata kedai makan itu ialah restoran, kedai kopi (café), kedai kek (bakery), kedai penyajian makanan (catering), warung, gerai dan sebagainya. Jika dikaitkan dengan orang bukan Islam, maka persoalannya mencakup aspek pemilikan, pengurusan dan pelaksanaan.
Untuk mengkategorikan makanan yang dijual di kedai makan itu halal adalah bergantung kepada siapa tuan punya, pengurus, tukang masak, pelayan, pembersih di sesebuah kedai makan itu, apa bidang kuasa pihak pentadbir kedai tersebut terhadap kelangsungan perjalanan kedai, dan bagaimana makanan-makanan yang dijual itu disediakan.
Pada umumnya, kedai makan yang tidak terlepas daripada menempatkan orang bukan Islam sama ada sebagai pemilik, pengurus atau pelaksana, tidak akan terlepas daripada dikaitkan dengan elemen-elemen syubhah.
Tinggalkan Dakwaan Orang Yang Bukan Ahli
Menurut hukum syara‘, dakwaan orang bukan Islam atau persaksian mereka tentang sesuatu perkara yang mempunyai hubung kait dengan hukum halal dan haram, adalah tidak boleh dii‘timâdkan dan tidak sah diperakukan. Ini kerana mereka bukan ahli dalam bab syahâdah, yang dengan sendirinya menyebabkan apa jua yang disandarkan kepada mereka itu tidak boleh dijadikan sebagai hujjah syar‘iyyah atau keterangan yang sah. Adapun kerja atau urusan menetapkan hukum halal haram sesuatu makanan itu hanya tertentu kepada orang Islam semata-mata.
Berkata asy-Syeikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullâh dalam kitabnya Mughnî al- Muhtâj:
Ertinya: Tidak diterima persaksian orang kafir ke atas orang Islam dan tidak juga (diterima persaksian mereka) ke atas orang kafir. (Mughnî al-Muhtâj: 6/339)
Hukum halal atau haram adalah berkait rapat dengan pahala dan dosa. Orang bukan Islam tidak mengerti ini. Mereka juga tidak tahu langsung definisi halal atau haram dalam Islam. Apatah lagi untuk menghubungkan halal dan haram itu dengan pahala dan dosa? Antara sebab-sebab penglibatan mereka tidak dapat diterima ialah:
i. Pada umumnya, kefahaman mereka tentang halal dan haram dalam Islam adalah tidak betul. Mereka menyangka benda haram itu mungkin hanya khinzîr, padahal kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik juga menjadi haram, jika ia bangkai (mati dengan tidak disembelih).
ii. Daging-daging yang dijadikan bahan masakan mereka adakah benar diperolehi melalui pengendalian yang sah menurut syara‘? Adakah boleh diyakini ia dibekalkan oleh pengusaha-pengusaha yang diiktiraf dan diluluskan oleh pihak yang berwajib? Siapakah yang memperakuinya? Adakah daripada pihak berautoriti atau sekadar dakwaan oleh pihak yang berkepentingan dengan kedai itu sahaja?
iii. Katakan daging-daging itu didapatkan daripada sumber halal. Tetapi sebelum dimasak, adakah ia sudah dibersihkan secara yang semestinya sehingga ia menjadi suci bersih? Umpamanya, daging yang dibersihkan dengan air adakah ia masih mengandungi sisa darah ataupun telah hilang warna darah itu sama sekali? Kita akui bahawa orang bukan Islam bukanlah tidak tahu langsung tentang kebersihan, hygiene, ISO, kualiti pemakanan dan sebagainya. Tetapi dari segi kefahaman, adakah pemahaman mereka tentang kebersihan itu selari yakni menepati dengan konsep kebersihan dalam Islam? Mungkin darah yang sedikit yang dianggap najis oleh orang-orang Islam, sebaliknya, daging yang masih berlumuran darah akan dianggap bersih oleh orang bukan Islam.
Pokoknya orang bukan Islam tidak tahu apa itu najis dan apa itu mutanajjis. Mereka tidak tahu najis mukhaffafah, mutawassithah atau mughallazhah. Sedang bagi orang Islam pula, memakan yang thayyibât (makanan-makanan yang baik), dan meninggalkan khabâ’its (najis atau kotoran) itu sudah menjadi satu tuntutan agama, dan kebersihan pula separuh daripada iman.
iv. Bertolak daripada kejahilan mereka tentang najis dan bukan najis, siapakah yang dapat menjamin barang-barang atau perkakas-perkakas yang mereka gunakan untuk memasak itu diyakini kesuciannya? Adakah tempat atau perkakas memasak seperti periuk, kuali, pisau, sudu, garpu, ‘sesaban’ (alas pemotong) dan alat-alat pembersih yang lainnya seperti sponge dan sabun tidak pernah digunakan bagi perkara-perkara yang bernajis seperti babi dan sebagainya? Adakah benda-benda itu tidak dicampur aduk atau bermasuk-masukan antara yang najis dengan yang tidak najis?
v. Bagaimana pula bahan-bahan campuran yang lain dalam masakan seperti kicap, sos, bahan perasa dan lain-lain? Siapakah yang dapat memastikan semua bahan-bahan tersebut adalah halal?
Perkara-perkara seperti di atas ini, paling tidak, dapat mencetus rasa ragu dalam diri seseorang, sedang ragu itu menyumbang kepada syubhah, dan syubhah pula boleh menjerumuskan pemakannya kepada perkara yang haram juga.
Dalam makna yang sama, peranan pemilik atau pengurus adalah memberi kesan terhadap status makanan yang disediakan oleh kedai mereka, kerana pemilik atau pengurus itu tetap memiliki pengaruh yang besar terhadap operasi kedai mereka, sekalipun mereka mendakwa kerja-kerja di kedai itu dijalankan sepenuhnya oleh orang lain. Begitu juga, tanpa mengira sama ada kedai kepunyaan orang bukan Islam itu dikongsi sama oleh orang Islam, atau dijalankan oleh pekerja-pekerja Islam, adalah masih tidak dapat menafikan adanya kemungkinan pemilik atau pengurus bukan Islam itu akan membawa masuk atau menyelitkan sama ada dengan senghaja atau tidak atau kerana jahil, perkara-perkara berupa elemen dan unsur syubhah di dalam makanan yang disediakan itu.
Wara‘ Adalah Jalan Yang Selamat
Dengan adanya kemungkinan-kemungkinan di atas, dan juga demi memandang betapa pentingnya perkara pemakanan dalam Islam, maka tidak ada langkah atau cara yang paling penting diambil oleh orang Islam selain berhati-hati dalam soal pemilihan makanan dan minuman mereka. Dengan kata lain, orang Islam semestinyalah sentiasa peka, waspada, cerewet dan tidak bersikap sambil lewa dalam menentukan apa yang baik diambil untuk dimakan dan apa pula yang tidak. Dalam agama, kita digalakkan supaya berlaku wara‘ dalam segala yang berkait dengan perkara halal, haram dan juga syubhah.
Fuqahâ’ telah mengertikan wara‘ itu sebagai:
Ertinya: Menjauhi segala yang syubhah kerana takut terjatuh kepada yang haram. (Mu‘jam Lughah al-Fuqahâ’)
Imam al-Ghazali pula menyebutkan ada empat tingkatan wara‘ itu:
i. Wara‘ orang-orang ‘âdil iaitu golongan yang cuma menjauhi perkara yang jelas haramnya seperti arak, khinzîr, barangan yang dicuri atau dimiliki melalui cara yang haram dan sebagainya.
ii. Wara‘ orang-orang shâlihîn iaitu golongan yang meninggalkan perkara yang haram dan perkara syubhah kerana takut perkara syubhah tersebut akan menjerumuskan mereka kepada yang haram.
iii. Wara‘ orang-orang muttaqîn iaitu golongan yang bukan setakat menjauhi perkara yang haram dan syubhah, malah meninggalkan semua yang dikhuatiri boleh memberi kesan atau mendorong kepada yang haram.
iv. Wara‘ orang-orang shiddiqqîn iaitu golongan yang menjauhi semua perkara yang dibuat bukan kerana Allah atau tidak atas dasar taqwa kepada Allah, sekalipun perkara yang dilakukan itu jelas kehalalannya. (Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, 2/120-124)
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda melalui hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sebaik-baik agama kamu dan ketaatan kamu ialah wara‘. (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Dengan meneladani sifat taqwa dan wara‘ sepertimana yang diamalkan oleh para shâlihîn, sudah memadai bagi orang Islam untuk menghindari perkara-perkara syubhah. Berwara‘ tidak hanya akan menghindarkan diri seseorang daripada perkara-perkara yang haram semata-mata, bahkan ia turut menjauhkan daripada pintu-pintu dan jalan-jalan menuju kejahatan.
Ilmu fiqh turut memperuntukkan satu kaedah di mana segala pintu dan jalan kejahatan atau dosa-dosa itu ditutup dan dihadang. Kaedah inilah yang dinamakan sebagai ِ سَََّّد ُّ الذَّرَائِع. Antara pintu dan jalan kejahatan tersebut ialah makanan dan minuman yang tidak diketahui atau diragukan status kehalalannya. Betapa tidak, makanan dan minuman yang dicerna oleh seseorang itu secara semula jadinya akan menjadi darah daging dalam tubuhnya. Jika baik yang dimakan itu, akan baiklah keperibadiannya. Ini sebenarnya akan melibatkan secara langsung soal ketaatan seseorang pada melakukan perkara-perkara yang diperintahkan oleh agama.
Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallâhu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: Sesiapa memakan makanan yang baik-baik dan berbuat sesuai dengan sunnah dan manusia merasa aman daripada kejahatannya, nescaya dia masuk syurga. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan al-Hakim)
Begitu sebaliknya, memakan benda-benda yang haram atau syubhah itu akan menyumbang kepada maksiat, fâsiq dan akhirnya kerugian bagi diri pemakannya sendiri.
Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda melalui hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhuma:
Maksudnya: Setiap daging manusia yang tumbuh daripada benda-benda yang haram, maka neraka adalah lebih utama baginya. (Hadits riwayat ath-Thabarani)
Daripada kaedah yang diberikan di atas, adalah jelas bahawa kedai makan orang bukan Islam itu bukanlah kedai makan yang boleh dianggap selamat bagi orang-orang Islam dari segi kesucian dan kehalalan makanannya. Islam sangat mengambil berat akan kebaikan seluruh penganutnya. Antara bukti tentang kebenaran kenyataan ini ialah larangan ke atas orang Islam daripada mendekati atau mengunjungi kedai-kedai makan yang menyediakan makanan-makanan yang tidak diketahui kehalalannya.
2. Membeli Daging Yang Dijual Di Kedai Orang Bukan Islam Perlu difahami, semua jenis daging daripada binatang yang halal dijadikan makanan seperti sapi, kerbau, kambing, ayam dan sebagainya, asalnya tetap haram dimakan oleh orang Islam selagi tidak diketahui bagaimana binatang-binatang itu mati sebelumnya. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata dalam kitabnya at-Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Asal pada perempuan-perempuan (untuk digauli) dan bangkai-bangkai binatang (untuk dimakan) adalah haram.
Pengharaman itu kekal sehinggalah diketahui, diyakini, dan disaksikan sendiri binatang-binatang itu telah disembelih mengikut cara yang ditetapkan dalam Islam. Pengetahuan atau keyakinan yang dimaksudkan adalah tidak memadai jika hanya diperolehi dengan sangkaan, kebiasaan ataupun maklumat melalui perkhabaran yang disampaikan oleh orang lain terutama daripada yang bukan ahli dalam bab syahâdah seperti yang telah dijelaskan. Dasar ini bersumber daripada kaedah yang diguna pakai dalam ilmu fiqh yang menggariskan setiap sesuatu yang diyakini itu tidak dapat dihilangkan atau dihapuskan oleh sangkaan atau syak semata.
Ertinya: Keyakinan itu tidak dapat dihilangkan dengan sangkaan.
Dalam konteks binatang-binatang yang hendak dijadikan makanan, apa yang jelas dan yakin ialah daging-daging binatang itu pada asalnya adalah haram untuk dimakan sama ada ia masih hidup ataupun telah mati. Apa yang menghalalkannya ialah keyakinan setanding pengetahuan tentang asal hukum tersebut bahawa binatang-binatang itu telah disembelih menurut cara yang diajarkan oleh syara‘. Sekadar syak atau sangkaan dalam perkara ini belumlah dapat menghilangkan hukum haram daging-daging itu, sebaliknya ia tetap dianggap bangkai yang wajib dijauhi dan ditinggalkan.
Berdasarkan sandaran-sandaran ini, orang Islam adalah dituntut untuk memastikan setiap daging yang mereka ambil untuk dijadikan makanan itu adalah daripada jenis yang diketahui dan telah dikenal pasti cara pengendaliannya. Perkara ini wajib dititikberatkan oleh setiap orang Islam dan inilah yang telah sering diingatkan dalam fatwa-fatwa yang terdahulu. Perhatikan saja, umpamanya, kata-kata Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz dalam siri fatwa bilangan 3/1979:
“Jika tidak diketahui siapa orang yang menyembelih binatang dan ayam itu, dengan dilihat mata sendiri atau didengar daripada seorang Islam yang bukan fâsiq, ia melihat binatang-binatang atau ayam-ayam itu telah disembelih cara Islam oleh orang Islam maka tidaklah boleh bagi mana-mana orang Islam makan daging binatang, ayam atau burung-burung itu, sama ada mentah atau sudah diolah dan dimasukkan dalam tin atau sebagainya.”
Wasîlah Menjalin Keyakinan
Melalui penjelasan yang diberikan, terdapat beberapa cara atau wasîlah untuk mendapatkan pengetahuan yang boleh dikenal pasti dapat memberikan keyakinan atau kepastian dalam diri seseorang terhadap kedudukan daging-daging yang disembelih.
Antara wasîlah tersebut adalah:
i. Dengan mengendalikan sendiri daging-daging tersebut mengikut cara-cara yang telah ditetapkan oleh syara‘. Dalam hal ini, penyembelih wajiblah mengetahui terlebih dahulu rukun-rukun, syarat-syarat, hukum-hakam dan selok-belok berhubung proses penyembelihan binatang dalam Islam. Pengetahuan tentang perkara-perkara yang diperlukan dengan sendirinya berkait rapat dengan keyakinan tentang pengendalian daging-daging secara sah dan betul.
ii. Menyaksikan dan melihat sendiri proses penyembelihan itu serta memastikan ia menepati piawaian yang ditetapkan oleh Islam. Ini termasuklah mengetahui dan mengenal-pasti siapa penyembelihnya, apa alat yang digunakan untuk menyembelih, bagaimana status kesihatan binatang yang hendak disembelih dan adakah cara penyembelihan yang dilakukan tidak melanggar peraturan yang digariskan.
iii. Mendengar perkhabaran atau maklumat yang disampaikan oleh dua orang saksi (syâhid) atau lebih yang berkelayakan menurut syarat-syarat bab asy-Syahâdah. Ini bermakna kedua-dua saksi tersebut antara lain mestilah beragama Islam dan bersifat ‘âdil. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail contohnya menerusi kata-kata beliau di bawah ini yang dinukil daripada siri fatwa bilangan 43 tahun 1981:
“Akan tetapi apabila datang dua laki-laki Islam yang ‘âdil menurut syarat-syarat dalam kitab saksi atau bab asy-Syahâdah dari kitab-kitab fiqh mengatakan oleh keduanya bahawa saya telah lihat orang Islam itu polan telah menyembelih dan memotong leher lembu itu atau kerbau itu atau kambing itu atau ayam itu atau itik itu (yakni lembu yang tertentu) maka ketika itu halallah bagi orang Islam itu membeli dan menjual dan memasak dan memakan daging lembu itu dan qiyâskanlah kerbau dan kambing dan ayam dan itik yang tertentu itu dengan lembu yang tertentu di atas ini.”
Berhubung sifat ‘âdil yang perlu ada bagi kedua orang saksi, Allahyarham telah menerangkan kedudukan persaksian orang fâsiq dalam perkara penyembelihan binatang ini sebagai berikut:
“Dalam perkara sembelihan ini, maka perkataan orang fâsiq jika ia berkata: “Saya sendiri sembelih ayam ini atau kerbau ini,” maka boleh diterima dan dipakai cakapnya dan ayam yang disembelihnya atau kerbau yang disembelihnya itu halal.”
“Adapun jika orang fâsiq berkhabar atau memberitahu bahawa Muhammad atau Ali atau Damit menyembelih ayam itu atau kerbau itu, maka tidaklah boleh dipakai cakap atau perkhabarannya itu, kerana orang fâsiq itu telah mengabaikan hak Allah Ta‘ala, seperti sembahyang. Dari itu kita tidak pakai perkataannya pada hak manusia seperti katanya kambing itu disembelih oleh Muhammad kerana kita ragu-ragukan pada benar, atau bohongnya itu.” (Siri Fatwa 75/1978)
Ulama mendefinisikan orang ‘âdil itu sebagai “orang yang menjauhi dosa-dosa yang besar, serta tidak berpanjangan melakukan dosa-dosa yang kecil.” (Mughni al-Muhtaj 6/345-346)
Orang fâsiq itu pula sebaliknya lawan bagi orang-orang yang ‘âdil. Memandangkan signifikan berhubung perbezaan antara saksi yang ‘âdil dan fâsiq amat besar, maka perkara ini tidaklah boleh dipandang ringan bahkan perlu diambil kira dan dititikberatkan dalam menentukan status halal atau haramnya daging-daging yang melalui proses penyembelihan. Jika pengendalian daging-daging itu memerlukan proses yang lebih panjang sebelum ia sampai ke tangan pihak ketiga contohnya pembeli, persaksian syâhid perlu mencakup seluruh perjalanan proses tersebut. Ini termasuklah dari mula proses penyembelihannya, melapah, mempaket, mengangkut dan sehinggalah ke peringkat membuka semula kotak-kotak tersebut untuk dijual. Ketiadaan saksi Islam yang ‘âdil, walaupun hanya pada salah satu peringkat pengendalian di atas, boleh menyebabkan daging-daging itu diragukan kehalalannya dan diumpamakan seperti bangkai yang haram dimakan serta wajib ditinggalkan.
Berhubung perkara ini, Allahyarham telah berkata:
“Jikalau seal atau pateri bungkus (yang mengandungi daging-daging) itu dibuka oleh orang bukan Islam, maka daging-daging itu tetap menjadi bangkai, dan tiadalah boleh dan tiadalah sah dan tiadalah halal dibeli oleh orang Islam dan tiada halal dimasak oleh orang Islam dan tiada halal dimakan oleh orang Islam.
“Sekarang didapati dan diketahui bahawa daging isi bungkus atau isi kotak itu tiada disaksikan oleh dua orang saksi Islam yang adil dan kotak-kotak atau bungkus-bungkus itu telah sampai ke tangan bukan orang Islam, sama ada daging itu disembelih oleh orang Islam atau tiada. Belum diketahui dan belum dipastikan. Maka tetaplah daging dalam kotak atau bungkus itu bangkai tiada halal dijual, tiada halal dimasak, tiada halal dimakan oleh orang Islam.” (Siri Fatwa 43/1981)
Amalan Negara Brunei Darussalam
Dalam suasana kehidupan yang ada, terutama dalam konteks hidup bermasyarakat, perkara mendapatkan bekalan-bekalan daging adalah melibatkan isu kepentingan awam. Contohnya di Negara Brunei Darussalam sendiri, mendapatkan bekalan daging yang stabil dan berterusan adalah antara perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada keperluan seharian penduduk negara ini. Biasanya, keperluan tersebut hanya dapat dipenuhi dalam kuantiti yang bukan sedikit bahkan memerlukan adanya sektor perusahaan atau perindustrian yang terkawal dan bersistematik di negara ini. Perkara ini sebenarnya terkandung di bawah tanggungjawab pemerintah, raja atau ketua yang berkewajipan menjaga mashlahat sesuatu kumpulan masyarakat itu.
Negara Brunei Darussalam beruntung kerana mempunyai kerajaan yang peka dan bertanggungjawab terhadap perkara ini di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah. Manifestasi kepimpinan baginda bukan sahaja terlihat melalui adanya sektor perusahaan yang mampu membekalkan keperluan penduduk Negara Brunei sehari-hari, bahkan dengan adanya inisiatif baginda dalam menubuhkan badan-badan yang berwajib dalam mengkaji, mengawal, memantau, dan memeriksa hal ehwal daging-daging yang dibekalkan dari aspek halal haramnya.
Sejauh yang diketahui, orang-orang persendirian ataupun pengusaha-pengusaha yang ingin mendapatkan lesen kelulusan bagi menyembelih binatang-binatang, khususnya bagi tujuan komersil, perlu memenuhi syarat-syarat serta mengetahui hukum-hakam, etika, peraturan dan selok-belok berhubung cara penyembelihan yang sah dalam syara‘. Pusat-pusat penyembelihan hanya akan diberikan sijil untuk menjalankan operasi mereka setelah diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam Brunei bahawa pusat tersebut layak mengendalikan kerja-kerja penyembelihan menurut piawaian syara‘ yang ditetapkan. Bukan setakat itu, pusat-pusat tersebut selalunya akan diawasi dan dipantau oleh pegawai-pegawai yang dilantik bagi memastikan peraturan-peraturan yang digariskan dipatuhi dan diselenggara.
Begitu juga halnya dengan syarikat-syarikat dari luar negeri, hanya beberapa pengusaha yang dikenal pasti dan telah melalui proses penilaian yang ketat dibenarkan untuk membawa masuk produk daging mentah mereka ke negara ini. Daging-daging yang tidak diketahui siapa yang membekalkannya atau yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan Brunei, umpamanya daging yang dibawa atau diseludup dari sempadan negara, adalah diragukan kehalalannya dan akan ditahan, dirampas dan dimusnahkan agar ia tidak diedarkan di negara ini.
Kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan di negara ini juga telah diberi garis panduan agar mengasingkan barang-barang bukan makanan untuk orang Islam di tempat yang khas supaya tidak mengelirukan para pembeli daripada kalangan orang Islam. Tindakan tegas biasanya diambil ke atas syarikat atau kedai-kedai yang melanggar dan tidak mengambil perhatian akan peraturan yang telah ditetapkan.
Segala peraturan, piawaian, garis pandu, usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Mulia di negara ini adalah bagi menandakan bekalan-bekalan daging mentah di negara ini berada di tahap terkawal dan berjalan lancar. Seperti difahami, daging-daging inilah yang dijual di kedai-kedai dan gedung-gedung perniagaan. Dengan adanya kawalan peraturan melalui undang-undang (Akta Daging Halal Penggal 183), maka daging-daging yang dijual di Negara Brunei Darussalam sekalipun di supermarket pada setakat ini tidaklah meragukan.
Tinggalkan Apa Yang Meragukan
Apa yang menjadi amalan di negara ini, bagaimanapun, tidak dapat menolak sama sekali adanya ruang bagi sesetengah orang untuk masih merasa ragu dengan kualiti kehalalan daging yang dibekalkan. Tidak dapat disangkal banyak faktor yang boleh sahaja merubah sesuatu yang diyakini halal menjadi syubhah dan meragukan. Jika ini terjadi, maka berwara‘lah. Inilah jalan yang selamat. Ulama telah menggariskan apa yang meragukan atau yang tidak dapat dipastikan itu supaya ditinggalkan sahaja sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam yang berbunyi:
Maksudnya: Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ibnu Hibban)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10748
