Makan Ikan Yang Diberi Makan Najis
Soalan: Betulkah pendapat yang mengatakan bahawa haram memakan ikan yang diberi makan dengan makanan najis? Dipohonkan pandangan dan pendapat Pehin Mufti mengenainya. Jawapan:
Binatang Yang Makan Najis Dan Tahi Menurut ad-Dumairi Rahimahullâh binatang yang makan najis dan tahi dipanggil al-jallâlah. Di dalam kitabnya Hayâh al-Hayawân al-Kubrâ beliau menyatakan:
Ertinya: Dan al-jallâlah itu adalah binatang yang makan tahi dan najis-najis sama ada binatang itu unta, sapi, kambing, ayam, angsa, ikan atau selainnya daripada binatang yang boleh dimakan.
Hukum Makan Binatang Al-Jallâlah Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam menegah daripada memakan daging binatang al-jallâlah (binatang yang makan tahi dan najis) dan meminum susunya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah) Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata di dalam al-Majmû‘ bahawa menurut pendapat al-ashah tegahan tersebut adalah bersifat makruh sahaja bilamana daging atau susu binatang al-jallâlah itu berbau seperti bau najis. Perkara ini ditegaskan lagi oleh al-Malibari Rahimahullâh dengan katanya:
Ertinya: Dan makruh hukumnya memakan daging binatang jallâlah sekalipun bukan daripada jenis binatang ternakan (unta, lembu dan kambing) seperti ayam jika terdapat padanya bau najis.
Sayyid al-Bakri Rahimahullâh menambah bahawa seumpama bau juga ialah rasa dan warna sebagaimana ibarat yang digunakan oleh Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam Tuhfah al- Muhtâj. Disebut di sini bau sahaja kerana daging binatang al-jallâlah kebiasaannya baunya akan berubah seperti bau najis. Tetapi jika daging binatang al-jallâlah itu tidak berubah rasa, warna atau baunya seperti najis, maka adalah harus dan tidak makruh hukumnya memakan daging al-jallâlah tersebut sekalipun binatang al-jallâlah itu tidak makan kecuali yang najis sahaja. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/586-587)
Begitu juga, jika sekiranya binatang al-jallâlah yang berbau itu dikurung (dikuarantin) untuk diberi makanan yang suci sehingga hilang bau atau kesan najis padanya kemudian disembelih, maka adalah tidak makruh memakan daging binatang al-jallâlah tersebut. Adapun kadar had makanan yang diberi kepada binatang al-jallâlah dan tempoh masa ia dikurung (dikuarantin) untuk menghilangkan hukum makruh tersebut tidaklah ditentukan kadar dan tempohnya. Ia adalah tertakluk kepada adat kebiasaan yang sekira-kira dijangka bau atau kesan najis tersebut akan hilang. (Al-Majmû‘: 9/27)
Tersebut di dalam kitab Hasyiyah asy-Syarqawi:
Ertinya: Tidak ada kadar (yang tepat) bagi tempoh masa memberi makan (untuk menghilangkan kesan najis). Penentuan kadar tempoh masa dengan empat puluh hari pada unta, tiga puluh hari pada sapi, tujuh hari pada kambing dan tiga hari pada ayam adalah berdasarkan adat kebiasaan sahaja. Maka jika hilang (kesan najis) dengan mengambil tempoh masa yang kurang daripadanya, maka tempoh masa itu boleh dii‘tibâr (sebagai tempoh masa yang dapat menghilangkan kesan najis), atau tidak hilang (kesan najis) dengan tempoh masa yang tersebut, maka tempoh masa yang dii‘tibâr (sebagai tempoh masa yang boleh menghilangkan kesan najis) hendaklah dengan menambah kadar tempoh masa-masa yang tersebut ini.
Memberi Makan Binatang Yang Boleh Dimakan Dengan Makanan Najis Perlu diingat bahawa memberi makan binatang yang boleh dimakan dengan makanan najis hukumnya adalah makruh sebagaimana kata Ibnu Hajar Rahimahullâh di dalam Tuhfah al- Muhtâj:
Ertinya: Dan makruh hukumnya memberi makan binatang yang boleh dimakan dengan benda najis (seperti tahi dan babi).
Menjual Binatang Al-Jallâlah
Adapun menjual binatang al-jallâlah yang mati setelah disembelih sebelum dikurung (dikuarantin) untuk diberikan makanan suci agar hilang padanya kesan najis, hukumnya juga adalah makruh, kerana penjualan itu akan menjadi jalan menuju ke arah berlakunya suatu tujuan yang makruh iaitu memakan daging al-jallâlah yang berubah rasa, warna atau baunya seperti najis. Ini adalah menurut kaedah:
Ertinya: Bagi perkara-perkara yang menjadi jalan-jalan (menuju ke arah berlakunya suatu tujuan, hukumnya adalah seperti) hukum tujuan-tujuannya.
Tetapi jika binatang al-jallâlah itu dijual dalam keadaan hidup yang ada kesempatan untuk dikurung (dikuarantin) untuk diberikan makanan suci agar kesan najis padanya hilang, maka penjualan itu adalah harus.
Maka pada dasarnya tidaklah haram memakan ikan yang diberi makan makanan najis. Tetapi jika daging ikan tersebut berubah rasanya, baunya atau warnanya seperti najis, maka adalah makruh hukum memakannya. Jika rasa, bau atau warnanya tidak berubah seperti najis, maka adalah harus memakannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10752
