Maksud ‘Mufti’, Tugas Dan Fungsinya
Soalan: Apa sebenarnya maksud ‘MUFTI’, dan apakah tugas dan fungsinya?
Jawapan: Para ulama mendefinisikan ‘mufti’ itu dengan berbagai pengertian. Antaranya:
1. Mufti ialah orang yang ‘âdil, diterima riwayatnya dan berusaha mencurahkan tenaga fikirannya untuk mengeluarkan hukum syara‘ daripada suatu dalil. (Asnâ al-Mathâlib: 4/280)
2. Mufti ialah orang yang mengkhabarkan hukum Allah Ta‘ala disebabkan dia mengetahuinya berserta dalilnya. (Shifah al-Fatwâ wa al-Muftî wa al-Mustafti li Ibni Hamdan al-Hanbali: 4)
3. Mufti ialah orang yang mempunyai kemampuan untuk mengetahui kedudukan hukum-hukum berbagai kejadian dari segi syara‘ berserta dalilnya dan dia hafal kebanyakan hukum-hukum fiqh. (Shifah al-Fatwâ wa al-Muftî wa al-Mustafti li Ibn Hamdan al-Hanbali: 4)
4. Mufti ialah faqîh (orang yang alim dalam hukum syara‘). (Al-Bahr al-Muhîth li az- Zarkasyi: 6/305)
Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa mufti ialah orang yang berkelayakan dalam memberikan penjelasan hukum syara‘ terhadap sesuatu permasalahan agama.
Pengertian di atas menggambarkan bahawa tugas mufti ialah menjelaskan ketentuan hukum syara‘ sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Mereka merupakan golongan ulama yang menjadi pewaris nabi-nabi dalam memikul tanggungjawab menerangkan dan menyampaikan ilmu-ilmu agama. Perkara ini dijelaskan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana sabda Baginda:
Maksudnya: Dan sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi dan sesungguhnya para nabi itu tidak mewariskan dinar atau dirham, tetapi mereka mewariskan ilmu. (Hadits riwayat Abu Daud)
Memandangkan besar dan pentingnya tanggungjawab tersebut, kedudukan para ulama itu disifatkan umpama bintang-bintang di langit. Mereka memandu dan memberi petunjuk kepada orang-orang yang telah sesat kerana kejahilan. Masyarakat sangat berhajat kepada mereka sehingga hajat tersebut lebih utama daripada hajat terhadap makanan.
Menurut Imam an-Nawawi, melantik mufti selaku orang yang berperanan mendirikan hujah-hujah bagi mensabitkan kewujudan Allah Ta‘ala dan kenabian serta menghuraikan kemusykilan-kemusykilan yang berlaku pada agama adalah fardhu kifâyah. Tujuannya ialah untuk menyelesaikan segala kemusykilan dan kesamaran.
Jawatan mufti atau mengangkat mufti pada mana-mana negeri Islam atau bagi umat Islam di mana-mana tempat adalah sangat mustahak dan penting bagi keteguhan umat Islam.
Ketiadaan orang yang berkebolehan memberi fatwa (mufti) pada sesebuah masyarakat boleh mengundang kepada peningkatan tahap kejahilan dan kesesatan serta huru-hara atau kacau-bilau dalam perkara agama mereka. Lalu, mereka akan menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah, mengharamkan apa yang dihalalkanNya dan membuat perlakuan maksiat dan kemungkaran. Mereka akan terus hanyut dalam kesesatan, kerana menyangka bahawa diri mereka berada pada jalan yang benar. Tetapi sebenarnya tidak.
Justeru itu, mufti mempunyai peranan yang besar kepada masyarakat dan umat manusia.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, di samping tugas asal seperti yang diterangkan di atas, sebagai tambahan, mufti juga menjalankan tugas-tugas lain serta turut dilantik dalam berbagai jawatankuasa atau lembaga yang berkaitan dengan perkara agama, kenegaraan dan adat istiadat. Tujuannya supaya mufti dapat memberikan pandangan agama atau syara‘ jika berbangkit atau timbul sesuatu isu dalam jawatankuasa atau lembaga berkenaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10756
