Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Memakai Kasut Yang Digigit Anjing

Soalan: Apakah hukum memakai kasut yang telah digigit oleh anjing? Adakah perlu saya mencucinya dengan air yang bercampur dengan tanah?

Jawapan: Berlumur Dengan Najis

Berlumur dengan najis pada badan atau pakaian tanpa sesuatu hajat adalah haram hukumnya sebagaimana kata Ibnu Hajar Rahimahullâh:

Ertinya: Haram (hukumnya) berlumur dengan najis di luar sembahyang pada badan dan pakaian dengan tiada sesuatu hajat. (Al-Hawâsyi al-Madaniyyah: 1/270)

Maka memakai kasut yang bernajis kerana digigit oleh anjing adalah sayugia dielakkan.

Cara Membersihkan Najis Mughallazhah

Anjing adalah di antara jenis najis yang dikategorikan sebagai najis mughallazhah seperti babi. Cara membersihkan benda yang terkena najis mughallazhah seperti kasut yang digigit anjing ialah dengan membasuh atau menjirus kasut itu dengan tujuh kali air, salah satu daripadanya hendaklah dengan air yang bercampur tanah.

Perlu diingat bahawa sebelum membersihkan benda yang terkena najis sebagaimana cara yang telah ditetapkan oleh syara‘ sama ada najis itu najis mukhaffafah, mutawassithah atau mughallazhah,‘ain najis yang terdiri daripada jirim dan sifat najis iaitu rasa, warna dan bau hendaklah dihilangkan terlebih dahulu, jika ia masih terdapat pada benda yang terkena najis itu. Jika ia tidak dihilangkan terlebih dahulu, maka apa saja yang terkena dengan benda bernajis itu adalah dikira bernajis juga, jika salah satu daripadanya dalam keadaan basah.

Menghilangkan sifat najis pula iaitu rasa, warna dan bau adalah dikira memadai dengan menghilang dua daripada tiga sifat najis tersebut seperti hilang rasa dan bau atau rasa dan warna. Tetapi rasa, tidak boleh tidak, mesti dihilangkan, kerana jika masih ada rasa setelah hilang bau dan warna, maka ia tidak memadai. Manakala menentukan rasa dan bau najis sama ada ia sudah hilang atau belum, ia memadai apabila disangka dengan kuat bahawa rasa dan bau najis itu sudah hilang dan ia tidak wajib diuji dengan merasanya atau pun menghidunya.

Apabila ‘ain najis yang terdiri daripada jirim dan sifat najis iaitu rasa, warna dan bau itu sudah dihilangkan, barulah benda yang terkena najis itu dibersihkan sebagaimana cara yang telah ditetapkan oleh syara’ iaitu dibasuh atau dijirus dengan tujuh kali air, salah satu daripadanya hendaklah dengan air yang bercampur tanah, jika najis itu adalah najis mughallazhah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10760