Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Memasuki Tanah Waqaf, Tanah Perkuburan Orang Islam, Kawasan Masjid Dan Kawasan Sekolah Ugama

Soalan: Dengan hormatnya sukacita dipohonkan fatwa mengenai projek melalukan saliran atau jalan raya di atas tanah-tanah waqaf, perkuburan orang Islam, kawasan masjid dan kawasan sekolah agama. Apakah projek berkenaaan boleh diteruskan di kawasan-kawasan berkenaan yang telah dimasuki dan dimajukan lebih awal tanpa membuat perundingan terlebih dahulu dengan pihak-pihak tertentu?

Jawapan: Pengertian Waqaf

Menurut Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh, waqaf dari segi syara‘ bererti:

Ertinya: Membekukan harta yang bersifat boleh diambil manfaat daripadanya serta kekal ‘ainnya dengan memutuskan hak kuasa bertindak untuk disalurkan kepada jalan yang diharuskan oleh syara‘.

Ini bererti apabila sesuatu waqaf itu telah tsabit, maka hak milik atas benda atau sesuatu yang diwaqafkan itu berpindah daripada milik orang yang mewaqafkannya kepada milik Allah Ta‘ala. Perkara ini ditegaskan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Menurut pendapat al-azhhar bahawa hak milik pada sesuatu barang yang diwaqafkan itu berpindah kepada Allah Ta‘ala yakni terlucut (hak milik tersebut) daripada kuasa khusus manusia, maka ia tidak lagi menjadi hak milik kepada orang yang berwaqaf dan juga tidak menjadi hak milik kepada orang yang diwaqafkan.

Mengambil Balik Tanah Yang Diwaqafkan

Apabila sesuatu waqaf itu telah tsabit, maka ia tidak boleh diambil semula oleh mana-mana pihak sama ada orang yang mewaqafkannya ataupun orang yang bukan mewaqafkannya dengan apa cara sekalipun, kerana hak milik barang yang diwaqafkannya itu telah berpindah kepada milik Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ.

Jika orang yang berwaqaf meletakkan syarat-syarat tertentu terhadap waqafnya seperti tanah yang diwaqafkannya itu adalah untuk tapak membina masjid, tanah perkuburan atau bangunan sekolah agama, maka segala syaratnya itu mesti dipatuhi selama syarat-syarat itu tidak bercanggah dengan hukum syara‘. Imam an-Nawawi Rahimahullâh berkata dalam Minhâj ath-Thâlibîn:

Ertinya: Menurut pendapat al-ashah, sesungguhnya jika seseorang itu berwaqaf dengan mensyaratkan supaya (waqafnya itu) tidak disewakan, (maka hendaklah) dipatuhi syaratnya itu; dan sesungguhnya jika seseorang itu berwaqaf masjid (dengan) mensyaratkan (penggunaannya) khusus kepada satu golongan seperti pengikut mazhab Syafi‘e, (maka penggunaan masjid itu hendaklah) khusus kepada mereka (sahaja sebagaimana halnya juga) seperti sekolah dan asrama (jika dikhususkan penggunaannya kepada satu golongan yang tertentu).

Oleh itu, tanah waqaf jika hendak dimajukan, ia hendaklah menurut sebagaimana syarat yang diletakkan oleh orang yang berwaqaf jika terdapat syarat yang telah diletakkannya. Jika sesuatu tanah itu diwaqafkan untuk membina masjid, tanah perkuburan atau bangunan sekolah agama, maka adalah wajib pihak penguasa waqaf memastikan agar tanah yang diwaqafkan itu tidak dimajukan selain digunakan untuk membina masjid, tanah perkuburan atau bangunan sekolah agama.

Melalukan Saliran Atau Jalan Raya Di Atas Tanah Waqaf

Adapun melalukan saliran atau jalan raya di atas tanah waqaf, ada beberapa perkara perlu dilihat.

Jika saliran atau jalan raya itu diperlukan bagi keperluan tanah-tanah yang bersebelahan atau bersempadan dengan tanah waqaf tersebut dan tidak terdapat tempat lain yang bersesuaian kecuali melalukannya di atas tanah waqaf tersebut sahaja, maka perkara itu adalah diharuskan dengan syarat ia tidak memudharatkan atau menjejaskan kepentingan tanah waqaf. Dengan kata lain, tanah waqaf tersebut sendiri akan mendapat manfaat daripada saliran atau jalan raya yang diperlukan itu. Ini berqiyâs dengan hukuman yang pernah dijatuhi oleh ‘Umar bin al- Khaththab Radhiallâhu ‘anhu yang diriwayatkan daripada Yahya al-Mazini Radhiallâhu ‘anhu katanya:

Maksudnya: Sesungguhnya adh-Dhahhak bin Khalifah bercadang membuat aliran air dari sebuah sungai bernama al-‘Uraidh dan dia hendak melalukan aliran air itu di atas tanah Muhammad bin Maslamah. (Tetapi) Muhammad enggan (membenarkannya). Lalu adh-Dhahhak bertanya kepadanya: “Kenapa engkau menegahku sedangkan engkau secara berterusan akan mendapat manfaat air minuman daripadanya dan ia juga tidak akan merugikanmu? (Akan tetapi Muhammad (tetap) enggan (membenarkannya). Maka adh-Dhahhak pun melaporkan perkara itu kepada ‘Umar bin al-Khaththab. Lalu ‘Umar bin al-Khaththab pun memanggil Muhammad bin Maslamah dan beliau memerintahkannya supaya dia (Muhammad) membiarkan adh-Dhahhak melakukannya. Namun Muhammad menjawab: “Tidak”. Lalu ‘Umar berkata: “Kenapa engkau menghalang saudaramu melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepadanya sedangkan engkau akan memperolehi juga manfaatnya dengan engkau mendapat bekalan air secara berterusan di samping perkara itu tidak akan merugikanmu?” Muhammad menjawab: “Tidak! Demi Allah”. Umar pun berkata: “Demi Allah! Aliran air itu akan tetap melaluinya sekalipun ia terpaksa melalui perutmu”. Maka Umar pun memerintahkan adh-Dhahhak mengalirkannya melaluinya. Lalu Adh-Dhahhak pun melakukannya. (Hadits riwayat Malik)

Tetapi, jika saliran atau jalan raya itu diperlukan bukan kerana keperluan tanah-tanah yang bersebelahan atau bersempadan dengan tanah waqaf tersebut dan ia pula akan memudharatkan atau menjejaskan kepentingan tanah waqaf serta tanah waqaf tersebut tidak mendapat apa-apa manfaat daripada saliran atau jalan raya yang diperlukan itu, maka perkara itu ditegah oleh syara‘ sekalipun tidak terdapat tempat lain yang bersesuaian kecuali melalukannya di atas tanah waqaf tersebut.

Dalam hal ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abd Aziz dalam fatwanya bil: 12/82 berhubung cadangan hendak mengambil sebahagian daripada tanah waqaf bagi dua batang jalan menembusi tanah waqaf dari sempadan kanan dan kiri, menyatakan:

“Cadangan hendak mengambil sebahagian dari tanah waqaf yang di atas itu bagi dua batang jalan menembusi tanah waqaf dari pihak sempadan kanan dan kiri menurut pelan 36 yang mana tanah waqaf itu menghadap jalan raya Sengkurong dan Brunei, hanya dicadangkan lepas tarikh berlaku waqaf itu.

Tanah waqaf apabila telah sah diwaqafkan, maka tiadalah dapat dibagi-bagikan kemudian setelah sah waqaf itu dan hendaklah diikut kehendak waqaf dan syarat waqaf itu.

Berkata al-‘Allamah pengarang Fath al-Mu‘în: “Jikalau orang yang mewaqafkan itu membuat sesuatu syarat, maka hendaklah diikut syaratnya itu.”

Katanya: “Jikalau orang yang mewaqafkan itu berkata bahawa ini suatu sedekah yang haram atau suatu sedekah yang kekal atau suatu sedekah yang tiada boleh dijual dan tiada boleh dihibahkan dan tiada boleh dijadikan harta pusaka maka semua lafaz-lafaz itu adalah lafaz waqaf yang sharîh dan tegas dan nyata dan bukan lafaz sindir.”

Katanya: “Tiadalah boleh dijual mata benda waqaf itu sekalipun mata benda waqaf telah usang.”

Berkata al-Imam an-Nawawi: “Adalah batang tubuh benda yang diwaqafkan itu terpulang kepada Allah Ta‘ala yang ertinya terlepaslah waqaf itu dari kepunyaan manusia yakni manusia lepas diwaqafkan tiada dapat melakukan sesuatu tasharruf atau mengubah dan meminda batang tubuh waqaf itu.”

Menurut nash-nash di atas ini, maka waqaf lot 6019 yang di atas ini tiadalah dapat dibagi-bagikan atau diambil atau diberikan kepada mashlahat yang lain seperti membuat jalan raya bagi faedah orang ramai sebagai cadangan pihak Pejabat Rancangan Bandar dan Desa itu.” Tamat katanya.

Jenis Tanah Perkuburan

Dalam persoalan tanah perkuburan pula, perlu diketahui bahawa tanah perkuburan orang Islam itu ada tiga jenis:

1. Tanah perkuburan yang diwaqafkan bagi tujuan perkuburan orang Islam. Hukumnya tidak boleh digunakan bagi tujuan-tujuan lain selain daripada mengebumikan mayat orang Islam, sama ada telah hancur luluh tulang dan anggota-anggota mayat atau sebaliknya.

2. Tanah perkuburan yang dinamakan musabbalah iaitu tanah yang biasa digunakan untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut oleh penduduk-penduduk di kawasan itu, sekalipun tidak diketahui asal puncanya dan tidak diketahui orang yang mensabilkannya (memperuntukkannya). Maka tanah tersebut tidak boleh digunakan selain untuk mengebumikan mayat orang Islam. Walau bagaimanapun menurut pengarang Hasyiyah at- Tuhfah, boleh digunakan tanah tersebut selain mengebumikan mayat jika tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ telah hancur luluh menjadi tanah, dan tanah itu tidak digunakan lagi untuk mengebumikan mayat oleh penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa sekarang dan berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.

3. Tanah mawât, iaitu tanah yang bukan kebiasaannya digunakan untuk mengebumikan mayat di tanah tersebut atau tanah yang dimiliki oleh seseorang atau tanah yang dipinjam untuk mengebumikan mayat di tempat tersebut. Apabila ditanam mayat pada salah satu daripada tempat-tempat yang disebutkan, maka harus digali kubur itu apabila telah hancur luluh segala tulang dan suku-sukunya menjadi tanah, serta harus digunakan semula tanah itu kerana tujuan-tujuan yang lain seperti bertani, dibuat jalan atau didirikan rumah, dalam makna yang lain tanah itu tidak lagi dinamakan tanah perkuburan.

Di Negara Brunei Darussalam tanah-tanah perkuburan orang-orang Islam disediakan oleh pihak kerajaan. Tanah-tanah perkuburan seperti ini dipanggil tanah perkuburan awam atau disebut juga kubur musabbalah.

Persolan yang ditimbulkan ialah hukum mengambil sebahagian kawasan gazet tapak perkuburan Islam sebuah mukim untuk dijadikan jalan raya. Dalam hal ini, perlu dilihat apakah jenis tapak perkuburan itu.

Jika tapak perkuburan itu adalah tanah waqaf, maka tanah itu tidak boleh diambil sama sekali sebagaimana hukum tanah-tanah waqaf.

Jika tapak perkuburan itu adalah tanah perkuburan musabbalah atau tanah mawât, maka adalah harus diambil sebahagian daripada tapak tanah perkuburan tersebut sekadar yang perlu sahaja tanpa menjejaskan kehormatan kubur untuk dibuat jalan raya dengan syarat tapak tanah perkuburan yang diambil untuk dibuat jalan itu belum pernah ditanam mayat di dalamnya. Jika pernah ditanam mayat di dalamnya hendaklah tulang-tulang dan suku-suku anggota mayat yang dikubur di situ telah hancur luluh menjadi tanah dan tanah itu tidak digunakan lagi untuk mengebumikan mayat oleh penduduk-penduduk di kawasan itu pada masa sekarang. Mereka juga hendaklah berazam tidak akan mengebumikan mayat di tanah itu pada masa akan datang.

Dalam hal ini juga, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abd Aziz pernah mengeluarkan fatwanya bil: 29/82 berhubung tanah rezab kubur yang hendak digunakan bagi jalan raya. Beliau menyatakan:

“Kiranya tanah kubur itu belum ditanam mayat di situ atau sudah ditanam mayat di situ, kemudian tiada ditanam mayat di situ lagi dan tidak ada niat hendak bertanam mayat di situ pada masa akan datang, jika ada kedua-dua keadaan begitu, maka tanah rezab itu boleh digunakan bagi jalan raya.”

Perlu diambil perhatian bahawa tanah waqaf dan tanah perkuburan mempunyai hukum-hukumnya yang tersendiri. Oleh itu, pihak pesuruhjaya tanah atau mana-mana pihak juga yang bertanggungjawab dalam memajukan satu-satu kawasan yang melibatkan tanah-tanah waqaf atau tanah perkuburan mestilah

membuat perundingan duduk semeja terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkenaan terutama pihak penguasa waqaf dan pihak penguasa tanah perkuburan bagi menjamin kepentingan tanah-tanah waqaf dan tanah perkuburan akan tetap terpelihara.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10764