Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Membawa Alat Yang Mengandungi Perisian Ayat Al-Qur’an Ke Tandas

Soalan: Mohon penjelasan berkenaan software ayat atau tafsir al-Qur’an yang disimpan di dalam PDA (Personel Digital Assistant) atau telefon bimbit. Apakah hukum sekiranya alat ini dibawa bersama ke tempat-tempat yang tidak bersesuaian seperti tandas atau bilik mandi?

Jawapan: Ayat-ayat al-Qur’an adalah kalâmullâh yang wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga agar tidak terdedah kepada sebarang perkara yang boleh mendatangkan kehinaan kepadanya. Antara cara menghormati al-Qur’an itu ialah tidak membawanya ke tempat-tempat kotor seperti tandas serta haram menyentuhnya tanpa wudhu.

Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Qur’an ke Tandas

Adapun antara adab-adab memasuki tandas ialah tidak membawa bersamanya Mushhaf al- Qur’an atau sesuatu yang tertulis padanya ayat al-Qur’an seperti tertulis pada cincin, dirham, dinar, azimat dan lain-lain. Begitu juga apa-apa yang disebutkan mulia di dalam al-Qur’an seperti nama-nama Allah, nama-nama nabi dan malaikat. Ini termasuklah zikir, puji-pujian, do‘a dan apa-apa yang diberi ganjaran pahala menyebutnya. (Nihâyah al-Muhtâj:1/132-133, al-Majmû‘: 2/87-88) Maka telah bersepakatlah para ulama asy-Syafi‘e menghukumkan sunat menanggalkan benda-benda yang telah disebutkan di atas tadi ketika hendak masuk tandas. Tujuannya ialah untuk memuliakan ayat tersebut dan bagi mencontohi perbuatan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam. (Al-Majmû‘: 2/87-88)

Berdasarkan riwayat al-Hakim Rahimahullâh daripada az-Zuhri Radhiallâhu ‘anhu bahawa Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam meletakkan cincin Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapat padanya ukiran perkataan حممدرسول هللا.

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakai cincin yang

menanggalkan cincin tersebut.

Hukum membawa tulisan dzikrullâh dan seumpamanya ke tempat-tempat kotor seperti tandas adalah makruh. (Tuhfah al-Muhtâj:1/60)

Maka, makruh membawa Mushhaf ke dalam tandas, tetapi menjadi haram jika membawanya itu dalam keadaan berhadas. (Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah:1/43)

Menurut al-Adzra‘i Rahimahullâh sepertimana yang disebutkan di dalam Raudhah ath- Thâlibîn, tidak boleh membawa ke dalam tandas sesuatu yang diharamkan ke atas orang yang berhadas untuk menanggungnya. Ini kerana menanggungnya dalam keadaan berhadas itu mendedahkannya kepada penghinaan, dan perbuatan itu juga menunjukkan tidak memuliakan al-Qur’an. Oleh sebab itu, al-Adzra‘i Rahimahullâh berpendapat adalah haram membawa masuk Mushhaf ke dalam tandas tanpa dharurat. (Raudhah ath-Thâlibîn: 1/176)

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullâh, sekiranya seseorang itu masuk juga ke tandas dengan membawa benda yang tertulis padanya al-Qur’an, sama ada dengan senghaja atau tidak, maka sunat menyembunyikannya, sepertimana katanya:

Ertinya: Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya (cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan. (Tuhfah al-Muhtâj:1/60)

Menurut sebuah pendapat yang dinukil oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh, tujuan ia digenggam itu ialah supaya tulisan ayat al-Qur’an itu tidak nampak. (Al-Majmû‘: 2/88)

Manakala bagi sesiapa yang di tangan kirinya tersarung cincin yang terukir ayat al-Qur’an atau nama-nama yang dimuliakan adalah wajib ke atasnya menanggalkan cincin tersebut ketika hendak beristinjâ’ agar terpelihara daripada terkena najis. (Tuhfah al-Muhtâj:1/60)

Adalah haram hukumnya mengenakan najis pada tulisan ayat al-Qur’an itu walaupun bukan ketika istinjâ’. (Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah:1/43)

Demikian pendapat para ulama asy-Syafi‘e mengenai hukum membawa masuk ke tandas benda-benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an.

Hukum Bacaan Ayat Al-Qur’an di Tandas Adalah makruh berzikir (menyebut) Allah Ta‘ala dan membaca al-Qur’an di dalam tandas dengan suara yang dapat didengari sekurang-kurangnya oleh diri sendiri. Sekiranya dia menyebut zikir tanpa terdengar olehnya suaranya sendiri maka tidaklah dihukumkan makruh. (Tuhfah al-Muhtâj:1/62)

Jika seseorang bersin, hendaklah bertahmîd di dalam hati sahaja tanpa menggerakkan lidah. Begitu juga zikir-zikir lain yang dituntut membacanya, seperti do‘a sebelum masuk tandas jika dia lupa untuk membacanya sebelum itu, ataupun zikir-zikir wudhu jika dia berwudhu di tandas dan sebagainya. (Hâsyiyatân Qalyubi wa ‘Umairah:1/46)

Imam an-Nawawi Rahimahullâh dan para ulama asy-Syafi‘e telah bersepakat bahawa hukum makruh di sini adalah makruh tanzîh (iaitu meninggalkannya lebih baik daripada melakukannya) dan bukan makruh tahrîm (iaitu hukum makruh yang hampir kepada haram).

Menurut Ibnu al-Mundzir Rahimahullâh sepertimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitab al-Majmû’, meninggalkan menyebut zikir (di dalam tandas) lebih disukainya dan tidak juga berdosa jika berzikir. (Al-Majmû‘:2/104)

Dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj, Ibnu Hajar Rahimahullâh menyebutkan pendapat Ibnu Kaj Rahimahullâh iaitu haram membaca al-Qur’an di dalam tandas atau ketika qadha hajat (buang air) dan sebagainya, maka menanggung Mushhaf dan seumpamanya ketika itu lebih utama ditinggalkan. (Tuhfah al-Muhtâj:1/63)

Ad-Darimi Rahimahullâh meriwayatkan atsar daripada Ibrahim Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Ada empat jenis orang yang tidak boleh membaca al-Qur’an; (orang yang) sedang qadha hajat (buang air), (orang yang) dalam tandas, orang yang junub dan perempuan yang haidh, kecuali ayat al-Qur’an tertentu (seperti zikir naik kenderaan) dan seumpamanya (dibenarkan) bagi orang junub dan orang haidh. (Hadits riwayat ad-Darimi)

Maka, bagi menjawab persoalan di atas, adalah harus membawa masuk ke tandas telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya sekiranya unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada di dalam tandas.

Alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA itu tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.

Menurut ar-Ramli Rahimahullâh, benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. (Nihâyah al-Muhtâj:1/132)

Begitu juga jumhûr ulama tidak menegah untuk membawa masuk ke tandas benda-benda selain zikir Allah. (Al-Majmû‘: 2/88)

Walaupun telefon bimbit atau PDA itu mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya, namun pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi daripada alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau program al-Qur’an dialihkan ke program lain.

Mana-mana telefon bimbit atau PDA yang mengandungi perisian ayat al-Qur’an atau tafsirnya, hendaklah dimatikan atau dialihkan program al-Qur’an kepada program lain sebelum masuk ke tempat-tempat kotor seperti tandas.

Tujuannya adalah agar unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an tidak muncul dari alat tersebut ketika berada di dalam tandas.

Ini bersesuaian dengan pendapat Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullâh yang telah disebutkan di atas bahawa sekiranya seseorang itu masuk juga ke tandas dengan membawa benda yang tertulis padanya al-Qur’an; sama ada dengan senghaja atau tidak, adalah sunat untuk menyembunyikannya. Ini bertujuan untuk memuliakan ayat atau tafsir al-Qur’an (ini adalah benda yang betul-betul ada tertulis padanya al-Qur’an atau ayat al-Qur’an, yakni ayat-ayat itu betul dan nyata adanya berupa tulisan), sementara telefon bimbit atau PDA bukan begitu keadaannya, melainkan jika ia dihidupkan dan ditujukan kepada program al-Qur’annya barulah pancaran tulisan al-Qur’an atau suara bacaan al-Qur’an akan muncul. Jika tidak, maka ia tidaklah berlaku atau tidak wujud.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10768