Mengazankan Anak Daripada Pasangan Bukan Islam
Soalan: Seorang ibu (non-Muslim) telah melahirkan seorang anak. Sebaik sahaja dia bersalin, seorang wanita Islam berhasrat menjadikannya anak angkat, seterusnya mahu anak tersebut diazankan kerana berdasarkan hukum Islam adalah sunat mengazankan anak yang baru lahir.
Sehubungan dengan itu, sukacita dihadapkan perkara ini kepada Pehin bagi mendapatkan fatwa dan ketentuan hukum untuk dijadikan pegangan di kalangan masyarakat Islam negara ini.
Jawapan: Status Anak Angkat
Sebelum menjawab pertanyaan yang dikemukakan, elok kita huraikan terlebih dahulu persoalan kedudukan anak damit (bayi) daripada pasangan bukan Islam dari aspek adakah anak damit tersebut apabila diangkat oleh orang Islam boleh dianggap sebagai orang Islam ataupun tidak?
Salah satu tradisi di kawasan sebelah sini dalam soal menjadikan anak orang bukan Islam sebagai anak angkat kepada orang Islam, ialah menerusi penyerahan sepenuhnya anak berkenaan kepada keluarga angkat dan selepas penyerahan, tidak ada kaitannya lagi dengan bapa atau ibu kandungnya dari segi asuhan pendidikan, jagaan atau pengasuhan. Proses ini berlaku seperti menyerahkan hak milik sesuatu barang kepada orang lain, yang tidak diharapkan untuk dimiliki semula.
Pada masa ini perkara yang sama juga berlaku, bahkan ia diperkuatkan lagi oleh peraturan atau undang-undang pengesahan daripada mahkamah, sehinggalah ada yang memiliki sijil atau surat penyerahan anak angkat itu.
Kesan daripada penyerahan sepenuhnya ini, menjadikan kedudukan anak angkat dalam pandangan orang lain adalah seolah-olah sama dengan anak kandung sendiri kepada keluarga angkat. Dengan kata lain penguasaan terhadap anak itu telah diserahkan sepenuhnya kepada bapa angkat. Bahkan sebahagian ibu bapa kandung anak berkenaan tidak mahu tahu lagi tentang anaknya itu. Inilah di antara proses pengambilan anak angkat yang berlaku, sama ada anak yang baru lahir atau yang belum mumayyiz.
Sebagai tanda adanya penguasaan penuh terhadap anak angkat itu, kedua ibu bapa yang mengangkat ada yang sampai membinkan atau membintikan anak angkat tersebut kepada dirinya sendiri (bapa angkat) walaupun perkara ini menyalahi hukum syara‘. Yakni haram orang Islam membinkan atau membintikan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri sama ada anak itu anak angkat, anak pungut atau anak tawanan perang pada dirinya. Dalam sesetengah kes, walaupun sudah diketahui tentang kedudukan hukumnya, namun masih terdapat juga ibu bapa angkat yang mahukan anak angkatnya itu dibinkan atau dibintikan kepada dirinya.
Berdasarkan keadaan ini dan kejadian yang pernah berlaku, maka ramailah anak angkat bukan Islam yang diasuh oleh orang-orang Islam terus tinggal bersama keluarga angkat dan hidup secara Islam sehinggalah mereka dewasa. Mereka bukan sahaja menerima pendidikan di sekolah-sekolah agama, bahkan taat menjalani ajaran Islam sejak kecil lagi dan tidak mahu kembali ke pangkuan ibu bapa kandung dan agama asal mereka. Pendeknya, mereka menjalani kehidupan sebagai seorang Islam yang sebenar-benarnya.
Selain soal asuhan dan penjagaan, salah satu unsur yang menjadi perhatian di sini ialah peralihan kuasa bapa kandung kepada bapa angkat secara mutlak tanpa paksaan atau tekanan daripada mana-mana pihak. Dalam sesetengah kes, pengangkatan itu berlaku seperti ‘jual beli’ iaitu dengan adanya imbalan daripada ibu bapa angkat kepada ibu bapa kandung kanak-kanak yang diserahkan itu. Ini berlaku walaupun Islam sebenarnya tidak mengharuskan jual beli manusia. Kita sebutkan perkara ini untuk memberi gambaran tentang kuasa terhadap anak itu yang tidak lagi dimiliki oleh ibu bapa kandung tetapi telah berpindah kepada ibu bapa angkat.
Tekanan hidup atau sebab-sebab lain seperti sebahagian ibu bapa yang menganggap anak perempuan tidak membawa tuah atau anak yang dilahirkan di luar nikah boleh menjadi sebab orang menyerahkan anak mereka kepada orang lain. Bahkan mereka memberikan kuasa penuh kepada sesiapa yang mengangkat anak itu, yang diperkemaskan lagi dengan pengesahan oleh pihak mahkamah.
Ringkasnya, pengangkatan anak itu boleh dikatakan sebagai peralihan kuasa pemeliharaan dan pembelaan anak yang diangkat termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan berbagai kebajikan seperti urusan sekolah, pendaftaran taraf kebangsaan dan lain-lain. Semua ini menjadi tanggungjawab orang yang mengangkat itu.
Begitulah antara gambaran kedudukan anak angkat yang kita ketahui di dalam masyarakat kita.
Bilakah Kanak-Kanak Diperakui Sebagai Islam?
Ulama Syafi‘e berpendapat bahawa kanak-kanak yang belum bâligh dihukumkan sebagai Islam secara zahir dan batin sama ada kerana dia ditawan oleh orang Islam secara bersendirian tanpa ibu bapanya atau kerana dia mengikut salah satu keturunannya daripada pihak bapa atau ibunya yang Islam. (I‘ânah ath-Thâlibîn: 4/199)
Adapun anak pungut (laqîth) apabila dipungut dalam negeri Islam atau perkampungan orang Islam, maka anak itu juga diakui oleh syara‘ sebagai Islam.
Dihukumkan Islam Kerana Ditawan
Khusus bagi kanak-kanak bukan Islam yang ditawan oleh orang Islam, adalah dihukumkan sebagai Islam kerana mengikut orang Islam yang menawannya, tetapi dengan syarat dia adalah seorang diri sahaja ketika ditawan itu tanpa bersamanya salah seorang daripada ibu dan bapanya. Sekiranya dia bersama-sama dengan keduanya atau salah seorang daripada keduanya, maka kanak-kanak itu dihukumkan mengikut agama mereka, kerana pengaruh taba‘iyyah (ikutan) keturunan lebih kuat daripada pengaruh taba‘iyyah orang yang menawannya. (Hâsyiah al-Bajuri: 2/61)
Imam an-Nawawi berkata:
Ertinya: Apabila orang Islam menawan anak kecil, maka anak itu mengikut orang yang menawannya dalam Islam (yakni dihukumkan seorang Islam) jika tidak ada bersamanya salah seorang daripada kedua ibu bapanya. (Minhâj ath-Thâlibîn: 177)
Apa yang disebutkan oleh ulama Syafi‘e: “Jika kanak-kanak itu ditawan secara bersendirian (seorang diri) tanpa bersamanya salah seorang daripada ibu bapanya”, menunjukkan betapa kuat pengaruh kuasa ibu atau bapa terhadap anak mereka berbanding dengan pengaruh keislaman orang yang menawan anak mereka.
Kanak-kanak hanya boleh mengikut agama orang yang menawannya jika kedua ibu bapanya tidak bersamanya ketika dia ditawan. Selama kanak-kanak itu bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka, maka selama itu pulalah dia di bawah pengaruh dan kuasa mereka (ibu atau bapa kandungnya). Jika salah seorang daripada ibu bapanya masuk Islam, maka dia dihukumkan Islam dengan sendirinya.
Jadi dalam soal ini terdapat satu unsur atau sebab kanak-kanak itu dihukumkan Islam, iaitu tidak ada bersama kanak-kanak tawanan itu kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka di dalam tentera musuh atau dalam harta ghanîmah (harta rampasan) yang ditawan bersama-samanya.
Maka dengan itu kanak-kanak berkenaan dianggap bagaikan anak yang baru lahir daripada ibu bapa yang beragama Islam ketika dia ditawan itu. Imam asy-Syarbini berkata bahawa keadaan ini berlaku sama ada yang menawan itu sudah bâligh lagi berakal ataupun tidak. (Mughnî al-Muhtâj: 2/575)
Apabila hal ini dikaitkan dengan proses pengangkatan kanak-kanak pada masa ini sebagaimana yang kita sebutkan terdahulu, di sini akan kita temui suatu perkara yang bersamaan, iaitu soal “penguasaan” atau istîlâ’ (اسْاِيْةَء).
Dalam soal tawanan, orang yang menawan memiliki atau menguasai kanak-kanak yang ditawannya itu, kerana dialah yang menawan. Jadi penguasaan terhadap kanak-kanak itu telah berpindah ke tangan orang Islam yang menawannya. Dalam soal anak angkat pula, bapa angkat telah mengambil alih penguasaan terhadap anak angkat, kecuali dalam perkara-perkara tertentu, seperti kewalian, di mana bapa angkat tidak boleh menjadi wali nikah jika anak angkatnya itu perempuan dan dalam perkara warisan di mana anak angkat tidak mewarisi harta ibu bapa angkatnya dan harta anak angkat tidak diwarisi oleh ibu bapa angkatnya.
Dalam konsep tawanan, tidak ada unsur kerelaan, yakni bapa kandung kanak-kanak itu tidak akan rela anaknya ditawan oleh orang Islam. Walaupun begitu, hukum telah menetapkan bahawa kanak-kanak berkenaan tetap dihukumkan Islam. Adapun dalam konteks pengendalian anak angkat adalah sebaliknya, iaitu ia berlaku di atas dasar suka sama suka dan bahkan dapat pula dianggap ibu bapa kandung kepada anak itu memang telah bersedia dan redha anaknya menjadi Islam, atau menjadi ‘orang Melayu’ yang beragama Islam.
Setelah melihat perbandingan di antara kanak-kanak yang ditawan dan kanak-kanak yang dijadikan anak angkat, maka apabila kanak-kanak yang ditawan yang sudah setentunya ditawan tanpa kerelaan kedua atau salah seorang daripada ibu bapanya yang tidak turut ditawan telah dihukumkan sebagai Islam, betapa kanak-kanak yang diangkat dengan penuh kerelaan daripada ibu bapa bukan Islam itu, saya berpendapat adalah lebih munasabah dan lebih awlâ anak angkat itu menjadi kanak-kanak Islam.
Dengan adanya unsur dan tanda kerelaan ibu bapa bukan Islam menyerahkan anaknya kepada keluarga Islam itu, sendirinya bolehlah dianggap mereka (ibu bapa kandung bukan Islam itu) adalah merelai anak mereka menjadi orang Islam.
Perkara istîlâ’ atau penguasaan ini telah disentuh oleh pengarang Bughyah al-Mustarsyidîn:
Ertinya: Adapun pembelian kanak-kanak orang kafir daripada usul (bapa, datuk, nenek) mereka tidak sah sebagai satu pembelian, tetapi ia hanyalah satu penguasaan (istîlâ’) jua. Jika pembeli itu seorang Islam, maka kanak-kanak itu mengikutnya menjadi Islam dan dia berhak menjadikannya dalam kumpulan yang ditakhmîs (dibahagi lima). Jika pembeli itu seorang kafir, sekalipun kafir dzimmi, kanak-kanak itu adalah kekal di dalam kekufurannya mengikut pendapat yang ashah. Pembeli (orang Islam itu) telah memiliki sepenuhnya kanak-kanak itu. Namun ketika itu pembelinya tidak halal mewath’inya (jika anak perempuan) sehinggalah dia bâligh dan menjadi Islam, sebagaimana zahir pendapat jumhûr ulama. Tetapi al-Bulqaini berpendapat ia sah sebagai satu pembelian. Pendapat ini dii‘timâdkan oleh as-Suyuthi dan dicenderungi oleh as-Subki. Walau bagaimanapun, tidak sah sebagai satu pembelian jika dia anak kafir mu‘âhad, tetapi dinukilkan daripada pendapat al-Mawardi adalah sah kerana dia sama dengan anak kafir harbi.” (Bughyah al-Mustarsyidîn: 179)
Berdasarkan apa yang telah diutarakan dapatlah dirumuskan bahawa anak damit daripada pasangan bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam atas dasar penguasaan atau istîlâ’ adalah dianggap anak tersebut menjadi orang Islam, sebab orang yang mengangkatnya ialah orang Islam. Dasar istîlâ’ ini menjadi pegangan kepada pengarang Bughyah al-Mustarsyidîn yang menjadi pilihan kepada al-Imam al-Bulqaini. Pendapat ini (tentang sah Islam kanak-kanak yang dibeli oleh orang Islam, berdasarkan istîlâ’ itu) dii‘timâdkan oleh al-Imam as- Suyuthi dan al-Imam as-Subki juga cenderung kepada pendapat ini.
Maka dengan ini kita juga cenderung untuk memfatwakan bahawa anak damit dari pasangan yang bukan Islam yang diangkat oleh orang Islam atas dasar penguasaaan atau istîlâ’ adalah dianggap menjadi orang Islam.
Oleh yang demikian, sunat diazankan ke atasnya pada telinga kanannya dan diiqâmahkan pada telinga kirinya sebaik sahaja dia dilahirkan.
Bolehkah Anak Orang Bukan Islam Diazankan?
Andaikata anak damit tersebut tidak dihukumkan sebagai orang Islam sebagaimana pendapat sesetengah ulama, al-Imam asy-Syarwani ketika menghuraikan Matan at-Tuhfah: “Sunat diazankan (kanak-kanak yang baru lahir)”, al-‘Allamah itu menjelaskan:
1. Perempuan harus mengazankan, kerana azan yang dimaksudkan di sini bukanlah azan yang menjadi tugas kaum lelaki, bahkan maksud azan itu ialah semata-mata zikir untuk memperolehi keberkatan.
2. Kanak-kanak orang kafir harus diazankan, katanya:
Ertinya: Sekalipun kanak-kanak yang dilahirkan itu kanak-kanak kafir. (Hawâsyi asy- Syarwani wa al-‘Abbadi: 9/376)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10772
