Menggantung Ayat-Ayat Al-Qur’an Di Rumah Orang Kafir
Soalan: Bolehkah menggantung ayat-ayat al-Qur’an atau ayat-ayat lazim di dalam rumah seorang kafir atau pun seseorang yang tidak beragama?
Jawapan: Al-Qur’an al-Karim merupakan kalâmullah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam melalui perantaraan Malaikat Jibril ‘Alaihissalâm. Sesiapa yang membacanya akan diberi pahala iaitu sebagai ibadat baginya walaupun dia tidak memahami maknanya.
Al-Qur’an adalah panduan hidup manusia sehingga ke Hari Kiamat, insyâ’ Allah. Di dalamnya mengandungi perkara-perkara dasar yang berkaitan dengan agama Islam, perkara-perkara ghaib di akhirat, cerita-cerita umat terdahulu dan berkaitan dengan urusan keduniaan yang merangkumi seluruh kehidupan umat manusia.
Ia adalah mu‘jizat yang terbesar yang dikurniakan Allah kepada Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Di antara mu‘jizatnya, gaya bahasa dan aliran sasteranya yang teramat indah dan menarik. Orang yang membacanya tidak akan berasa jemu dan yang mendengarnya pula tidak berasa bosan. Malahan semakin banyak dibaca dan semakin banyak didengar, bertambah khusyû‘ serta tumbuh kesedaran di dalam jiwa dan perasaan. Sehinggakan bukan sahaja dikagumi oleh orang Islam malahan juga dikagumi oleh orang bukan Islam. Sebagai contoh, Abu Jahal dan Abu Sufyan yang amat benci dan kuat menentang Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam secara sembunyi-sembunyi hampir saban malam mendatangi rumah orang Islam untuk mendengar ayat al-Qur’an dibaca. Begitu juga Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu tertarik memeluk Islam kerana mendengar adiknya membaca al-Qur’an.
Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ meletakkan al-Qur’an itu pada kedudukan yang tinggi lagi mulia sebagaimana firmanNya:
Tafsirnya: Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah al-Qur’an yang mulia, yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan. (Surah al-Wâqi‘ah: 77)
Di dalam ayat yang lain Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ berfirman:
Tafsirnya: (Yang sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau perkara sihir), bahkan ialah al-Qur’an yang tertinggi kemuliaannya. (Surah al-Burûj: 21)
Memandangkan kedudukannya yang amat tinggi dan mulia itu, kita sebagai orang Islam wajib menghormati dan menjaga kemuliaan dan kesucian al-Qur’an dalam apa jua situasi supaya tidak tercemar dan terdedah kepada sesuatu yang boleh menghinakannya. Bahkan menyentuhnya pun mestilah dengan berwudhu terlebih dahulu.
Firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ:
Tafsirnya: Tidak boleh menyentuhnya (al-Qur’an) kecuali orang-orang yang suci. (Surah al-Wâqi‘ah:79)
Adapun antara cara memelihara kemuliaan al-Qur’an itu ialah dengan menjaganya supaya tidak jatuh ke tangan orang kafir. Orang kafir adalah ditegah daripada menyentuh dan membawa al-Qur’an demi mengelak daripada berlaku sesuatu yang boleh menghinakan ayat-ayat suci Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ itu sebagaimana menurut al-Khatib asy-Syarbini dalam kitabnya Mughnî al-Muhtâj:
Ertinya: Dan orang kafir adalah ditegah daripada menyentuhnya (al-Qur’an). (Mughnî al- Muhtâj: 1/152)
Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh, belayar dengan membawa al-Qur’an ke negeri orang kafir adalah haram jika ditakuti akan jatuh ke tangan orang kafir itu. (At-Tibyân: 151)
Larangan ini telah dijelaskan oleh Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadits Baginda daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhuma:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melarang membawa al-Qur’an ketika musafir (belayar) ke negeri musuh (kafir). (Hadits riwayat al-Bukhari)
Orang Kafir Memiliki Al-Qur’an
Orang kafir adalah ditegah daripada menyentuh dan membawa al-Qur’an, apatah lagi memilikinya sekalipun ada harapan untuk mereka memeluk agama Islam.
Menurut al-Khatib asy-Syarbini Rahimahullâh, adalah tidak sah bagi orang kafir atau orang yang murtad membeli atau memiliki al-Qur’an sama ada melalui tempahan, pemberian ataupun wasiat walaupun dia berwakil kepada seseorang untuk mendapatkannya. Mereka juga tidak boleh memiliki kitab-kitab hadits, kitab-kitab fiqh atau kesan-kesan dan peninggalan orang-orang salaf, kerana memilikinya merupakan satu penghinaan terhadap kemuliaan al-Qur’an. (Mughnî al-Muhtâj: 2/334)
Imam Ibnu Hajar Rahimahullâh ada menyatakan perkara ini dalam kitab Tuhfah al-Muhtâj:
Ertinya: Dan tidak sah belian, yakni pemilikan orang kafir, walaupun dia murtad, (sama ada) dia sendiri (yang membeli) atau melalui wakilnya, sekalipun (wakilnya) seorang Muslim, akan Mushhaf, yakni sepertimana yang zahir sesuatu yang mengandungi al-Qur’an, walaupun sedikit. Sekalipun al-Qur’an itu terkandung di dalam seperti tafsir atau ilmu, atau di atas seperti baju atau pada dinding, melainkan (ayat al-Qur’an yang ditulis) pada wang, kerana terdapat keperluan. (Tuhfah al-Muhtâj: 2/88)
Perkara ini juga ada dinyatakan oleh para ulama al-muta’akhkhirîn dalam kitab Bughyah al- Mustarsyidîn:
Ertinya: Tidak sah jualan umpama buku-buku, pakaian-pakaian dan bejana-bejana yang ditulis padanya ayat al-Qur’an atau nama yang dihormati (dalam syara‘) atau ilmu syara‘, walaupun ia digantung sebagai azimat, kepada orang kafir. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 124)
Berdasarkan penjelasan di atas bahawa orang kafir atau orang yang tidak beragama tidak boleh (haram) menggantung ayat-ayat al-Qur’an atau ayat-ayat lazim di rumah mereka, ini kerana dengan menggantungnya itu, masih bererti mendedahkannya kepada penghinaan iaitu seperti menyentuhnya tanpa wudhu atau lain-lain sebab yang tidak dibenarkan oleh syara‘. Untuk jelasnya antara cara menjaga kemuliaan dan kehormatan al-Qur’an itu ialah haram menjualnya kepada orang bukan Islam, haram memilikinya, dan tidak boleh disentuh tanpa wudhu atau lain-lain adab menghormati al-Qur’an sebagaimana yang disebutkan dalam kitab-kitab ulama mengenainya.
Perlu diambil ingatan bahawa hukum menghormati dan memuliakan al-Qur’an itu sama ada untuk Mushhaf yang lengkap atau untuk sebahagian ayat-ayat al-Qur’an adalah sama sahaja, kerana yang dinamakan al-Qur’an itu ialah sama ada semuanya (selengkapnya) atau sebahagiannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10805
