Menggunakan Wang Derma Tabung Masjid Bagi Pengurusan Kereta Jenazah
Soalan: Bolehkan wang tabung masjid digunakan bagi tujuan pengurusan kereta jenazah di masjid-masjid seluruh negara seperti berikut:
1. Membeli minyak kereta jenazah 2. Memperbaharui cukai jalan yang mansuh. 3. Membeli insuran kereta jenazah 4. Pemeliharaan (maintenance) kereta jenazah. 5. Apa-apa jua yang berhubung dengan kereta jenazah.
Untuk makluman Pehin, kereta jenazah yang digunakan di masjid-masjid pada masa ini kebanyakannya adalah waqaf daripada orang persendirian dan syarikat-syarikat swasta di negara ini. Sebahagian daripada pewaqaf kereta jenazah hanya menyediakan peruntukan khas untuk membeli minyak kereta jenazah sahaja, manakala perbelanjaan yang selebihnya diusahakan oleh imam-imam masjid berkenaaan seperti mendapatkan sumbangan pihak-pihak tertentu bagi membiayai perbelanjaan tersebut.
Dipohonkan penjelasan lanjut atau apa-apa fatwa mengenainya.
Jawapan: Menurut hukum syara‘ wang tabung masjid daripada hasil derma orang ramai adalah wajib disalurkan menurut niat orang yang berderma atau tujuan derma itu dibuat, kerana Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam ada bersabda yang diriwayatkan oleh ‘Umar ibnu al-Khaththab Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Sesungguhnya (sahnya) amal perbuatan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya tiap-tiap seseorang itu mendapat apa yang telah diniatkan. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, setiap derma yang hendak digunakan atau dibelanjakan oleh pemegang amanah derma hendaklah mengikut niat orang yang berderma atau mengikut tujuan derma itu dikutip.
Jika sesuatu derma itu diniatkan atau bertujuan untuk sesuatu perkara yang tertentu seperti majlis tahlil, membaiki masjid, dana biasiswa pelajaran anak-anak yatim atau membantu mangsa kebakaran, maka hendaklah pemegang amanah derma itu menyalurkan derma itu menurut niat orang yang berderma atau tujuan derma itu dikutip.
Khas mengenai tabung-tabung yang diletakkan di masjid-masjid, adakalanya tujuan tabung itu disebutkan dengan jelas seperti tabung untuk anak-anak yatim atau mangsa kebakaran, maka hendaklah wang tabung derma tersebut disalurkan sebagaimana tujuan tabung itu diadakan. Sementara itu ada juga tabung masjid tanpa disebutkan tujuannya secara khusus, tetapi pada adat kebiasaannya disalurkan bagi tujuan mashlahat masjid dan mashlahat jemaah yang hadir di masjid.
Jika tidak diketahui niat orang yang berderma atau tujuan derma itu dikutip dengan jelas, maka dalam hal ini penyaluran derma tersebut hendaklah dilihat menurut adat kebiasaan dalam menyalurkan derma tersebut. Jika derma tersebut pada adat kebiasaannya disalurkan bagi mashlahat masjid dan mashlahat jemaah yang hadir di masjid, maka derma itu boleh disalurkan bagi mashlahat masjid dan mashlahat jemaah yang hadir di masjid seperti membaiki alat hawa dingin yang rosak, membaiki tandas, mengganti lampu-lampu yang rosak, membeli alat pembesar suara, membeli tikar masjid dan sebagainya. Semua ini ada kaitannya dengan mashlahat masjid dan mashlahat jemaah yang hadir di masjid. Begitu juga wang derma tersebut boleh disalurkan bagi menyediakan jamuan yang diadakan di masjid yang ada hubungan dengan mashlahat jemaah masjid dengan mengikut ala kadarnya tanpa berlebih-lebihan atau bagi menyediakan kemudahan bagi para jemaah yang bersembahyang di masjid seperti menyewa atau membeli kem dan lain-lain yang seumpamanya.
Adapun menyalurkan wang derma tabung masjid bagi tujuan pengurusan kereta jenazah seperti membeli minyak kereta jenazah, memperbaharui cukai jalan yang mansuh, membeli insurans kereta jenazah, pemeliharaan (maintenance) kereta jenazah dan apa-apa jua yang berhubung dengan kereta jenazah seperti yang ditanyakan di atas tidaklah termasuk di bawah erti kata mashlahat masjid atau mashlahat jemaah yang hadir di masjid, kerana manfaat yang diperolehi daripada kereta jenazah tidak secara langsung kembali kepada mashlahat masjid mahupun kepada mashlahat jemaah yang hadir di masjid. Yang jelas manfaat kereta jenazah itu kembali kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya sama ada mereka yang tinggal di sekitar masjid atau mereka yang bukan terdiri daripada jemaah masjid.
Seperkara lagi bahawa kewujudan kereta jenazah di masjid-masjid adalah sesuatu yang baru, sedangkan tabung masjid telah lama wujud sebelum wujudnya kereta jenazah lagi. Ini dengan sendirinya urusan-urusan yang berkaitan dengan kereta jenazah tidak termasuk secara langsung dalam mashlahat masjid dan mashlahat jemaah yang hadir di masjid. Oleh itu, adalah tidak wajar disalurkan wang derma tabung masjid itu untuk tujuan yang demikian.
Sebagai irsyâd juga, apa yang boleh dilakukan oleh pihak pengurusan masjid bagi mencapai apa yang dimaksudkan ialah menyediakan satu tabung khas di dalam masjid yang menyatakan wang derma tersebut akan disalurkan bagi tujuan pengurusan kereta jenazah yang dimiliki oleh masjid atau mendapatkan sumber-sumber khas daripada mana-mana pihak yang berkenaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10809
