Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Muzik Yang Diharuskan Dan Diharamkan

Soalan: Apakah jenis muzik yang diharuskan dan yang diharamkan kita mendengarnya? Dipohonkan agar dapat memberikan dalil-dalilnya secara terperinci.

Jawapan: Persoalan tentang jenis muzik yang diharuskan dan yang diharamkan bergantung kepada apa jenis alat dan cara penggunaannya, kerana ada di antara alat yang digunakan itu diharamkan oleh syara‘ dan ada pula tidak. Jadi, kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:

1. Menggunakan alat-alat muzik yang dilarang oleh syara‘ maka kedudukan muzik itu adalah haram. Ibnu Hajar Rahimahullâh dalam kitabnya az-Zawâjir ada menyebutkan:

Ertinya: Dan telah berkata al-Imam Abu al-‘Abbas al-Qurthubi: “Adapun alat-alat muzik yang ditiup (al-mazâmîr), alat-alat muzik yang bertali (al-awtâr), alat-alat muzik yang dipalu (kubah), maka tidak diperselisihkan (oleh ulama) tentang keharaman mendengarnya dan aku tidak pernah mendengar percakapan seorang pun daripada kalangan ulama salaf dan khalaf yang mu‘tabar yang berpendapat mengharuskannya. Bagaimanalah tidak haram! Sedangkan ia adalah syi‘ar (tanda atau lambang) peminum arak, pembuat fâsiq, pembangkit syahwat, pembuat kerosakan dan orang yang suka berseronok-seronok? Dan yang demikian itu, tidak syak lagi pada haramnya dan fâsiq orang yang melakukannya serta berdosa.”

2. Menggunakan alat muzik yang diharuskan oleh syara‘ ialah seperti memukul ghirbal (sejenis rebana) sewaktu pernikahan.

3. Bermain alat muzik yang diharuskan, tetapi jika ia dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian asmara, bercampur lelaki dan perempuan tanpa batas, disertai arak, judi dan seumpamannya, maka para ulama telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam keadaan sedemikian itu adalah haram.

Kita telahpun menjelaskan kedudukan muzik menurut pandangan Islam dengan panjang lebar melalui fatwa yang berjudul ‘Islam dan Muzik’. Mudah-mudahan tuan yang bertanya berpeluang membacanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10816