Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Orang Bukan Islam Membiayai Perbelanjaan Penulisan Al-Qur’an

Soalan: Dengan penuh hormat sukacita memaklumkan memohon pandangan dan fatwa Pehin mengenai hukum menerima sumbangan orang bukan Islam bagi membeli Mushaf atau al-Qur’an untuk dihadiahkan kepada orang Islam.

Jawapan: Hubungan berbaik-baik dengan orang-orang bukan Islam adalah jelas sebagaimana disebut dalam al-Qur’an. Ayat al-Qur’an yang memerintahkan supaya berbuat baik kepada orang-orang bukan Islam antaranya ialah firman Allah:

Tafsirnya: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Surah al-Mumtahanah: 8)

Kehidupan Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam telah mencerminkan perkara yang sedemikian. Sebagai bukti, Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam dan sahabat-sahabat Baginda sewaktu di Madinah pernah hidup bersama-sama dengan orang-orang bukan Islam, khasnya orang-orang Yahudi yang tinggal di Kota Madinah dan sekitarnya pada masa itu. Orang-orang Islam ketika itu, juga berurusan dengan orang-orang bukan Islam dalam banyak perkara seperti memberi dan menerima barang-barang, hutang piutang dan jual beli, bahkan Baginda pernah menerima hadiah-hadiah daripada orang bukan Islam sebagaimana telah tsabit diriwayatkan oleh Abu Humaid, beliau berkata:

Maksudnya: Semasa kami berperang bersama-sama Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dalam peperangan Tabuk, Raja Ailah telah menghadiahkan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam seekor keldai putih dan (sebagai balasan) Baginda Shallallâhu ‘alaihi wasallam memakaikan Raja Ailah (menghadiahkan kepadanya) pakaian burd (jubah yang dipakai pada pakaian).

Dalam riwayat yang lain, Anas Radhiallâhu ‘anhu berkata:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dihadiahkan jubah sutera, sedangkan Baginda telah melarang memakai sutera sehingga orang ramai merasa hairan mengenainya. Lalu Baginda bersabda: “Demi Zat yang jiwa Muhammad dalam genggamanNya, sapu tangan Sa‘ad bin Mu‘adz di syurga lebih baik daripada ini (jubah sutera).

Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullâh dalam kitabnya al-Ishâbah fi Tamyîz ash-Shahâbah (juz 4/404-405) menyebutkan riwayat al-Bazzar daripada Abdullah bin Buraidah, daripada bapanya, beliau berkata:

Maksudnya: Raja Qibti menghadiahkan kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dua orang hamba perempuan (jariyah) dan seekor keldai (baghal). Dan Nabi menunggang keldai itu di Madinah dan mengambil salah seorang hamba perempuan (jariyah) itu sebagai isterinya (Mariyah al-Qibtiyah).

Bahkan Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menerima makanan beracun daripada seorang perempuan Yahudi. Perkara ini diceritakan oleh Anas Radhiallâhu ‘anhu:

Maksudnya: Seorang perempuan Yahudi telah datang kepada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam dengan membawa seekor kambing beracun. Lalu Baginda pun memakannya. Maka ditangkaplah perempuan Yahudi itu dan dihadapkan kepada Baginda. Lalu dikatakan kepada Baginda: “Apakah perlu kita membunuhnya?” Baginda pun menjawab: “Jangan”. (Anas pun berkata): “Aku masih dapat mengenal kesan racun pada anak tekak Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam.”

Inilah di antara dalil-dalil yang menunjukkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wasallam pernah menerima hadiah daripada kalangan orang bukan Islam.

Dalam perkara menerima hadiah daripada orang bukan Islam juga telah disentuh oleh imam-imam mazhab yang empat. Sebagai contoh, Imam asy-Syafi‘e sendiri dengan terang menyatakan adalah harus orang bukan Islam berwasiat membina masjid untuk orang-orang Islam dan mengharuskan orang bukan Islam berwaqaf sekalipun untuk masjid.

Berkata al-Imam an-Nawawi dalam Raudhah ath-Thalibîn:

Ertinya: Harus bagi orang Islam dan (kafir) dzimmi berwasiat untuk meng‘imârah Masjidi al-Aqsa dan lain-lain masjid. (Begitu juga harus) meng‘imârah kubur para nabi, ulama dan orang-orang salih yang di dalamnya terkandung galakan untuk berziarah dan mengambil berkat dengannya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 6/98)

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa ada pengecualian-pengecualian dalam urusan-urusan tertentu yang dilarang dalam Islam seperti larangan dalam jual beli khinzîr, arak dan lain-lain sebagaimana perkara itu disebut dengan terperinci dalam kitab-kitab fiqh.

Maka berdasarkan ayat al-Qur’an, hadits-hadits serta nash-nash ulama di atas, adalah harus bagi orang Islam menerima apa-apa juga benda yang didermakan, diberikan atau dihibahkan oleh orang bukan Islam itu termasuk kutipan derma bagi pembiayaan Mushaf yang dipersoalkan oleh penyoal.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10823