Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Pelajar Menilai Pensyarah

Soalan: Dengan hormatnya sukacita memaklumkan bahawa salah sebuah universiti di negara ini akan menjalankan penilaian bagi kursus-kursus yang sedang ditawarkan. Tujuan penilaian ini adalah untuk menilai kualiti kursus, kesesuaian kandungan kursus berdasarkan keperluan pelajar dan keberkesanan pengajaran. Hasil penilaian ini nanti membolehkan pihak universiti ini menyerapkan kesesuaian kursus dan juga keberkesanan pengajaran seseorang pensyarah.

Sehubungan dengan itu sukacita mendapatkan nasihat Pehin tentang penilaian guru dalam Islam khususnya yang dinilai oleh pelajar walaupun pada hakikatnya tujuan-tujuan penilaian yang dibuat adalah dengan hasrat dan niat yang baik.

Jawapan: Sekolah, maktab dan universiti rasmi di Negara Brunei Darussalam ditubuhkan dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan. Kursus dan kurikulum pelajarannya disediakan oleh kerajaan mengikut keperluan semasa. Penyediaan ini dihasratkan bagi memberikan pelajaran yang terbaik kepada penuntut. Tanpa kursus dan kurikulum yang bersesuaian, sistem pembelajaran tidak akan mantap dan tidak dapat membawa hasil yang memuaskan. Jika ini yang berlaku, matlamat kerajaan menubuhkan sekolahnya akan terjejas.

Bagi menjayakan hasrat ini, guru-guru dan pensyarah dijemput dan dilantik mengajar berpandukan kursus dan kurikulum yang disediakan kerajaan.

Jadi, institusi ilmu seperti ini adalah milik kerajaan, bukan milik guru atau pensyarah. Kursus dan kurikulum juga disediakan oleh kerajaan, bukan guru atau pensyarah. Dalam penyediaan kursus dan kurikulum, guru atau pensyarah mungkin hanya memberikan cadangan sahaja dan sudah setentunya cadangan yang baik dan bersesuaian sahaja yang diterima. Kemudian guru atau pensyarah mungkin boleh menggunakan kebijaksanaan dalam amalinya.

Berdasarkan keterangan ringkas di atas, kursus yang disediakan dan kurikulum yang digubal oleh kerajaan adalah berdasarkan matlamat memberikan pelajaran terbaik kepada penuntut. Penggubalan sudah setentunya berdasarkan cadangan-cadangan terbaik dan dianggap tidak menyalahi sistem pembelajaran. Apa yang berlaku, untuk mengemaskan kursus dan kurikulum itu diperlukan penilaian dari semasa ke semasa. Salah satu jalan penilaian adalah menerusi penuntut kerana merekalah yang merupakan sasaran pertama penerima amali kursus dan kurikulum itu.

Saya berpendapat, penuntut tidak salah dilibatkan untuk memberikan pandangan terhadap kursus dan kurikulum yang mereka ikuti, sama ada dari sudut amalinya yang datang daripada guru atau dari sudut kesan yang mereka perolehi.

Dari sudut amalinya, pensyarah atau guru sudah setentunya mengajar berdasarkan kursus dan kurikulum yang disediakan universiti atau kementerian berkenaan, bukan berdasarkan kursus dan kurikulum yang mereka cipta. Sama ada mereka setuju atau tidak, mereka mesti menggunakannya bersama dengan kebijaksanaan yang dibenarkan. Amali mereka secara terperincinya hanyalah diketahui oleh penuntut kerana penuntutlah yang menjadi sasaran setiap kali amali itu berlangsung.

Sekiranya ada pandangan bahawa penuntut tidak sesuai untuk menilai guru dengan alasan guru mempunyai martabat yang lebih tinggi daripada pelajar, maka dari satu sudut ada benarnya jika penilaian itu bermotifkan celaan dan penghinaan. Mencela dan menghina guru bermaksud tidak menghormati guru. Penuntut yang tidak menghormati guru sehingga menyakiti hati guru, tidak akan memperolehi keberkatan ilmu. Demikian diterangkan oleh Syeikh al-Murabbi az-Zarnuji Rahimahullâhu dalam kitabnya Ta‘lîm al-Muta‘allim: Tharîq at-Ta‘allum:18.

Dari sudut lain pula, walaupun guru jelas lebih tinggi martabatnya daripada pelajar dan pelajar wajib menghormati guru, namun pelajar boleh menilai guru jika bermotifkan kebajikan dan membina, apalagi untuk mashlahat umum. Penilaian seperti ini hendaklah datang daripada pertimbangan yang adil, tidak bertujuan mencela, menghina dan menyakiti guru, tetapi untuk mencapai kesempurnaan yang terbaik.

Alasan keterangan di atas, dipadankan daripada petunjuk beberapa hadits, serta perilaku sahabat dan amali ulama dalam penulisan.

Rasulullah, Sayyidina Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wasallam adalah ulama dan guru teragung; kepala segala guru, ketua segala pensyarah dan ahli ilmu termulia. Para sahabat dan orang lain merupakan pelajar-pelajar Baginda.

Mengikut penilaian para sahabat, perbuatan Baginda ada kalanya menyalahi apa yang biasa Baginda lakukan. Tingkah laku Baginda ada kalanya menghairankan para pelajar, para sahabat. Bahkan ada yang mengundang pertanyaan sehinggakan mereka ada yang berani menegur dan bertanyakan perkara itu langsung kepada Baginda.

Apakah Baginda marah? Adakah Baginda murka mendengar teguran dan penilaian itu? Atau adakah Baginda melayan pertanyaan mereka?

Baginda sesungguhnya tidak marah mendengar teguran dan penilaian para pelajarnya. Bahkan Baginda melayan pertanyaan mereka dengan baik walaupun martabat Baginda jauh lebih tinggi daripada mereka.

Banyak peristiwa yang berlaku mengenai hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam pelbagai riwayat hadits. Salah satunya ialah apa yang terakam dalam hadits berikut ini:

Maksudnya: Daripada Ibnu Sirin, daripada Abu Hurairah, katanya: “Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam sembahyang bersama kami salah satu sembahyang malam. Ibnu Sirin berkata: “Abu Hurairah menamakan sembahyang itu, tetapi saya lupa (Maghrib atau ‘Isya)”. Abu Hurairah berkata lagi: “Baginda sembahyang bersama kami dua rakaat, lalu memberi salam. Kemudian Baginda pergi ke sepotong kayu yang melintang di masjid dan bersandar kepadanya seakan-akan Baginda sedang marah. Baginda meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri, memautkan jari-jari dan meletakkan pipi kanan ke bahagian luar telapak tangan kiri. Orang ramai keluar segera dari pintu masjid sambil berkata: “Sembahyang telah diqasarkan”. Di kalangan mereka ada Abu Bakar dan ‘Umar tetapi kedua-duanya takut menanyakannya kepada Baginda. Di kalangan mereka ada juga seorang lelaki yang kedua-dua tangannya panjang yang dipanggil Zul Yadain. Lalu orang ini bertanya: “Wahai Rasulullah! Adakah Tuan lupa atau sembahyang sudah diqasarkan?” Baginda menjawab: “Saya tidak lupa dan tidak pula sembahyang itu diqasarkan”. Baginda bertanya kepada orang ramai: “Betulkah apa yang dikatakan Zul Yadain ini?” Orang ramai menjawab: “Betul”. Lalu Baginda berjalan ke hadapan dan melakukan sembahyang yang tertinggal, kemudian salam, takbîr dan sujud seperti sujud-sujudnya atau lebih lama. Kemudian Baginda mengangkat kepala, takbîr dan salam. (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits ini menggambarkan bahawa pelajar (sahabat) menilai Baginda sebagai guru agung berdasarkan Baginda melakukan sesuatu kekurangan daripada apa yang biasa berlaku. Hal ini dapat dilihat dengan jelas daripada sapaan sahabat: “Wahai Rasulullah! Adakah sembahyang ini telah diringkaskan?”

Setelah adanya penilaian itu, barulah Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam melakukan penyempurnaannya.

Walaupun peristiwa seperti ini merupakan salah satu sistem tasyrî‘i dalam penerapan hukum jika rakaat sembahyang yang dilakukan kurang, kerana terlupa, boleh disempurnakan setelah ingat semula pada ketika itu, namun petunjuknya juga mengandungi pengajaran bahawa boleh menyapa orang lain yang lebih tinggi martabatnya setelah membuat penilaian mengenai perbuatannya bagi maksud mencapai kesempurnaan.

Adapun perilaku para sahabat utama mengenai perkara penilaian oleh sahabat lain juga adalah banyak. Salah satunya ialah peristiwa Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu sendiri meminta para sahabat lain menilainya. Jika ada kekurangan, kesilapan dan kelalaiannya mengikut penilaian mereka, beliau bersedia mendengar.

Hal ini diketahui dalam petunjuk ucapan beliau sebaik sahaja dilantik menjadi khalifah pertama dalam Islam. Antara lain berbunyi:

Ertinya: Tuan-tuan sekalian, saya telah dilantik mengetuai kamu. Saya bukanlah orang yang lebih baik daripada kamu. Oleh sebab itu, jika saya berbuat baik, kamu bantulah saya, dan jika saya berbuat silap, kamu perbetulkanlah saya. Sesungguhnya kejujuran itu adalah amanah. (Ibnu al-Atsir, al-Kâmil, 2:332)

Sedia maklum, Abu Bakar adalah sahabat utama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga, khalifah pertama setelah wafat Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam. Walaupun dari sudut ini martabat beliau dianggap lebih tinggi daripada kebanyakan sahabat lain, namun beliau dengan rasa tawâdhu‘ mengisytiharkan sedia menerima nasihat dan teguran jika para sahabat menilai tindakannya ada yang silap, kurang tepat atau salah.

Perilaku khalifah pertama ini juga mengandungi pengajaran boleh menyapa orang lain yang lebih tinggi martabatnya setelah membuat penilaian mengenai tindakannya bagi maksud mencapai kesempurnaan. Hanya Allah Ta‘ala jualah yang Maha Sempurna.

Adapun petunjuk amali ulama dalam menilai sesuatu ialah ramainya mereka yang berkeupayaan mentafsirkan al-Qur’an setelah mereka menilai ia perlu ditafsirkan. Al-Qur’an jauh lebih tinggi martabatnya daripada mereka, tetapi demi mencapai kesempurnaan dan kemudahan memahaminya, mereka merasa terpanggil mentafsirkannnya. Amali mereka ini tidak mencemar martabat al-Qur’an, bahkan mereka beroleh pahala lagi. Begitu jugalah yang berlaku kepada hadits. Semua penilaian dan ulasan dalam konteks ini adalah yang baik dan benar. Jika penilaian berbentuk negatif dan tanpa kebenaran, maka tidak dibolehkan sama sekali, bahkan perbuatan itu sebagai menempah tempat di neraka.

Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: Takutlah kamu bercakap mengenaiku kecuali apa yang kamu ketahui, kerana sesiapa yang berbohong kepadaku dengan sengaja, dia menyediakan tempatnya di neraka. Dan sesiapa yang bercakap tentang al-Qur’an berdasarkan pendapatnya sahaja, dia menyediakan tempatnya di neraka. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Kemudian, sedia maklum, seperti Imam asy-Syirazi (Abad ke-3H.) pengarang kitab al- Muhadzdzab, an-Nawawi (Abad ke-7H.) pengarang kitab Minhâj ath-Thâlibin, al-Malibari (Abad ke-10H.) pengarang kitab Fath al-Mu‘în, dan lain-lain merupakan ulama-ulama besar. Ulama-ulama yang datang selepas mereka menganggap diri mereka sebagai murid kepada ulama-ulama besar itu.

Kitab al-Muhadzdzab itu disyarahkan oleh an-Nawawi dengan nama al-Majmû‘, kitab Minhâj ath-Thâlibîn disyarahkan oleh al-Khathib dengan nama Mughnî al-Muhtâj, Fath al-Mu‘în disyarahkan oleh as-Sayyid al-Bakri dengan nama I‘ânah ath-Thâlibîn. Pensyarah kitab-kitab ini datang selepas pengarang kitab yang disyarahkan itu wafat. Pensyarahnya pula menganggap pengarang kitab yang mereka syarahkan sebagai guru-guru mereka dan tetap menganggap martabat gurunya lebih tinggi daripada mereka.

Walaupun begitu, kita mendapati ketika mensyarahkan kitab-kitab berkenaan apabila menemui sesuatu pendapat tertentu yang perlu diulas, ada di antara mereka yang tegas mengatakan وهوخطَّأ (pendapat itu salah) atau كَّذا ينبغي أن يقول (sepatutnya dia berkata begini) dan sebagainya. Perkataan ini muncul setelah mereka menilai pendapat atau huraian guru-guru mereka yang berkenaan dengan satu-satu perkara. Perkataan ini mereka tujukan kepada pendapat pengarang kitab yang mereka syarahkan. Perkataan وهوخطَََََََّّّّّّّأ (pendapat itu salah) terdapat seperti di dalam I‘ânah ath-Thâlibîn, 2:164, 4:25, Mughnî al-Muhtâj, 1:340, 4:384, Hâsyiah al-BujairImi, 1:79. Manakala perkataan يََّّنََّّبََّّغََّّي أن يََّّقََّّول كَََََََّّّّّّّذا (sepatutnya dia berkata begini) terdapat seperti di dalam kitab al-Majmû‘ 3:232, Mughnî al-Muhtâj 1:44, 108, 209, Hâsyiah al-Bujairimi 1:79, 239.

Petunjuk daripada apa yang dilakukan oleh para sahabat dan ulama dalam keterangan di atas jelas menggambarkan, adalah boleh untuk menilai sesuatu perkara itu bagi tujuan yang baik dan boleh memberi manfaat lebih, walaupun yang dinilai itu lebih tinggi martabatnya.

Bagaimanapun, berkaitan dengan persoalan di atas, sekiranya penilaian itu menerusi borang kaji selidik, maka hendaklah diperhatikan teks kalimat yang terdapat dalam borang penilaian itu semestinya menepati adab-adab Islam dan tidak menjurus kepada celaan atau penghinaan yang boleh menyakiti siapa yang dinilai. Kemudian pelajar yang dimaksudkan dalam memberikan penilaian itu juga adalah pelajar dewasa, bukan pelajar yang belum matang. Di samping itu juga semua pelajar yang menilai mestilah mengetahui dan memahami adab-adab menghormati guru.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-10828